Sejarah Dinding IV : Asal Usul Nama Dinding

Menurut Prof. Madya Dr. Talib Samat, nama Dinding berasal daripada perkataan Siam yang bermaksud 'tanah merah' yang terdapat banyak di daerah itu. Ejaan asal perkataan Siam itu adalah Dingding dan lama kelamaan telah menjadi Dinding sahaja. 

Mengikut sejarah dalam abad ke-15 dan 16, telah tercetusnya satu peperangan antara Raja Hitam dan Siam di Kuala Sungai Dinding yang terdiri daripada Kota Raja Hitam dan Kota Raja Siam. Peperangan ini telah dimenangi oleh Raja Hitam. Ekoran daripada peperangan ini, pertumpahan darah yang banyak telah menyebabkan tanah di sini menjadi merah. Maka lahirlah nama asal Lumut iaitu Tanah Merah dan Dinding pula sebagai nama daerah ini.

Kedatangan British di Dinding pada tahun 1874 telah menukar nama daerah ini kepada Dindings. Lebih malang lagi segala bukti sejarah kewujudan Kota Raja Hitam dan Kota Raja Siam serta kerajaan Beruas di Kampung Kota telah dibawa keluar atau dimusnahkan oleh pengkaji dari London pada tahun 1920an.

Sejarah Dinding III : Dari Kuala Sepit ke Lumut

Nama Kuala Sepit mungkin tidak begitu dikenali oleh generasi hari ini di Dinding. Pada kali ini pula, ruangan ini akan menerokai sejarah masyarakat orang Melayu di daerah ini yang berperanan penting dalam episod sejarah Dinding dahulu.

Jika ditinjau sejak awal pembukaan daerah Dinding, orang Melayu telah mula menetap di sini. Malahan ramai orang Melayu ini datang merantau dari Sumatera seperti Acheh, Rokan, Siak, Kampar, Jambi dan Inderagiri sejak dari abad ke-16. Hal ini dibuktikan dengan nama beberapa tempat yang dikaitkan dengan masyarakat ini seperti Teluk Batak (Teluk Batik kini) dan Teluk Rubiah.

Kehadiran Raja Engku Busu di Dinding dalam awal abad ke-19 telah membawa kepada pembukaan Lumut. Beliau merupakan seorang raja yang berasal dari Selangor. Kedatangan Raja Engku Busu di sini sebenarnya adalah untuk menghapuskan kegiatan perlanunan yang berleluasa di perairan Dinding tetapi beliau telah gagal dan terkorban di Lumut. 

Pada tahun 1857, datang pula Nakhoda Muhammad Taib dari Batu Bahara, Sumatera ke Dinding untuk menangani isu perlanunan tersebut. Beliau juga telah membuka sebuah kerajaan kecil di Kuala Ketil setelah diberikan surat kuasa dan dianugerahkan gelaran 'Tok Noda' oleh Sultan Perak, Sultan Jaafar (1857-1863). Nakhoda Muhammad Taib kemudiannya berjaya menghapuskan lanun-lanun di Selat Dinding dan menjadi Kuala Sepit sebagai sebuah pelabuhan entreport bagi pedagang Nusantara. Pentadbiran di Kuala Sepit telah diketuai oleh beliau dan dibantu oleh Tok Pendekar Mohamad Yasin (keselamatan), Tok Baginda Raja (Pawang Besar) dan Tuan Haji Said (Kadi). Pada tahun 1873, Nakhoda Muhammad taib telah meninggal dunia di Kuala Sepit setelah 16 tahun memerintah kawasan ini.

Kegemilangan Kuala Sepit ini akhir beransur hilang apabila termeterainya Perjanjian Pangkor pada 1874. Pengganti Nakhoda Muhammad Taib iaitu Peghulu Besar Nakhoda  Muhammad Nordin telah kehilangan kuasa. Beliau telah meneruskan usaha membuka semula Lumut di bawah pemerintahan British. Semasa usaha ini, beliau telah menemui kubur-kubur lama milik Raja Engku Busu dan pengikutnya serta mangsa kekejaman lanun. Sejak itu, Lumut atau dikenali sebagai Tanah Merah telah dijadikan pusat pentadbiran Dinding oleh British.

Pada 16 Februari 1935, istiadat penyerahan daerah Dinding telah diadakan di Rumah Rehat Lumut antara kerajaan Perak dan British. Nama daerah Dinding telah ditukarkan kepada Iskandar District dan Lumut kepada Port Iskandar. Sebuah masjid yang dinamakan Masjid Al-Adli telah dibina di Lumut sebagai tanda kesyukuran. Pada tahun 2011, Lumut telah disyitiharkan sebagai Bandar Tentera Laut dan Pelancongan Maritim Perak.

Sejarah Dinding II : Pengaruh Kuasa Asing

Pada bahagian yang lepas, kita telah meninjau sejarah awal daerah Dinding dari kerajaan Konkonagara sehingga Beruas. Untuk bahagian kali ini, kita akan melihat sejauhmana pengaruh kuasa asing terutama kuasa Eropah dalam mempengaruhi perkembangan sejarah daerah ini. 

Dalam sejarah Dinding, terdapat dua kuasa Eropah yang pernah bertapak di sini iaitu Belanda dan British. Perlombongan bijih timah yang pesat berkembang di Hilir Perak pada kurun ke-17 telah menarik minat Belanda untuk memonopoli perdagangan tersebut. Pihak Belanda menerusi Kompeni Hindia Timur Belanda (VOC) telah membina sebuah kota di Pulau Pangkor. Namun kehadiran Belanda di sini tidak disenangi oleh orang Melayu dan mereka telah menyerang serta memusnahkan kota Belanda itu pada tahun 1690. Kota ini telah dibina semula oleh Belanda pada tahun 1743. Sisa tinggalan kota tersebut masih ada sehingga kini di Pangkor.

Pada awal abad ke-18, muncul pula British menerusi Kompeni Hindia Timur Inggeris (EIC) ke Dinding. Maka satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Low telah ditandatangani oleh Sultan Perak  pada tahun 1826. Kesultanan Perak telah bersetuju untuk menyerahkan daerah Dinding ini kepada British bagi tujuan menghapuskan masalah perlanunan di perairan Perak. Sejak itu, Dinding telah diletakkan di bawah pentadbiran Negeri-negeri Selat dan bukannya wilayah negeri Perak.

Kedudukan British di Dinding ini kemudiannya diperkukuhkan lagi menerusi Perjanjian Pangkor 1874. Daerah Dinding ini akhirnya berjaya dikembalikan kepada Kesultanan Perak setelah beberapa kali rayuan dibuat terhadap British. Pada tahun 1934 menerusi "The Dindings Agreement Act", British telah bersetuju untuk menyerahkan kembali Dinding kepada kerajaan Perak. Upacara penyerahan itu dilakukan di hadapan Rumah Rehat Lumut pada 16 Februari 1935 dan disaksikan oleh Sultan Perak ke-30, Sultan Iskandar Shah (1918-1938). Raja Shahriman bin Raja Abdul Hamid telah dilantik sebagai Orang Besar Jajahan yang pertama bagi daerah ini. Sejak itu, Dinding telah berkembang maju dan hari ini dikenali sebagai Manjung pada 1 Januari 1982 oleh Sultan Idris Shah II (1963-1984).