Perak terkenal dengan makanan pelbagai kaumnya yang sedap seperti Mi Rebus, Rendang Tok, Satay, Nasi Kandar, Maruku, Ayam Taugeh, Kacang Puteh, Kopi Puteh dan banyak lagi. Setiap daerah di negeri ini memiliki keunikan makanannya yang tersendiri. Selain itu, buah-buahan seperti durian dan Limau Tambun amat sinonim dengan negeri bertuah ini. Durian di Perakterutama di Bukit Gantang unik kerana isinya tidak begitu kuning tetapi manis.Kalau berkunjung ke Taiping, Mi Udang Banjir di Kuala Sepetang menjadi sebutan dan menu santapan. Kedudukan Kuala Sepetang yang berhampiran dengan Selat Melaka membolehkan ia menjadi syurga makanan laut seperti Mi Udang dan Nasi Goreng Udang. Makanan ini amat senang didapati di gerai-gerai sepanjang jalan Taiping-Kuala Sepetang. Harga makananya juga adalah mengikut saiz udang dari RM6-RM15. Gerai Mi Udang yang popular di sini ialah Gerai Mak Teh. Makanan laut juga boleh didapati di Lumut dan Parit Buntar.
Selain makanan laut, Taiping juga terkenal dengan cendol. Cendol yang popular di bandar ini ialah di Gerai Cendol Bismillah, Jalan Stesen dan Cendol Kamunting. Minuman manis ini juga amat terkenal di Kuala Kangsar dan Ipoh. Di Kuala Kangsar, cendol ini dijadikan juadah menjamu selera bersama-sama Laksa Kuala Kangsar yang lazat. Pengunjung boleh menikmati kedua-dua makanan ini di Medan Selera Kuala Kangsar dengan melihat pemandangan indah tebing Sungai Perak. Mengenai laksa, Laksa Kuala Kangsar ini mempunyai kelainan dari laksa tempat lain dari segi kepekatan kuahnya.
Rendang Tok merupakan makanan tradisi Perak. Ia tidak asing lagi dalam masyarakat Melayu terutama di Lembah Sungai Perak dari Kuala Kangsar hingga Teluk Intan. Makanan ini diperbuat daripada daging yang dipotong dadu. Kebiasaannya masakan tradisi ini sering dimakan bersama lemang, lebih-lebih lagi semasa Hari Raya Aidilfitri.



