Hari Ini Dalam WWII Asia

15 Februari 1942, pada hari tentera British di Singapura terpaksa menyerah kalah kepada tentera Jepun selepas seminggu bertempur di pulau tersebut.

Percival menghantar dua orang utusan ke garisan hadapan Jepun di Bukit Timah dengan bendera Union Jack dan bendera putih meminta gencatan senjata pada jam 4.00 petang. Ketika itu Jepun membuat pengeboman dan bedilan meriam dengan hebat. Walaupun tidak di ketahui Percival, pengeboman ini hanya helah, kerana sebenarnya Yamashita sudah hampir kehabisan peluru dan bom. Dia sebenarnya mengharapkan bedilan itu dapat memutuskan pihak British untuk menyerah kalah.



Jawapan Yamashita amat ringkas – tiada syarat, tiada perbincangan mengenai syarat, tiada gencatan senjata sehinggalah Percival meletakkan tanda tangan di garis titik. Walaupun keletihan, Percival dan kumpulannya berjalan melalui Jalan Bukit Timah ke Kilang ford Motor bertemu Yamashita.

Pada jam 1715, Percival dan pegawainya tiba di kilang Ford Motor Company untuk menyerah diri tanpa syarat kepada Tentera Jepun. Dokumen serah diri ditandatangani.
Semasa berdepan, Yamashita menuntut Percival menyerah kalah. Percival meminta tempoh. Yamashita naik berang dan bertanya “Ya atau Tidak?” Percival tiada pilihan. Pada jam 6.10 petang dia menandatangani surat cara penyerahan kalah. Pada jam 8.30 malam bedilan dihentikan.



Percival mengarahkan pegawai-pegawainya untuk bersama-sama dengan anggota-anggota tentera mereka menjadi tawanan perang. Mej. Jen. Gordon Bennett memberikan arahan sama kepada pegawai-pegawai Australia, tetapi dia sendiri lari ke pelabuhan menaiki kapal ke Sumatra.

Kejatuhan Singapura dianggap malu paling besar dalam sejarah perang British. “Gibraltar Timur” tewas dalam masa kurang 100 hari kepada pasukan tentera Asia yang jauh lebih kecil. Bencana ini mengakibatkan Hindia Belanda dan Australia terdedah kepada serangan terbuka dan menjatuhkan moral rakyat British. Ia juga menjatuhkan kredibiliti British sebagai kuasa penjajah dan kegagahan orang putih.
Pihak British mengalami 8,708 korban perang yang mati ataupun cedera; sementara pihak Jepun mengalami 9,824 orang korban perang. Lebih daripada 130,000 askar British (32,000 India, 16,000 British and 14,000 Australia) menjadi tawanan perang. 20,000 orang askar India yang menyerah diri kemudian memilih untuk menyertai Tentera Nasional India pimpinan Mohan Singh.

Kira-kira 600 orang anggota Rejimen Askar Melayu dikumpulkan semula di padang Gold Keppel Link. Di sana, anggota-anggota lain-lain pangkat dipisahkan daripada pegawai-pegawai mereka dan dihantar ke pusat tahanan di Farrer Park yang menempatkan askar-askar India. Pegawai-pegawai Rejimen Askar Melayu dihantar ke pusat tahanan tawanan perang yang disediakan untuk orang-orang British dan Australia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan