Durian Toh Amar

Kawasan sekitar Gunung Panjang dan Kampung Cholek dekat Gopeng, Perak amat terkenal dengan buah-buahan tempatan terutama durian. Durian di sini sebenarnya memiliki sejarahnya tersendiri kerana dikatakan berasal daripada durian yang ditanam di Batu Gajah oleh Toh Pandak Akhat, Toh Amar Diraja (1899-1906). Durian beliau amat terkenal dengan isi yang manis dan rasa yang enak sehingga pernah dipertandingkan dalam 'Perak Agro-Horticultural Show' yang pertama pada tahun 1893. Setelah dusun Toh Amar dijadikan lombong bijih timah, benih durian yang terkenal ini telah dibawa dan ditanam di Gopeng lalu dikenali sebagai 'Durian Toh Amar'.

Menara Condong Teluk Intan


Sebut sahaja Teluk Intan, umum telah mengenalinya kerana terdapat Menara Condong di bandar bersejarah ini. Menara ini telah dibina oleh arkitek Cina, En. Leong Choon Cheong dan berfungsi sebagai tangki simpanan air untuk bekalan penduduk sekitar dan berfungsi sebagai jam. Selain itu, tujuan dan motif pembinaannya adalah sebagai keperluan memadam kebakaran, tangki air, memperingati jasa pentadbir British dan mercu tanda Teluk Intan.

Walaupun kontraktor Leong Choon Cheong berusaha membina menara jam ini dahulu, namun tidak dapat dinafikan bahawa pihak British adalah pemilik dan pentadbir ketika itu. Selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, menara jam ini secara automatis menjadi milik negara dan kini ia di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Perak. Semasa pemerintahan Jepun, bangunan ini telah digunakan pula oleh askar-askar Jepun sebagai menara kawalan bagi memerhatikan musuh. Menara ini telah condong secara tidak disedari kerana didirikan di atas struktur tanah yang lembut disamping itu terdapat bebanan tangki yang menakung air yang telah menyebabkannya condong sedikit ke arah barat laut. Hal ini dikatakan terdapat sebuah terusan telah dibina oleh Mak Intan tetapi telah ditimbus berada di bawah tapak menara ini.

Pameran Majlis Raja-Raja di Muzium Diraja


Makam Raja Perempuan Cik Neng

Raja Perempuan Cik Neng merupakan isteri Raja Reman yang terakhir, Tuan Jagong. Kesultanan Reman adalah sebahagian kerajaan-kerajan Melayu kecil yang terdapat di selatan Siam. Kerajaan ini wujud selepas Tuan Tok Nik Tok Leh, putera Raja Patani mengasaskannya pada tahun 1810. Pada tahun 1925, Reman telah menawan Hulu Perak dan usaha menawan semula telah dilakukan oleh Dato' Seri Lela. Konflik sempadan Reman-Perak ini berterusan sehingga termeterainya Perjanjian Bangkok pada tahun 1909 yang sekaligus menamatkan Kesultanan Reman. Tambahan pula selepas kemangkatan Tuan Jagong pada tahun 1899, Reman tidak mempunyai pewaris takhta ekoran putera-putera baginda (Tuan Menang & Tuan Lebeh Long Raya) telah mati dibunuh oleh pemerintah Thai. Cik Neng pula mangkat di Selarung, Kroh pada tahun 1915.

Sejarah Chepor

Mengikut sejarah lisan, Chepor terbahagi kepada dua bahagian iaitu Chepor Hulu dan Chepor Hilir. Dua orang dipercayai membuka Kampung Chepor ini iaitu Ngah Noh dan Syed Habib Ali. Mereka ini berasal dari Kampung Teluk Bakong, Parit yang berhijrah ke Jelapang. Pada zaman pemerintahan British, tanah-tanah mereka ini telah dibeli atau ditawarkan dengan harga yang agak lumayan. Oleh kerana terpengaruh dengan wang, mereka telah menjualkan tanah-tanah mereka. Dari Jelapang, mereka berpindah ke Chepor. Ngah Noh membuka Chepor Hulu manakala Syed Habib membuka Chepor Hilir. Kini, Chepor Hulu dikenali sebagai Chepor Luar dan Chepor dipanggil Chepor Dalam. 

Nama Chepor asalnya daripada bunyi air dicepok. Di sungai Chepor terdapat air terjun dan di bawah air terjun ini terdapat sekeping batu yang datar yang juga dipanggil Lata. Apabila air terjun tadi jatuh ke lata ini, ia menghasilkan bunyi 'por'. Sempena dengan bunyi inilah nama Chepor diperolehi.

Pameran 130 Tahun Muzium Perak '1883-2013: Dulu, Kini dan Selamanya'

Pameran 130 Tahun Muzium Perak '1883-2013: Dulu, Kini dan Selamanya'

Tarikh : 30 Sep 2013 - 31 Dis 2013
Masa : 9.00am - 6.00pm
Tempat : Muzium Perak, Taiping.

        
Pameran ini memaparkan kepada pengunjung mengenai institusi muzium yang tertua di Malaysia. Ia bukan sahaja mendedahkan mengenai sejarah Muzium Perak ini tetapi mengetengahkan nostalgia warga kakitangan yang pernah berkhidmat di sini serta para pelawat.

       
Antara koleksi yang menarik dalam pameran ini adalah gambar-gambar lama Muzium Perak, senarai serta gambar Kurator Muzium Perak sejak tahun 1883 lagi, peralatan pihak pengurusan muzium dan pakaian kakitangan muzium.


Aktiviti Sepanjang Bulan Ogos- Oktober 2013

 Pameran 'Taiping's Streets Name 1899-1970s'
Tarikh : 24 Ogos 2013
Tempat : First Galleria, Taiping.

Lawatan ke Muzium Negeri Pulau Pinang & Muzium Perang
Tarikh : 25 Ogos 2013



Lawatan ke Muzium Negeri Selangor di Shah Alam, Selangor dan Tugu Negara, Kuala Lumpur.
Tarikh : 31 Ogos 2013
      

       

Menjejaki Warisan Kesultanan Melayu Kedah
Tarikh : 7 September 2013
Lokasi : Muzium Negeri Kedah di Alor Setar, Muzium Kota Kuala Kedah dan Muzium Kota Kayang, Perlis.

Pelancaran Buku Mengenang Perjuangan Sultan Abdullah Yang Dibuang ke Pulau Seychelles
Tarikh : 14 September 2013
Lokasi : Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tg. Malim, Perak.


Kembara Warisan Bijih Timah Kinta
Tarikh : 22 & 29 September2013
Lokasi : Kellies Castle di Batu Gajah, Rumah Warisan Gopeng & Muzium Perlombongan Kampar.


Menjejaki Warisan Diraja Kuala Kangsar
Tarikh : 24 September 2013

Melawat Galeri Pangkor
Tarikh : 24 September 2013

TUN MUHAMMED HANIFF BIN OMAR

Anak jati Perak ini telah dilahirkan di No.15, Jalan Syed Abu Bakar, Teluk Intan pada 16 Januari 1939. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Anglo-Chinese dan kemudiannya melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Di MCKK selain aktif dalam kokurikulum, beliau telah menjadi Ketua Pengawas selama 3 tahun berturut-turut. Memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya, Singapura pada 1959 dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Undang-undang dari University of Buckingham, London. 

Sumbangan terbesar Tun Haniff kepada negara ialah beliau merupakan tokoh yang termuda (berumur 35 tahun) dan paling lama yang diberi mandat untuk memegang jawatan Ketua Polis Negara dari 8 Jun 1974-15 Jan. 1994. Beliau juga terlibat dalam banyak peristiwa penting negara seperti Ketua Pegawai Turus (Polis) Majlis Gerakan Negara (18 Mei 1969) berikut insiden hitam 13 Mei, bersama dengan Tunku Abdul Rahman di Persidangan Manila berhubung dengan penubuhan MAPHILINDO pada tahun 1963 dan juga merupakan antara wakil Kerajaan Malaysia di Perjanjian Damai yang dimeterai oleh Parti Komunis Malaya (PKM) dengan Kerajaan Malaysia dan Thailand pada 2 Disember 1989 di Haadyai, Thailand.

Salam Kemerdekaan ke-56 & Hari Malaysia ke-50, Malaysiaku Berdaulat Tanah Tumpahnya Darahku


Majlis Pelancaran Kibar Jamlur Gemilang Negeri Perak 2013




Muzium Bersama Komuniti Muzium Perak

TAIPING 6 Julai - Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bercadang menjadikan bandar Taiping yang kaya dengan pelbagai produk pelancongan termasuk bangunan-bangunan warisan sebagai Bandar Bersejarah.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, untuk tujuan itu, pihaknya akan berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, perbincangan perlu dilakukan segera memandangkan ada di antara bangunan lama tersebut tidak diurus dengan baik.


"Selain itu saya bimbang kalau kita tidak jadikan bangunan ini sebagai ikon, mungkin satu masa nanti bangunan itu akan diruntuhkan dan dibangunkan dengan pembangunan lain.

"Bila berlaku begitu, kita akan hilang segala khazanah yang ada. Oleh itu saya berhajat untuk berunding dengan Menteri Besar (Zambry) jadikan Taiping sebagai Bandar Bersejarah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Muzium Taiping sempena program bersama komuniti di sini hari ini.

Program dua hari berakhir esok itu turut menempatkan 47 gerai pameran melibatkan produk pelancongan, kesihatan dan kraftangan selain persembahan kebudayaan seperti wayang kulit, dikir barat dan pancaragam sekolah.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail.


Tambah Mohamed Nazri, selain menjadikan khazanah-khazanah tersebut sebagai warisan, produk tersebut juga akan dinaik taraf sebagai ikon pelancongan negeri termasuk Muzium Taiping.

