Perjalanan @ Kuala Kangsar

Pada 16 Februari 2010, kami telah berkunjung ke daerah Kuala Kangsar. Tempat pertama kami kunjungi ialah Karai, kampung halaman Hisham. Uniknya pekan kecil ini ialah Jambatan Keretapi Victoria yang berusia 100 tahun lebih. Ia merentangi Sungai Perak dan berketinggian sama dengan bangunan 4 tingkat.

Seterusnya kami ke Bandar Diraja Perak. Dalam perjalanan seterusnya ini, Fazrin dan Fareed telah tertinggal bas di Karai. Hal ini terjadi gara-gara pemandu bas tu yang agak 'tension'. Namun, mereka berdua berjaya menaiki bas seterusnya dan sampai ke Kuala Kangsar.

Akibat penat kena tinggal bas, kami telah melepaskan kepenatan itu dengan menjamu selera di medan selera berhampiran tebing Sungai Perak yang terkenal dengan laksa dan cendol. Kemudian tempat-tempat yang disinggahi kami ialah Galeri Sultan Azlan, Masjid Ubudiah, Muzium Diraja Perak dan gerai-gerai kraftangan.


Kenali Kesultanan Perak-Sultan Idris Mursyidul Azzam Shah I

Jika Sultan Abu Bakar dikenali sebagai Bapa Pemodenan Johor, begitu jugalah baginda Sultan Idris Shah I yang sinonim dengan gelaran tersebut. Negeri Perak telah mengalami kemajuan yang pesat semasa pemerintahan baginda ini. Pada 26 Julai 1887, Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Shah pun mangkat dan Raja Idris telah ditabalkan menjadi Sultan Perak yang ke-28 bergelar Sultan Idris Murshidul'Adzam Shah (atau lebih dikenali sekarang sebagai Sultan Idris Shah I). Baginda bersemayam di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Ketika itu, baginda berumur 38 tahun.

Dalam tahun 1888, baginda telah berangkat ke England bersama-sama Sir Hugh Low dan Raja Ngah Mansur atas undangan Ratu Inggeris, Queen Victoria II. Semasa berada di England, Raja Ngah Mansur berusaha dengan persetujuan Sultan Idris mencipta Lagu Kebangsaan Negeri Perak berasal daripada lagu 'Terang Bulan'. Lagu ini mula diketengahkan pada 5 April 1889 dalam istiadat pertabalan baginda di Kuala Kangsar.

Dalam pemerintahan baginda, Negeri Perak bertambah maju, pekan-pekan semakin banyak dibuka. Hasil bijih timah dari daerah Kinta banyak dikeluarkan. Ladang-ladang getah semakin banyak dibuka di seluruh Negeri Perak. Landasan kereta api telah diperluaskan ke seluruh negeri Perak dan bersambung dengan Seberang Prai hingga ke Kuala Lumpur. Bilangan penduduk Negeri Perak menjadi bertambah ramai sehingga berjumlah lebih daripada dua ratus ribu orang.

Pada tahun 1895, dengan persetujuan Sultan-sultan Perak, Selangor, Pahang dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, keempat-empat buah negeri itu dijadikan sebuah persekutuan negeri-negeri dinamakan 'Negeri-Negeri Melayu Bersekutu'. Persekutuan ini telah ditubuhkan dengan rasminya pada 1 Julai 1896, dan Majlis Raja-Raja keempat-empat buah negeri ini disebut 'DURBAR'. Pengerusinya ialah Sir Charles Mitchell, Pesuruhjaya Tinggi bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu serta Gabenor Negeri-Negeri Selat. Majlis 'DURBAR' yang pertama telah diadakan di Istana Negara, istana rasmi baginda di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada bulan Julai 1897.

Dalam tahun 1901, baginda telah dikurniakan Darjah Kebesaran 'Knight Grand Cross of the Order of Saint Michael and Saint George', G.C.M.G., dan 'Knight Grand Cross of the Victorian Order', G.C.V.O., oleh Raja Inggeris, King George Kelima. Kedua-dua Darjah Kebesaran Inggeris tersebut membawa gelaran 'Sir'.

Baginda menggalakkan penubuhan beberapa buah sekolah Melayu dan Inggeris agar rakyat terutamanya anak-anak Raja dan orang besar-besar mendapatkan pendidikan. Antaranya ialah Kolej Melayu, yang pada masa itu dinamakan 'Babul'd-Darjat' di Kuala Kangsar dan Sekolah Inggeris Central, yang kemudiannya dinamakan Sekolah King Edward. Baginda juga perkenan berangkat meletak batu asas bangunan Masjid Ubudiah di Bukit Chandan, yang terletak tidak jauh dari istana baginda.

Sewaktu pemerintahan baginda, sebahagian utara Hulu Perak seluas seribu batu persegi termasuk Kelian Intan dan Keroh, yang telah diambil oleh Kerajaan Reman (di bawah pemerintahan Negara Siam) dalam tahun 1909, telah pun diserahkan kembali kepada Kerajaan Perak.

Dalam tahun 1914 semasa Perang Dunia Pertama, Sultan Idris Shah I mengambil bahagian utama bersama Raja-Raja pemerintah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu menghadiah sebuah kapal perang besar kepada Kerajaan British. Kapal itu dinamakan H.M.S. Malaya, dan telah ditenggelamkan dalam Perang Dunia Kedua.

Baginda juga seorang yang mementingkan hak keistimewaan dan kesejahteraan orang Melayu. Buktinya, titah ucapan baginda pada tahun 1913 yang berbunyi 'a person belonging to any Malayan race who habitually speaks the Malay language or any Malay language and professes the Muslim religion'.