Hari Ini Dalam WWII Asia

2 Februari 1942, pada hari ini Jeneral Percival berharap kepada kebolehan pasukan bertahan melumpuhkan pendaratan askar Jepun di pantai dan menyekat kebolehan askar Jepun menubuhkan kubu jambat di Singapura. Percival tahu dia tidak mempunyai kekuatan tentera dan ketiadaan pertahanan mendalam untuk melancarkan serangan balas sekiranya tentera Jepun dapat bertapak di Singapura.

Panglima Tentera Australia Bennett membuat pemeriksaan kedudukan pertahanan askar Australia di bahagian Barat Laut. Walaupun sudah dua hari mengarahkan pembinaan pertahanan dan perkubuan, Bennett mendapati pembinaan perkubuan pertahanan tidak seperti yang diharapkan. Bennett mendapati barisan pertahanan terlalu panjang sedangkan bilangan askar tidak mencukupi. Hutan bakau dan paya yang banyak di bahagian Barat Laut Singapura tidak membolehkan pembinaan kubu pertahanan dan mengurangkan medan tembakan (fields of fire). Kedudukan askar terletak terlampau jauh di antara satu sama lain dan memudahkan penyusupan askar musuh. Batalion 2/20 berjumlah 750 orang anggota bertanggungjawab mempertahankan barisan sepanjang 7.2 km dari Sungai Kranji ke Sungai Sarimbun.


Pesawat pengebom Jepun membuat lapan serangan pengeboman ke atas tangki simpanan minyak Tentera Laut Diraja yang menyebabkan kebakaran besar. Lain-lain pesawat pengebom Jepun menyerang Stesen kereta api Tanjong Pagar yang juga memusnahkan kawasan dermaga dan kepentingan awam di sekitarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan