Kenali Kesultanan Negeri Perak-Sultan Idris Mursyidul Azzam Shah I

Jika catatan yang sebelum ini menjelaskan secara ringkas mengenai latar belakang dan pendidikan Sultan Idris, catatan pada kali ini akan menyingkap latar belakang keluarga baginda Sultan Idris.

Sultan Idris pada usia remajanya lebih dikenali sebagai 'Raja Deris'. Hal ini berpunca daripada sebutan loghat Perak terhadap nama Idris.

Baginda adalah putera ketiga daripada empat adik-beradik iaitu Raja Teh Mas, Raja Kulop Muhammad, Raja Lope Ahmad dan Raja Hasan. Ayahanda baginda, Raja Alang Iskandar merupakan antara waris tahkta negeri Perak namun mangkat semasa bergelar Raja Bendahara. Bonda baginda pula bernama Che' Ken Uda Sari bin Abdul Rahman (Panglima Dalam).

Sultan Idris mempunyai keluarga yang besar dan telah berkahwin sebanyak tujuh kali. Berikut ialah isteri-isteri baginda:-

  1. Raja Perempuan Nuteh Aishah ibni Sultan Yusof (Sultan Perak ke-27)
  2. Tengku Permaisuri Che' Uteh Mariah bt. Sulaiman
  3. Sharifah Alawiyah
  4. Sharifah Maheran
  5. Che' Long Polam
  6. Che' Ngah Manah
  7. Che' Suyah

Hasil perkahwinan tersebut, Sultan Idris mempunyai 14 orang putera dan puteri.

Kenali Kesultanan Perak-Sultan Idris Mursyidul Azzam Shah I

Sultan Idris Murshidul'Adzam Shah adalah putera ketiga Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar (Marhum Teja) ibni Almarhum Raja Kecil Tengah Ahmad ibni Almarhum Sultan Abdul Malik Mansur Shah. Baginda telah diputerakan di Kuala Keboi, Kampar pada 19 Jun 1849. Baginda juga merupakan seorang yang cerdik pandai. Baginda bersaudara sepupu dengan Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah II.

Sultan Idris adalah seorang tokoh Kesultanan Melayu yang menarik dalam sejarah negara ini. Sumbangan serta peranan baginda dapat dilihat dalam bidang pendidikan, agama dan kebajkan. Sumbangan fikiran baginda nyata sekali dalam Mesyuarat-mesyuarat Negeri Perak, Persidangan Raja-raja Melayu (DURBAR) dan Majlis Mesyuarat Persekutuan.

Dari segi pendidikan, Sultan Idris tidak pernah ke sekolah formal ketika itu namun baginda mempelajari menulis dan membaca Jawi, Al-Quran dan pengajian agama Islam semasa di Kuala Keboi. Baginda pernah berguru dengan Lebai Said Minangkabau, Kadi Besar Saiyid Abdullah Abu Bakar Al-Attas, Syeikh Mohd.Tahir Jalaluddin dan Syeikh ul-Islam Syeikh Mohd.Salleh. Sebelum ditabalkan menjadi Sultan, baginda juga mempelajari bahasa Inggeris dengan bimbingan pegawai tadbir Kuala Kangsar, D.H. Wise. Pada tahun 1887, baginda mendapatkan khidmat Mr. Homes sebagai Tutor Bahasa Inggeris.

Kenali Kesultanan Negeri Perak - Sultan Mudzaffar Shah I

Pada zaman kerajaan Melayu Melaka, negeri Perak bersama-sama dengan kerajaan lama Beruas berada di bawah pemerintahan Sultan Melaka. Pada tahun 1511 iaitu kejatuhan Melaka, Sultan Mahmud Shah melarikan diri ke Kampar,Sumatera serta menjadikan Sultan di Kampar. Ketika itu, negeri Perak masih belum mempunyai seorang Raja Pemerintah dan orang besar-besar telah bermesyuarat untuk melantik Tun Saban dan Nakhoda Kassim berangkat ke Kampar bagi memohon perkenan Sultan Mahmud agar salah seorang putera baginda dijadikan Raja Pemerintah bagi Negeri Perak.

Sultan Mahmud Shah mempunyai seorang putera bernama Raja Mudzaffar hasil daripada perkahwinan dengan Puteri Onang Kening, iatu seorang anak Raja Kelantan. Baginda telah memperkenankan Raja Mudzaffar dijadikan Raja Pemerintah di Negeri Perak. Tidak lama kemudian, Raja Mudzaffar dikurniakan oleh Sultan Mahmud Shah beberapa alat-alat kebesaran termasuk sebilah baur (disebut sebagai 'ba-war') yang berupa sebilah pedang bernama 'Cura Si Manja Kini', sebilah keris, sebuah cap kayu Kempa yang berlorek dengan perkataan 'SULTAN MUHAMAD SHAH DZIL ALLAH FIL-ALAM', serta nobat dan surat Ciri.

Maka selepas menerima titah Sultan Mahmud Shah berangkat ke Perak, Raja Mudzaffar pun bersiap untuk berangkat meninggalkan Kampar. Sementara itu, Tun Saban pulang ke Perak dan menyediakan 77 ekor gajah yang sarat dengan berbagai persembahan dari penduduk Hulu Perak, lalu menunggu keberangkatan tiba Raja Mudzaffar di kuala Sungai Perak.

Raja Mudzaffar pun belayar bersama isterinya bernama Tun Terang, putera baginda bernama Raja Mansur dan pengiring-pengiring termasuk Megat Terawis ibni Daulat Pagar Ruyong. Baginda singgah di Kelang dan Siak kerana menziarahi keluarga baginda. Semasa di Kelang, baginda bertemu dengan Nakhoda Tumi, iaitu seorang yang berasal dari Manjung dan selalu berulang-alik dari Perak ke Kelang untuk berniaga, dan baginda meminta Nakhoda Tumi membawakan baginda ke Negeri Perak. Maka sesampai di Beting Beras Basah di kuala Sungai Perak, bahtera yang dinaiki baginda tersangkut dan kelasi-kelasi tidak tahu melepaskan bahtera itu. Dalam keadaan ini, baginda pun bersawab-sawab titahnya:-

"Sekongkong Tanah Minangkabau
Selilit Pulau Perca
Di lengkong ular Saktimuna
Perpisahan Beta di Selat Melaka
Jika sah Beta Raja berdaulat
Lepaskan sekalian malapetaka"

Maka disahut oleh Tun Saban dengan sekalian hamba rakyat yang menanti di situ dengan teriakan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali. Setelah itu, bahtera baginda pun terlepas masuk muara lalu memudiki Sungai Perak masuk ke Negeri Perak. Raja Mudzaffar telah ditabalkan di tempat yang bernama Tanah Abang (yang sekarang dikenali sebagai Ayer Mati di dalam mukim Lambor Kanan, daerah Perak Tengah) menjadi Raja Pemerintah dan Yang Dipertuan Negeri Perak dengan gelaran Paduka Seri Sultan Mudzaffar Shah I, Sultan Perak yang pertama. Pada masa pertabalan, Tok Temong datang membawa persembahan sejenis tangkal azimat bernama Mastika Embun sebagai hadiah kepada baginda.

Tragedi Natrah, Antara Cinta & Airmata

Babak dalam teater Natrah lakonan Maya Karin dan Mansor lakonan Remy Ishak.

Rusuhan Natrah atau Tragedi Natrah, Rusuhan Maria Hertogh berlaku di Singapura pada 12 Disember 1950. Tragedi bertitik tolak dari keputusan mahkamah bahawa Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda dan bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya.

Natrah tidak mempunyai darah Melayu. Beliau yang lahir pada 24 Mac 1937 adalah anak Belanda tulen bernama Bertha, anak kepada Sarjan Adrianus Petrus Hertogh dan ibunya, Adeline. Maknanya, Natrah adalah anak keluarga penjajah yang lahir di tanah jajahan kerana ayahnya berkhidmat dalam tentera Belanda untuk memastikan Indonesia terus dijajah.

Natrah juga bukan lahir di Tanah Melayu. Tetapi dilahirkan di Tjimahi, Jawa, ketika itu sebahagian daripada Hindia Timur Belanda. Tetapi dalam tahun-tahun 30-an, Hindia Timur Belanda dan Tanah Melayu walaupun menjadi tanah-tanah jajahan Belanda dan Inggeris dianggap sebagai tanah air serumpun bersama.

Kedatangan Jepun mengubah hidup Natrah. Demi keselamatannya, beliau diserahkan oleh ibunya dan neneknya Nor Louise kepada Che Aminah Mohamed tanpa pengetahuan bapanya.

Pada masa kacau-bilau itu, perkara ini adalah suatu yang biasa. Dapat terus hidup adalah suatu yang sudah cukup patut dihargai terutama bagi penjajah Belanda dan Inggeris yang sedang lari daripada kemaraan Jepun.

Sejak diserahkan kepada keluarga Melayu itu, maka bermulalah Bertha berubah jati diri daripada seorang Belanda kepada Melayu. Namanya menjadi Natrah dan dia dididik sebagai seorang Islam selama lapan tahun. Bagi orang Melayu, anak angkat adalah seperti anak sendiri. Anak angkat keluarga Melayu seharusnya menjadi orang Melayu.

Lebih-lebih lagi apabila pada 15 November 1945, Natrah dibawa ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura. Maknanya kalau Natrah terus berada di sini, maka beliau menjadi orang Melayu dan warganegara Malaysia.

