Taiping Public Garden & Surrounding Exhibition

Bersempena hari ulang tahun ke-140 Perjanjian Pangkor, satu pameran yang bertajuk 'Taiping Public Garden & Surrounding' telah dilancarkan di First Galleria, Taiping pada 20 Januari 2014. Pameran yang begitu menarik mengetengahkan keunikan sejarah silam Taman Tasik Taiping dan kawasan di sekitarnya ini sebagai taman rekreasi buatan manusia yang pertama di negera kita sejak tahun 1884 serta tersenarai dalam 33 Perkara Pertama di Malaysia. Selain itu, dua buah pameran lain yang berkaitan sejarah bandar Taiping turut diadakan iaitu 'Taiping, Ibukota Perak' dan 'Kemunculan Daerah Larut'. Majlis pelancaran pameran ini telah bermula pada pukul 11 pagi dan berakhir sekitar pukul 1 petang.





Victoria Bridge Green Day 2014

Pada 12 Januari 2014, satu program yang dikenali sebagai Victoria Bridge Green Day telah diadakan di Kampung Seberang Karai, Kuala Kangsar. Program ini bermatlamat untuk mempromosikan Jambatan Victoria iaitu sebuah jambatan keretapi lama yang berusia 114 tahun sebagai sebuah tarikan pelancongan yang baharu di Parlimen Padang Rengas. YB Dato' Seri Mohamad Nazri, Menteri Pelancongan & Kebudayaan serta merangkap Ahli Parlimen Padang Rengas turut hadir dan merasmikan program ini pada tengah hari tersebut. Pelbagai aktiviti menarik telah berlangsung sepanjang program ini seperti persembahan kebudayaan, demostrasi silat, kenduri rakyat, aktiviti berakit, tembakan meriam buluh gergasi dan gerai-gerai pameran.






Majlis Perasmian Brosur Pakej Pelancongan Keretapi TTM2014 Negeri Perak



Pada 10 Januari 2014 bertempat di hadapan  Stesen Keretapi Ipoh telah diadakan Majlis Perasmian Brosur Pakej Pelancongan Keretapi bersempena promosi Tahun Melawat Malaysia 2014. Program ini telah dirasmikan oleh YB Dato' Seri Mohamad Nazri, Menteri Pelancongan & Kebudayaan yang tiba bersama delegasi pelancong asing dari Kuala Lumpur dengan menaiki Keretapi Elektrik Berkembar (ETS) pada pukul 9 malam. Selesai sahaja perasmian, majlis telah diserikan dengan persembahan kebudayaan dan artis jemputan.