"Taiping ada pelbagai produk seperti zoo, taman bunga dan landasan kereta api yang pertama di Kuala Sepetang serta muzium. Semua produk ini boleh dijadikan aset untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri Perak," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai lawatannya, beliau berkata, pihaknya akan mengkaji bentuk penambahbaikan yang perlu dilakukan serta peruntukan yang diperlukan pihak terlibat.

"Saya amat kagum dengan artifak-artifak yang ada di sini. Sebelum datang saya bayangkan ada tempat yang kosong kerana tak ada artifak tapi ternyata sangkaan saya meleset.


"Daripada taklimat yang diberi, pihak muzium mempunyai lebih 400,000 artifak dan tidak boleh dipamerkan semua justeru, saya minta mereka buat permohonan dan kita usaha untuk dapatkan peruntukan bagi penambahbaikan," katanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130707/dn_20/Kerajaan-berhasrat-jadikan-Taiping-Bandar-Bersejarah#ixzz2YJq2cFtV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pelancaran Memoir Mark Y.S 'My Days in the Sun'

Kisah perjalanan hidup Mark Yoi Sun Soo, seorang pakar radiologi yang berjaya menempa nama di Malaysia dan beberapa negara lain telah dibukukan dalam bentuk memoir untuk tatapan umum.

Buku bertajuk ‘My Days In The Sun' mengisahkan tentang perjalanan hidup beliau sebagai pakar radiologi terkemuka di Asia yang mendapat pendidikan awal di Melaka Anglo Chinese School di Melaka.

Lebih dikenali sebagai Mark Y.S, beliau dilahirkan di Hong Kong pada 1933 dan sering berulang alik antara Hong Kong dan Kampar, Perak pada waktu kecilnya di mana ayahnya menjalankan perniagaan perubatan Cina ketika itu.


Mark Y.S mengambil keputusan untuk kembali ke negara kelahirannya Hong Kong untuk mendapat Ijazah Kedoktoran di University of Hong Kong di mana beliau berjumpa isterinya ketika menjalani latihan di Queen Mary Hospital.

Pada usia 29 tahun, Mark Y.S membawa seluruh keluarganya berhijrah ke Ipoh di mana dia berkhidmat sebagai pegawai perubatan membantu penduduk susah di kampung baru ketika zaman darurat.Beliau kemudiannya ke London Royal Free Hospital bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang kepakaran radiologi sebelum kembali ke Malaysia untuk berkhidmat di University Hospital pada 1967. 

Namun, insiden rusuhan kaum 13 Mei, 1969 telah menyebabkan Mark Y.S mengambil keputusan berhijrah ke Sydney, Australia di mana beliau bertugas sebagai doktor residen di Concord Hospital sebelum ditukarkan ke Westmead Hospital di mana beliau menjadi Ketua Neurologi dan Pengarah MRI.


Bak kata perpatah, tempat jatuh lagi dikenang dan mungkin itulah yang mendorong Mark Y.S untuk kembali ke Kuala Lumpur antara 1998 hingga 2000 untuk menjadi profesor pelawat.

“Buku sangat bermakna kerana ia memberi kita peluang menyelami kisah Mark dari zaman persekolah hingga berjaya menjadi doktor pakar yang terkenal dan hebat.


“Mark adalah seorang yang rendah diri dan jujur, selain seorang doktor pakar, beliau juga seorang penulis dan orang seperti beliau tidak ramai. 

Walaupun berasal dari Hong Kong, dia tetapi tetap mengingati tempat dia dibesarkan iaitu Kampar,” katanya ketika majlis pelancaran anjuran Perak Academy dan Areca Books.Mark Y.S kini berusia 80 tahun menghabiskan masa tuanya di Australia.

Pameran Sejarah Bandaraya Ipoh 2013

Pameran Sejarah Bandaraya Ipoh ini telah berlangsung pada 1 Julai hingga 7 Julai 2013 di ruang legar Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh bersempena Sambutan Jubli Perak Majlis Bandaraya Ipoh.

      
Pameran yang memaparkan gambar-gambar ini dapat menunjukkan warga Ipoh mengenai perkembangan Bandaraya Ipoh yang bermula daripada sebuah kampung di tepi sungai kepada sebuah ibu negeri.



Paip Besar Gopeng

      
 Monumen Paip Besar Gopeng yang telah dibina pada tahun 1908. Paip air besar sepanjang 15km ini dahulunya berfungsi untuk menyalurkan air dari kawasan gunung ke kawasan perlombongan bijih timah di sekitar Gopeng.

     

Info: Paip Air Gopeng dan aktiviti perlombongan

* Syarikat Osborne and Chopper ditutup 1994.

* Paip air besi disambung menggunakan pasak kayu.

* Ukuran batang paip:
* Garis pusat 48 inci 
* Garis pusat 24 inci
* Jarak antara tiang: 600 meter 
* Antara laluan saluran paip: 
Kampung Tersusun Gopeng, Taman Gopeng Baru, Lawan Kuda, Kopisan Baru, Kampung Sungai Itek  & Kampung Pintu Padang.