1 Februari 1942, pada hari ini Lt. Jen. Percival pergi ke studio Radio Singapura di Bukit Caldecott dan memberitahu pendengar bahawa penguasaan Jepun setakat itu didominasi dengan penguasaan udara yang muktamad dan juga kebebasan pergerakan di laut. Lt. Jen. Percival menyatakan Singapura perlu bertahan di kubu kota sehingga bantuan yang pasti sampai.
Percival memindahkan markasnya daripada Fort Canning ke kem tentera di Jalan Sime kerana tempat itu lebih hampir dengan medan pertempuran. Di situ, Lt. Jen. Percival mendakan perjumpaan dengan Bennett yang dilantik menjadi Panglima Sektor Barat Singapura dan Mej. Jen. Simmons yang menjadi Panglima Sektor Selatan Singapura. Turut hadir adalah Mej. Jen. Billy Key selaku panglima 11 Divisyen dan Mej. Jen. Smith selaku Panglima Divisyen ke-18 Infantri British.
Mesyuarat membincangkan kelemahan pertahanan Singapura khususnya di bahagian utara Singapura dan juga perancangan Percival untuk pertahanan Singapura. Bennett dan Simmons hanya diberitahu perancangan pertahanan itu oleh Percival hanya 4 hari sebelumnya, walaupun mereka berdua adalah Panglima Sektor di Singapura.
Bennett terkejut diberitahu bahawa Pangkalan Tentera Laut Singapura kini hampir ditinggalkan keseluruhannya. Kerja-kerja memusnahkan sedang dijalankan. Bennett menerima berita ini sebagai tanda pihak British sudah menerima kekalahan.
Askar Australia, India dan British bergerak ke tempat pertahanan yang ditetapkan dan terkejut melihatkan ketiadaan perkubuan pertahanan disediakan. Walaupun kesuntukan masa dan bahan binaan, mereka cuba membina pertahanan setakat yang terdaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan