Ibrahim Pahlawan Melayu, Perginya Tiada Ganti

“Orang-orang muda seharusnya menghormati orang-orang yang lebih dahulu mengalami pahit maung sebelum Angkatan Tentera berada dalam keadaan seperti sekarang. Kalau tidak ada orang-orang tua, tentu tidak ada orang-orang yang muda,” kata Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail dalam buku bertajuk Askar Melayu 50 Tahun terbitan Pustaka Budiman Sdn. Bhd.

Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu meninggal dunia pada usia 88 tahun di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur pada pukul 4.40 pagi 23 Disember 2010.

Jenazah beliau dibawa ke rumahnya di No. 22, Villa Sang Suria, Jalan Mesra off Jalan Damai Kelab Aman sebelum dibawa ke Masjid Negara untuk dikebumikan di Makam Pahlawan selepas solat Asar. Allahyarham dirawat di hospital berkenaan kerana sakit tua, sejak tiga bulan lalu.

Anak kelahiran Johor Baharu ini menyimpan banyak pengalaman pahit dan manis sepanjang berkhidmat selama 36 tahun sebagai tentera. Allahyarham menamatkan perkhidmatan dalam pasukan tentera pada 30 November 1977 sekali gus menamatkan perkhidmatan selama tujuh tahun sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT).

Sejarah awal penglibatannya dalam pasukan tentera bermula pada 1941 apabila beliau menyertai Johor Military Force (JMF) sebagai kadet. Tujuan memasuki JMF adalah untuk membolehkannya melanjutkan pelajaran dalam bidang ketenteraan di luar negara. Cita-cita itu menjadi kenyataan apabila beliau dan dua rakannya iaitu Hussein Datuk Onn dan Ungku Ahmad Ungku Abd. Rahman dihantar mengikuti kursus Gentlemen Cadet selama dua tahun di Indian Army Academy di Dehra Dun, India dari Ogos 1941 sehingga Februari 1942.

Namun, apabila Perang Pasifik tercetus, latihan itu disingkatkan kepada lapan bulan dan berikutan kejatuhan Tanah Melayu ke tangan Jepun, beliau tidak dapat kembali ke tanah air. Sehubungan itu, beliau ditugaskan di 19 Rejimen Hyderabad sebelum berkhidmat di Rejimen Ke-10/19 Hyderabad dan berpindah pula ke Rejimen Ke-25/19 Hyderabad.

Pada November 1943, beliau dengan sukarela menawarkan diri untuk berkhidmat menentang Jepun di Tanah Melayu. Usaha pertamanya menyusup masuk ke Tanah Melayu untuk mendarat di Pulau Pinang dengan kapal selam dari Ceylon bagaimanapun gagal. Dalam usaha kedua, beliau cuba menyusup masuk ke Terengganu dengan kapal terbang pada Oktober 1944 tetapi masih gagal. Hanya dalam usaha ketiga, beliau berjaya mendarat di Pulau Perhentian, Terengganu tetapi tidak lama kemudian, beliau ditangkap dan menjadi tawanan Jepun selama 10 bulan.

Selepas Jepun menyerah kalah, beliau dibebaskan dan kembali berkhidmat dengan Indian Army di Pahang dan Johor. Sebelum menamatkan perkhidmatannya dengan Indian Army pada Mac 1947, beliau ditugaskan sebagai Penjaga Rekod Local Forces Records Office di Pulau Pinang dari Ogos sehingga September 1946.

Selepas itu, beliau memohon memasuki Askar Melayu tetapi disebabkan pihak Inggeris enggan mengiktiraf pentauliahannya setaraf dengan pegawai Inggeris, maka beliau enggan menerima tawaran pentauliahan High Commissioner Commission. Ini kerana pentauliahan itu jauh lebih rendah berbanding dengan pegawai Inggeris yang menerima pentauliahan King Commission.

Selama lima tahun, beliau berjuang untuk membetulkan perkara tersebut termasuk merayu kepada Dato’ Onn Jaafar. Akhirnya, pada tahun 1951, barulah tauliah yang setaraf dikurniakan kepada para pegawai Melayu melalui Raja-raja Melayu.

Hasilnya pada 1 Mac 1951, beliau berkhidmat semula dalam Askar Melayu dengan pangkat Leftenan dan bertugas di Depot Cawangan Latihan Askar Melayu. Sebelas bulan kemudian, beliau dinaikkan pangkat kepada Kapten.

Dalam tempoh darurat, beliau ikut sama menjalankan operasi di hutan-hutan di sekitar Raub, Bentong dan Jerantut di Pahang. Namun, beliau tidak pernah terlibat dalam pertempuran besar.

Dalam pada itu, beliau berpeluang mengikuti kursus ketua kompeni di Warminster pada 1952 dan kembali ke tanah air dengan memikul tugas sebagai ketua kompeni di Batalion Ke-5 dan Ke-6 Melayu. Antara kursus lain yang diikutinya adalah kursus ketua kompeni di Sekolah Infantri Warminster, kursus Air Photography Intelligence di Joint School of Military Intelligence di RAF Nuneham Park dan kursus Joint School of Chemical Warfare di Winterbourne Gunner, Salisbury, Wilts.

Selain itu, antara jawatan yang pernah disandangnya adalah Pegawai Turus Am 2 (Latih)/Pegawai Tadbir di HQ Federation Army, Pegawai Memerintah Batalion Ke-6 Rejimen Askar Melayu Diraja. Ketika itu beliau berpangkat Leftenan Kolonel dan pada 1 Jun 1960, beliau dinaikkan ke pangkat Kolonel dan ditukarkan ke Kementerian Pertahanan sebelum dihantar mengikuti kursus Post War di Imperial Defence College, London dari Januari hingga Disember 1961.

Sekembalinya ke tanah air, suasana politik di Tanah Melayu agak tegang berikutan rancangan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 ditentang oleh Indonesia yang melancarkan konfrontasi terhadap Tanah Melayu. Justeru, beliau ditugaskan menubuhkan briged pertama di Sabah iaitu di Kalabakan bagi menghindarkan ancaman Indonesia.

Selepas konfrontasi tamat, beliau sudahpun berpangkat Mejar Jeneral dan selepas dua tahun berkhidmat di Malaysia Timur, beliau dipanggil balik ke Kuala Lumpur. Apabila peristiwa 13 Mei meletus dan Majlis Gerakan Negara (Mageran) dibentuk, beliau dilantik menjadi Pengarah Keselamatan iaitu penolong kepada Pengarah Mageran, Allahyarham Tun Abdul Razak.

Kecemerlangan dalam perkhidmatan yang sentiasa menyerlah telah membuka pintu kepadanya untuk dilantik sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera pada 1 Julai 1970.

Ipoh, Warisan Senibina Unik

Setelah tiga minggu, akhirnya selesai juga penyelidikan saya yang menfokuskan sejarah dan senibina bangunan warisan di Ipoh, Perak. Kalau berbicara mengenai bangunan sejarah atau warisan di bandar ini, sering kali kita akan terbayang dengan keindahan Stesen Kereta Api Ipoh, Dewan Bandaran Ipoh dan Mahkamah Tinggi. Sebenarnya terdapat puluhan lagi bangunan warisan yang cukup menarik di ibu negeri Perak ini.

Ipoh asalnya bermula daripada sebuah perkampungan Melayu yang kecil iaitu Paloh pada tahun 1879 dan berkembang pesat semasa era pentadbiran Dato' Panglima Kinta Mohammed Yusof yang menggalakkan imigran Cina berhijrah ke Ipoh ini dalam tahun 1900 (Populasi penduduk Ipoh ketika itu ialah 13,000 orang). Galakan pembesar Melayu serta sokongan pihak British dan pelabur Cina telah mewarnai landskap warisan bandar ini yang masih kekal hingga ke hari ini.


Pada peringkat awal, kebanyakan bangunan warisan di Ipoh dibina berdasarkan senibina tradisional Melayu Perak. Hal ini boleh diperhatikan pada rumah-rumah kediaman di sekitar Kampung Kuchai seperti rumah Dato' Seri Adika Raja dan Penghulu Sg. Raia Abdul Wahab. Selain itu, senibina Melayu juga jelas terukir pada senibina Masjid Paloh(1912), Madrasah Sharifah dan Madrasah Kamaliah(1900an).


Senibina yang paling menarik adalah bangunan lama Sekolah Melayu di Kampung Kuchai yang didirikan pada tahun 1900. Bangunan sekolah ini sepenuhnya dibina menggunakan kayu, berdindingkan tepas(anyaman buluh) dan beratap nipah.


Perkembangan sektor ekonomi di Ipoh pada akhir abad ke-19 telah menyebabkan banyak rumah kedai dibina sama ada di Pekan Lama mahupun Pekan Baru oleh pembesar Melayu dan Cina. Terdapat tiga jenis senibina yang terdapat pada kebanyakan rumah kedai di Ipoh iaitu 'Senibina Tradisional', 'Neoclassical Style' dan 'Art Deco Style'.


Bagi tahun 1880 hingga 1890, senibina tradisional dan klasik British telah digunakan dalam setiap pembinaan rumah kedai di Ipoh terutama di Pekan Lama.


Apabila berkembang pengaruh luar di Lembah Kinta iaitu dari tahun 1900-1920an, rumah kedai atau bangunan warisan di Ipoh telah menggunakan pula senibina 'Itali Renaissance' dan 'Neoclassical'. Ini jelas dilihat pada bangunan rumah kedai di Pekan Lama dan terutama di Pekan Baru. Senibina ini juga turut terdapat pada bangunan Masjid Panglima Kinta (1898).


Pada tahun 1920an, beberapa bangunan di Ipoh mulai menggunakan senibina baru yang dikenali sebagai 'Art Deco'. Contohnya seperti bangunan Bank Mercantile(1928) di Pekan Lama, Foong Siong Villa(1931) dan Lam Looking Bazzar(1933) di Pekan Baru.


Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sejarah dan senibina bangunan warisan ini, berkunjunglah ke Ipoh. Pelihara warisan kita, lambang jati diri bangsa dan negara.

Konservasi Bangunan Suluh Budiman oleh Jabatan Warisan

Bangunan Suluh Budiman, nadi kepada penubuhan Kolej Perguruan Sultan Idris (SITC) telah dibina pada tahun 1919 dan bangunan ini masih gah berdiri di dalam Kampus Sultan Abdul Jalil, Universiti Pendidikan Sultan Idris pada hari ini. Oleh kerana mempunyai nilai sejarah yang tinggi, bangunan yang berusia 83 tahun ini telah diwartakan sebagai 'Warisan Kebangsaan' oleh Jabatan Warisan dan telah dibaikpulih pada Januari 2010. Satu masalah yang dihadapi dalam kerja konservasi ini ialah mengembalikan warna asal bangunan ini kerana bukti yang ada hanya berwarna hitam dan putih sahaja.

Suasana dewan Bangunan Suluh Budiman yang terletak di bahagian tengah bangunan. Pada era SITC iaitu sekitar 1920an, dewan ini telah digunakan untuk upacara rasmi SITC. Dewan ini disusun atur dengan sebuah piano yang diletakkan di tengah serta berhadapan pentas, dinding hadapan diletakkan gambar Sultan Idris (tengah), penuntut Maktab Perguruan Matang (kiri) dan Melaka (kanan) manakala berhadapan pentas diletakkan kerusi-kerusi panjang. Gambaran suasana era tersebut boleh dilihat pada gambar sebelah kiri di atas dan gambar sebelah kanan menunjukkan dewan pada hari ini.


Gambar kiri menunjukkan ruangan tengah bangunan digunakan sebagai ruangan pameran sejarah SITC dan gambar kanan pula memaparkan bilik kenamaan yang suatu ketika dahulu adalah bilik pejabat untuk maktab perguruan ini.

Evolusi Bas Henti-Henti Di Ipoh

Sebahagian besar hidup penduduk Ipoh amat berkait rapat dengan Stesen Bas Ipoh di Medan Kidd ini termasuk saya sendiri. Di sini, terdapatnya perkhidmatan bas tempatan ke destinasi ke sekitar Ipoh, Kampar, Kuala Kangsar, Taiping, Teluk Intan, Parit, Setiawan, Beruas dan Cameron Highland. Sementara itu bersebelahan stesen bas tempatan, terletak pula Terminal Bas Express Ipoh untuk destinasi luar Perak. Suasana di Medan Kidd suatu ketika dahulu begitu sibuk terutama waktu pagi, tengah hari dan petang.


Medan Kidd kini (kiri) dan dahulu-1970an (kanan).

Pada akhir tahun 2004, Terminal Bas Express Ipoh di Medan Kidd terpaksa ditutup dan dipindahkan ke lokasi baru iaitu di Silveritage, Medan Gopeng yang terletak kira-kira 5km dari pusat bandar Ipoh. Hanya stesen bas tempatan yang masih dikekalkan di Medan Kidd. Kemudian semasa pentadbiran Mantan Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Tajol Rosli iaitu sekitar tahun 2006, satu cadangan untuk memindahkan kedua-dua terminal bas di Ipoh ke Jelapang ni telah diusulkan tetapi usul ini menerima bantahan daripada penduduk Ipoh.



Pada 21 Oktober 2008, usaha untuk memindahkan terminal bas Ipoh ke Jelapang diteruskan dengan Majlis Pecah Tanah Projek Terminal Bas Bersepadu Ipoh di Meru Raya oleh Mantan Menteri Besar, Datuk Seri' Ir. Mohammad Nizar. Pembinaan terminal yang menempatkan bas dan teksi ini menelan kos pembinaan sebanyak RM38 juta dan dijangka siap pada April 2011.

Projek tersebut hanya bermula dan dijangka siap menjelang tahun 2012 setelah Menteri Besar yang baru, Datuk Seri Dr. Zambry melakukan lawatan ke tapak projek itu pada 8 Februari 2010. Beliau turut mengumumkan pembinaan sebuah lagi terminal pengangkutan awam di Pusat Bandar Ipoh yang dikenali sebagai Ipoh Sentral. Ipoh Sentral ini akan menggabungkan Stesen Bas Medan Kidd dan Stesen Kereta Api Ipoh. Selain itu, beliau juga akan berusaha menangani masalah perkhidmatan bas di seluruh negeri Perak yang uzur dan tidak selesa.

Sementara itu, syarikat bas seperti Combined Bus Service yang menaungi tiga syarikat iaitu The General Omnibus, Kinta Omnibus dan Ipoh Omnibus yang ditubuhkan pada 2006 dan beroperasi dengan modal berbayar sebanyak RM10 juta telah memulakan penaiktarafan perkhidmatan bas di Ipoh dengan jenama baru, Perak Transit. Pada 12 Disember 2009, syarikat ini telah melancarkan bas baru bagi laluan Kuala Kangsar-Ipoh. Baru-baru ini, bas baru turut digunakan pada laluan sekitar Ipoh dan Kampar. Kini, bas-bas lama dan uzur di Ipoh mulai ditukarkan dengan bas-bas baru yang berhawa dingin dan mesra pengguna selaras dengan kemajuan pesat negeri Perak.

Jins Shamsuddin Siapkan Filem Pasir Salak

Usia yang kini mencecah ke angka 73 tahun bukanlah kekangan buat seniman berjiwa besar itu dalam meneruskan karya seninya. Tan Sri Senator Jins Shamsuddin atau nama sebenarnya Zain Shamsuddin yang dilahirkan di Taiping,Perak pada 5 November 1935 mula menempa nama menerusi filem arahan P.Ramlee, Panca Delima yang dilakonkan bersama Hashimah Yon pada tahun 1957.

