Sejarah Warisan Perak

Negeri Perak sememangnya mempunyai sejarahnya yang panjang dan kaya dengan warisan yang menjadi mercu tanda kepada negeri ini. Sebagai negeri yang terkenal di negeri-negeri Melayu yang lain, Perak telah mendahului dalam aspek perlombongan bijih timah, getah, jalan raya dan landasan kereta api. Nama 'Perak' itu sendiri berasal daripada perkataan Melayu yang menggambarkan kekayaan hasil buminya iaitu bijih timah.

Selepas Perjanjian Pangkor 1874, Perak telah diletakkan di bawah pengaruh British sebagai Negeri Melayu yang bernaung. Sultan terpaksa menerima seorang Residen British yang menjadi penasihat kepada baginda. Peristiwa penting ini telah menjadi satu titik tolak dan permulaan kepada sejarah moden negeri Perak serta menjejaskan sistem feudal Kesultanan Melayu Perak yang wujud sejak tahun 1528. Perubahan ini telah mencetuskan penentangan awal oleh para pembesar Melayu Perak sehingga J.W.W. Birch mati dibunuh di Pasir Salak pada tahun 1875 yang dikenali sebagai Perang Perak.

Pada tahun 1876, Taiping di Larut telah dijadikan sebagai pusat pentadbiran British di Perak. Taiping bererti  'keamanan abadi' dalam bahasa Cina dan nama ini telah diberikan oleh British bagi menggantikan nama lamanya iaitu Klian Pauh. British telah cuba menghilangkan ciri kemelayuan di bandar ini dan memadam kegemilangan pemerintahan Long Jaafar dan anaknya, Menteri Larut Ngah Ibrahim di sini dalam tahun 1848-1874.

Kuala Kangsar pula telah dipilih sebagai Bandar Diraja Perak oleh Sultan Idris Mursyidul Azzam Shah (1887-1917). Pemilihan ini sebenarnya adalah bertujuan memudahkan pihak British mengawasi para pembesar Melayu dalam pemerintahan negeri Perak. Tidak seperti bandar besar di Perak, Kuala Kangsar merupakan satu-satunya bandar dan pusat ketamadunan orang Melayu Perak.

Kekayaan bijih timah di Kinta telah melahirkan bandar Ipoh pada akhir abad ke-19. Ia merupakan pusat komersial yang utama di Perak dan pernah menjadi 'Hub of Malaya' semasa berada di era puncak kegemilangan bandar tersebut. Zaman penjajahan Jepun telah memindahkan ibu negeri Perak dari Taiping ke Ipoh. Ipoh dikelilingi oleh pekan-pekan perlombongan bijih timah seperti Batu Gajah, Kampar dan Gopeng.

Dalam meniti ke arah kemerdekaan negara pada tahun 1957, Perak telah dipecahkan kepada 10 buah daerah. Menurut prinsip perancangan bandar British, setiap daerah memiliki pusat pentadbiran daerah yang dilengkapi dengan pejabat daerah, dewan bandaran, balai polis, hospital, padang, menara jam dan pejabat pos. Bangunan-bangunan ini yang masih teguh berdiri telah menjadi saksi kepada perubahan politik dan ekonomi terhadap negeri bertuah ini. Ia juga merakam kepada kepelbagai kaum yang terdapat di Perak.