Bukit Kepong Dalam Kenangan..

Pada hari ini 23 Februari, genaplah 60 tahun berlakunya tragedi Bukit Kepong berlaku. Tragedi yang penuh tragis dan penuh keberanian itu adalah salah satu daripada bukti cinta terhadap tanah air oleh para pejuang bangsa dan peristiwa kekejaman pengganas komunis.


Balai polis yang diperbuat daripada kayu ini terletak ditebing sungai Muar, sekitar 59 km dari bandar Muar, Johor, Malaysia iaitu sebuah perkampungan kecil yang terpencil dengan sekitar dua puluh buah rumah dan kedai. Menjelang awal 1950, ia merupakan tumpuan pergerakan pihak komunis di situ. Ketika itu balai polis itu diketuai oleh Ketua Polis Balai (KPB) Sarjan Ray Dancey, yang pernah berkhidmat di Palestin. Ketika serangan ke atas balai tersebut, beliau telah lama ditukarkan dan jawatannya diambil alih oleh Sarjan Jamil Mohd Shah, kemungkinannya perkara yang diketahui oleh penyerang komunis.Selain itu terdapat platun campuran 15 anggota polis Tugas Am dan Konstabel Polis Marin pimpinan Sarjan Jamil sendiri. Ketika itu pasukan ini turut diperkukuhkan oleh tiga konstabal polis khas dan empat Polis Tambahan bagi tugas mengawal dan lain-lain, yang menjadikan 22 orang anggota kesemuanya.Tiga belas isteri dan anak-anak anggota tinggal di berek kelamin di sebelah belakang Balai. Sistem perhubungan yang sukar adalah sebab utama penempatan pasukan polis marin di situ malah, pengangkutan utama ke Bukit Kepong adalah dengan menaiki bot menyusuri Sungai Muar.


Pada 23 Februari 1950, bermula sekitar jam 5.00 pagi balai polis Bukit Kepong diserang oleh segerombolan 180 orang pengganas komunis yang diketuai oleh Mat Indera. Dalam kejadian tersebut, para anggota polis berjuang habis-habisan sehingga seorang demi seorang gugur. Dua orang isteri anggota polis marin turut mengangkat senjata apabila mendapati suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota-anggota lain sehingga kehabisan peluru. Seramai 17 orang anggota polis telah terkorban dalam kejadian tersebut.


Cerita perjuangan dan semangat waja pasukan polis dan masyarakat tempatan di Bukit Kepong, Johor melawan komunis pada tahun 1950 ini telah difilemkan pada tahun 1981 oleh Jins Shamsuddin. Filem ini telah memenangi Filem Terbaik dalam Pesta Filem Malaysia ke-3, 1982.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan