Fahami Sejarah Kemerdekaan

KEMERDEKAAN dikecapi hari ini bukan diperoleh secara mudah tetapi dibina dengan keringat, darah dan air mata. Penghayatan kemerdekaan tidak terhad dengan mengibarkan bendera, menganjurkan perarakan warna-warni, konsert dan menyanyikan lagu ‘Negaraku’ semata-mata tetapi sewajarnya rakyat dilatih mengenang semula perjuangan generasi terdahulu membebaskan negara daripada penjajahan, selain memahami proses bagaimana akhirnya kemerdekaan menjadi milik negara.

Kependudukan Jepun yang bertunjangkan slogan ‘Asia untuk Asia’ berjaya merubah senario politik Tanah Melayu apabila British tidak lagi dianggap kuasa imperialisme kebal. Bertujuan mengembalikan maruah peribadi, namun diuar-uarkan atas nama membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman Jepun, British menjalinkan kerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 8 Disember 1940.

Namun, British silap perhitungan apabila PKM yang sepatutnya menyebelahi mereka, sebaliknya bermaharajalela mengisi kekosongan ditinggalkan Jepun yang kalut dengan kemelut pengeboman Hiroshima dan Nagasaki pada Ogos 1946. Pengaruh fahaman komunis semakin meluas menjelang 1948. Malah, untuk merealisasikan wawasan penubuhan Republik Komunis Malaya, PKM menukarkan namanya kepada Malayan People Anti-British Army (MPABA) sekali gus menjadi platform melancarkan serangan lebih agresif untuk melumpuhkan British.

Tiga peringkat strategi dirangka komunis untuk mengambil alih Tanah Melayu bermula dengan menghasut kesatuan sekerja mengadakan mogok. Usaha ini gagal apabila British meluluskan Trespass Law (undang-undang pencerobohan) yang menyekat kesatuan memasuki ladang bagi tujuan berceramah dan menstruktur organisasi pekerja. Ordinan persatuan yang mewakili pekerja juga dipinda dan dikemaskini pada 12 Jun 1948 iaitu mewajibkan semua kesatuan sekerja mendaftar dengan pihak berkuasa.

Strategi kedua PKM ialah menguasai bandar kecil, seterusnya mendirikan markas PKM yang diisytiharkan British sebagai kawasan putih. Bagi memastikan dasar dan rancangan mereka berjalan lancar, Gerakan Rakyat (Min Yuen) berciri serampang dua mata ditubuhkan.

Gerakan Rakyat ini bertanggungjawab membekalkan makanan kepada ahli PKM yang melarikan diri ke dalam hutan selepas pengharaman parti itu, selain mengumpul maklumat berkaitan strategi kerajaan menghapuskan mereka. Pemberontakan bersenjata terkandung dalam strategi terakhir. Melaluinya, anggota dilatih menguasai taktik perang gerila, selain menubuhkan unit kecil berfungsi menakutkan penduduk Tanah Melayu membabitkan pertumpahan darah warga British dan sekutunya.

Kekejaman demi kekejaman yang dilakukan memaksa British mengambil pendekatan drastik mengisytiharkan darurat di seluruh Tanah Melayu pada 18 Jun 1948. Meskipun darurat menyusahkan rakyat kerana mengekang pergerakan, mengorbankan banyak nyawa serta menyebabkan kerosakan harta benda, dari perspektif lain, insiden darurat sebenarnya mempercepatkan lagi proses memerdekakan Tanah Melayu apabila British bersetuju ia ditadbir anak tempatan.