Semasa perang Jepun itu, banyak anak-anak daripada pelbagai keturunan dan agama, sama ada Inggeris, Belanda, Cina atau Jepun terselamat apabila mereka diambil sebagai anak angkat orang Melayu. Mereka membesar sebagai orang Melayu dan Islam. Tidak ada masalah dengan mereka.

Tetapi terhadap Natrah, bapanya yang dibebaskan daripada tawanan Jepun kembali ke Bandung mencari Natrah pada tahun 1945. Beliau tidak dapat menerima bahawa Natrah menjadi Melayu.

Hakikatnya ialah Hertogh adalah tentera penjajah yang bernasib baik selamat dalam perang di tanah jajahan. Kalaulah dia terbunuh dalam perang itu, maka tidak timbul Natrah hendak dikembalikan.

Begitu juga Natrah bernasib baik selamat selepas diserahkan oleh ibu dan neneknya kepada keluarga Melayu. Bukan soal dia menjadi Melayu atau Belanda. Hakikatnya dia terselamat dan dipelihara oleh keluarga angkatnya seperti anak sendiri.

Tetapi pada tahun 1950, Tanah Melayu berada dalam penjajahan Inggeris. Atas bantuan pihak berkuasa Inggeris, bapa Natrah dapat mengeluarkan Natrah daripada keluarga Melayu.

Dalam rayuan Che Aminah pada 28 Julai 1950, keluarga angkatnya itu menang. Untuk memastikan Natrah terus menjadi Melayu, beliau dinikahkan dengan Cikgu Mansor Adabi pada Ogos 1950. Mansor Adabi bukanlah calang-calang orang. Beliau adalah antara anak muda Melayu terpelajar yang timbul pada zaman itu untuk turut menyumbang kepada perjuangan kemerdekaan bangsa.

Ketika itu Mansor berusia 18 tahun, dan Natrah 14 tahun. Mereka hidup di Singapura dan berbahagia. Tetapi kebahagiaan mereka dirampas oleh mahkamah penjajah yang tidak menghiraukan kehendak Natrah itu sendiri.

Maka pada 12 Disember 1950 hakim memutuskan Natrah dikembalikan menjadi Belanda. Dia diperintah supaya kembali kepada ibu kandung, perkahwinannya dengan Mansor dibatalkan dan agamanya dimurtadkan.

Natrah meraung-raung di mahkamah mahu kekal berada dengan keluarga angkatnya dan mahu terus menjadi isteri Mansor. Natrah tidak mahu kembali kepada keluarga kandungnya.

"Saya beragama Islam. Saya tidak mahu pergi ke Belanda,'' kata Natrah di mahkamah sambil memeluk suaminya.

Tetapi dia tidak boleh buat apa-apa. Orang Melayu juga tidak mempunyai sebarang keupayaan. Singapura dan Tanah Melayu masih dijajah Inggeris. Apa yang hanya boleh dilakukan oleh masyarakat Melayu di Singapura ialah melancarkan rusuhan.

Dalam hal ini, tentunya Utusan Melayu yang ketika itu akhbar utama orang Melayu memainkan peranan menyiarkan laporan mengenai perbicaraan dan mahkamah serta ulasan-ulasan bagi meluahkan perasaan orang Melayu.

Maka akhirnya, Natrah dibawa juga ke Belanda, dimurtadkan, ditukarkan namanya kembali kepada Bertha dan pada 20 April 1956 berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt.

Suaminya yang sah dari segi Islam tetapi dipisahkan secara paksa oleh Mahkamah kolonial Inggeris berkahwin dengan Zaiton Juhari setelah ketiadaan Natrah. Beliau aktif dalam Malayan Law Journal sejak tahun 1961 dan menjadi Pengarah Urusan jurnal itu sehingga tahun 1987. Beliau meninggal dunia pada 15 Oktober 1988 di Singapura.

Bagi keluarga angkat Natrah, beliau tetap anaknya. Begitu juga bagi masyarakat Melayu. Walaupun banyak tahun berlalu, ada saja keinginan dari kalangan masyarakat Melayu untuk mengetahui apa yang sedang berlaku pada Natrah.

Orang Melayu berasa pilu dengan peristiwa Natrah itu. Natrah dan keluarga-keluarganya, baik angkat atau kandung adalah mangsa.

Begitu juga dengan mereka yang terbunuh dan cedera dalam Rusuhan Natrah. Lapan belas terbunuh dan 173 cedera apabila tentera menembak para perusuh yang terdiri daripada orang Melayu di Singapura.

Kesemua mereka, dan juga masyarakat Melayu adalah kesemuanya mangsa kepada sistem penindasan kolonialisme dan imperialisme Inggeris, Belanda dan Jepun.

Pada 7 Julai 2009, Natrah telah meninggal dunia di Belanda.