Filem lain lakonannya termasuklah Sarjan Hassan (1958), Dandan Setia (1959), Lela Manja (1960), Si Tanggang (1961), Menanti Hari Esok (1977), Esok Masih Ada (1979), Esok untuk Siapa? (1982), Bukit Kepong (1982) dan Akhirat (2008). Melakonkan lebih 30 buah filem memberi kelebihan kepada penerima anugerah Pengarah Filem Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) pada tahun 1980 (Tiada Esok Bagimu) dan 1982 (Bukit Kepong) itu dalam memberi inspirasi kepada bakat-bakat baru yang terlibat dalam dunia perfileman.

Sepuluh tahun lalu, pernah beliau meluahkan hasrat menghasilkan filem yang berkisarkan perjuangan penduduk Tanah Melayu menentang penjajahan British, Pasir Salak dan kini, hasratnya hampir terlaksana.

"Memang sudah lama saya berhasrat, sebelum menutup mata saya ingin hasilkan filem Pasir Salak. Ia merupakan filem sejarah penting yang memaparkan bagaimana perjuangan nenek-moyang kita terdahulu dalam menentang penjajahan British di Tanah Melayu.

"Insya-Allah, saya akan berusaha menyiapkan filem ini selewat-lewatnya hujung tahun ini dan mungkin ini merupakan karya terakhir daripada saya.

"Bagaimanapun, jika masih dipanjangkan umur saya ada satu lagi hasrat iaitu untuk filemkan sejarah hidup guru saya, P. Ramlee apabila selesai kerja-kerja pengambaran filem Pasir Salak nanti," kata pengarah filem Bukit Kepong itu lagi.

Menyediakan peruntukan lebih RM5 juta menurut Jins, beliau telah memulakan pengambaran untuk Di Sebalik Tabir filem Pasir Salak itu nanti.

"Saya sudah membuat pelbagai penyelidikan selama dua tahun termasuk membelanjakan lebih RM200,000 dalam membuat pelbagai penyelidikan di London.

"Kini saya sudah mula menerbitkan produksi di sebalik pembikinan filem tersebut. Saya juga telah menempah sebanyak 120 pucuk senjata dan pakaian yang bakal digunakan dalam filem ini di Bandung, Indonesia," kata graduan ijazah kedoktoran (PHD) bidang perfileman, Universiti Utara Malaysia itu lagi.

Kekabu A Source Of Income

The unassuming ‘kekabu’ tree, which grows profusely along river banks and in the kampongs, is a source of income for one gritty widow. Puan Radziah Yeop Ibrahim, 60, sells ‘kekabu’ filled pillows and mattresses to eager buyers from as far away as Kuala Lumpur and Penang. Local customers too are aplenty. The soft and silky texture of the cotton-like fibres found in the ripe and swirled-up pods make good fillings for pillows and mattresses. “It has some therapeutic values,” said Puan Radziah or Mak Cik Wok, as she is popularly known. “It’s good for the body as the softness of a kekabu-filled pillow and mattress cushions the head and back when one lies on it.”

Radziah is a mother of two. Eldest son, Nor Hisham 21, pursues a degree course at Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah, Tanjung Malim while daughter, Norlizatul Akma 16, studies at the Methodist Girls’ School, Ipoh. Her ex-soldier husband, Zulkefli Mat Yatim, died five years ago and since then Radziah has been raising her two kids on her own. Her only source of income is derived from the ‘kekabu’ pillows and mattresses. Lately she has ventured into the traditional cookie business making dried jelly for the market. Her dried jelly, sold in packets, is found at a retail outlet in Megoplex, a popular shopping mall in Gunung Rapat. Radziah hopes it will be a hit with customers.

“It’s tough raising two kids with my meagre income,” Radziah told Ipoh Echo recently. But Mak Cik Wok is determined to persevere despite the insurmountable odds. She rents a single-storey terrace house at Taman Harirela, behind Hillcity Hotel from where she makes her pillows and cookies. “I’ve to set aside RM280 for the house rent every month. Sometimes it’s difficult to make ends make, especially when orders take a tumble.”