Durian Toh Amar

Kawasan sekitar Gunung Panjang dan Kampung Cholek dekat Gopeng, Perak amat terkenal dengan buah-buahan tempatan terutama durian. Durian di sini sebenarnya memiliki sejarahnya tersendiri kerana dikatakan berasal daripada durian yang ditanam di Batu Gajah oleh Toh Pandak Akhat, Toh Amar Diraja (1899-1906). Durian beliau amat terkenal dengan isi yang manis dan rasa yang enak sehingga pernah dipertandingkan dalam 'Perak Agro-Horticultural Show' yang pertama pada tahun 1893. Setelah dusun Toh Amar dijadikan lombong bijih timah, benih durian yang terkenal ini telah dibawa dan ditanam di Gopeng lalu dikenali sebagai 'Durian Toh Amar'.

Menara Condong Teluk Intan


Sebut sahaja Teluk Intan, umum telah mengenalinya kerana terdapat Menara Condong di bandar bersejarah ini. Menara ini telah dibina oleh arkitek Cina, En. Leong Choon Cheong dan berfungsi sebagai tangki simpanan air untuk bekalan penduduk sekitar dan berfungsi sebagai jam. Selain itu, tujuan dan motif pembinaannya adalah sebagai keperluan memadam kebakaran, tangki air, memperingati jasa pentadbir British dan mercu tanda Teluk Intan.

Walaupun kontraktor Leong Choon Cheong berusaha membina menara jam ini dahulu, namun tidak dapat dinafikan bahawa pihak British adalah pemilik dan pentadbir ketika itu. Selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, menara jam ini secara automatis menjadi milik negara dan kini ia di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Perak. Semasa pemerintahan Jepun, bangunan ini telah digunakan pula oleh askar-askar Jepun sebagai menara kawalan bagi memerhatikan musuh. Menara ini telah condong secara tidak disedari kerana didirikan di atas struktur tanah yang lembut disamping itu terdapat bebanan tangki yang menakung air yang telah menyebabkannya condong sedikit ke arah barat laut. Hal ini dikatakan terdapat sebuah terusan telah dibina oleh Mak Intan tetapi telah ditimbus berada di bawah tapak menara ini.