31 Januari 1942, pada hari ini tentera British yang gagal mempertahankan Semenanjung Tanah Melayu telah meninggalkan Johor ke Singapura. Dengan ini keselurahan Tanah Melayu telah jatuh ke tangan tentera Jepun dalam tempoh hanya 55 hari sahaja.
Pada Jam 5 pagi, Mej. Jen. Bennett melihat unit terakhir daripada pasukan Westforce menyeberangi Tambak Johor.
Pada jam 7 pagi, pasukan 22 Briged Australia bersama-sama 2 Bn Gordon yang mengawal pertahanan luar kubu tambak di Johor Bahru menyeberangi Tambak Johor masuk ke Singapura. Mereka diiringi oleh dua orang pemain bagpipe dari 2 Bn Argyll. Tidak lama kemudian, pasukan 2 Bn Argyll sendiri berundur ke Singapura dan meninggalkan kawasan pertahanan luar kubu tambak di Johor Bahru. Pegawai terakhir menyeberangi Tambak Johor adalah Lt. Kol Ian Stewart, pegawai pemerintah 2 Bn Argyll.
Pada jam 8.15 pagi, askar jurutera India meletupkan Tambak Johor dan menyebabkan lubang sepanjang 70 kaki di Tambak Johor. Tindakan ini memutuskan hubungan fizikal di antara Singapura dengan Semenanjung Tanah Melayu.
Kini tentera Jepun boleh melihat Singapura dari Johor Bahru di seberang Selat Johor. Yamashita meraikan panglima-panglimanya dengan sake. Yamashita memberitahu mereka beliau memerlukan 4 hari untuk membuat tinjauan kedudukan pertahanan British di Singapura.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan