Kuala Kangsar, Warisan Diraja Perak


Kuala Kangsar merupakan sebuah legasi kegemilangan Kesultanan Perak. Bandar Diraja Perak ini bermula hanya dengan sebuah perkampungan kecil di pinggir Sungai Perak. Asal usul nama bandar ini bermula apabila peneroka memudik dengan sampan hingga sampai ke suatu anak sungai di tebing kiri Sungai Perak.  Kebetulan mengikut kiraan mereka kuala sungai ini ialah yang ke seratus kurang satu, atau 'Kuala Kurang Sa'. Kononnya itulah nama asalnya, 'KUALA KURANG SA' dan kemudiannya disebut Kuala Kangsar sahaja.

Kehadiran ramai orang Melayu yang merantau ke Kuala Kangsar telah mewujudkan satu kebudayaan yang unik di sini. Antara budaya atau tradisi yang masih berkekalan hingga hari ini ialah labu sayong. Mengikut cerita, perusahaan labu sayong ini telah diperkenalkan oleh Tok Kalok dari Minangkabau semasa pemerintahan Sultan Iskandar. Selain itu, orang-orang Bugis turut mendiami Kuala Kangsar terutama di sekitar Kota Lama.

Semasa awal pentadbiran British, Kuala Kangsar hanya terdiri daripada pekan kecil yang terdiri daripada kedai papan berbumbung rumbia dan rumah-rumah kutai. Antara rumah kutai yang terbesar semasa itu ialah rumah kutai milik Che Mida (Tapaknya kini telah dijadikan SMK Raja Perempuan Kalsom). Selepas pembunuhan J.W.W. Birch, Kuala Kangsar telah didiami oleh Residen British ke-3, Sir Hugh Low. Ketika itu, Kuala Kangsar mulai berkembang pesat dengan wujudnya pusat-pusat pentadbiran British dan kemajuan seperti perkhidmatan telegraf diperkenalkan pada tahun 1880an, getah pertama di Malaysia ditanam di sini pada tahun 1879, Maktab Melayu Kuala Kangsar dalam tahun 1905 dan landasan kereta api.
Dari segi sejarah Kesultanan Perak, pada peringkat awal pusat pemerintahan Sultan Perak ialah di tebing kanan mudik Sungai Perak seperti Sayong. Pada tahun 1887, Sultan Idris Shah I telah menjadikan Kuala Kangsar sebagai tempat persemayaman Sultan Perak menggantikan Sayong yang sering kali dilanda banjir. Baginda telah membina istana di Bukit Chandan yang dikenali sebagai Istana Nagara pada tahun 1895. Istana ini telah mencipta sejarah kerana di sinilah berlangsungnya Mesyuarat Durbar yang menjadi asas Majlis Mesyuarat Raja-raja Melayu yang wujud hari ini. Istana indah ini telah dirobohkan pada tahun 1931 bagi memberi laluan kepada pembinaan Istana Iskandariah yang siap dibina pada tahun 1933.
Selain itu, terdapat banyak lagi warisan Diraja Perak yang terdapat di Kuala Kangsar seperti Istana Hulu yang telah dijadikan Galeri Sultan Azlan, Masjid Ubudiah yang didirikan pada tahun 1913, Pavilion Polo Iskandar (1930an), Madrasah Idrisiah (1922), Istana Kuning (1926) yang menjadi Muzium Diraja Perak dan banyak lagi istana serta rumah kediaman masyarakat Melayu Perak.
  

Sejarah Dinding I : Dari Konkonagara ke Beruas

Manjung atau dahulunya dikenali sebagai Dinding, merupakan sebuah daerah yang sejarahnya masih lagi tersembunyi dan tidak diketahui oleh umum. Nama Dinding mula ditemui dalam manuskrip Sejarah Melayu yang menceritakan serangan Raja Suran ke atas Gangga Negara yang dikatakan terletak di Dinding, Perak pada tahun 1025. 

Apabila berbicara mengenai sejarah Gangga Negara ini, terdapat sumber sejarah yang menyatakan bahawa kerajaan terawal di Perak telah wujud seawal abad ke-2 Masihi dan dikenali sebagai Konkonagara. Bukti ini adalah berdasarkan kepada catatan Ptolemy dalam Geographike Huphegasis (150 Masihi). Menurut catatan Ptolemy lagi, kerajaan ini dikuasai oleh Kerajaan Funan. 

Selain itu, muncul juga sebuah lagi kerajaan awal di Dinding ini iaitu Qastan Zarian pada abad ke-7 Masihi. Kerajaan ini dikatakan diasaskan oleh Raja Ganji Sarjuna dari Kedah atau Raja Khmers dari Kemboja.  Sejarah kedua-dua kerajaan ini masih samar namun ia telah menjadi asas kepada kemunculan kerajaan Melayu berikutnya iaitu Beruas dan Manjung.

Menurut Sejarah Melayu, sejarah Manjung telah bermula apabila Raja Pasir dari Sumatera iaitu Sultan Malikut Tahir menghukum buang negeri kepada adik Raja Semudra, Sultan Malikut Mansur ke Manjung. Manjung ini kemudiannya telah ditakluki oleh Beruas dan menjadi jajahan Kesultanan Melayu Melaka. Mengikut sumber Portugis, Tome Pires telah mencatatkan bahawa Manjung telah menjadi pusat perdagangan yang pesat terutama dalam perniagaan bijih timah.

Dalam masa yang sama, sebuah kerajaan muncul di Dinding dan sering menjadi seteru kepada Manjung iaitu Beruas. Beruas dikatakan dibuka oleh Shamsul Bahrain dari Acheh. Perkara ini dibuktikan menurut manuskrip Hikayat Shamsul Bahrain dan nama 'Bahrain' itu dikatakan juga sebagai Beruas.Kerajaan ini merupakan sebuah kerajaan yang bernaung kepada Melaka dan menguasai Manjung pada sekitar 1490an.

Kewujudan kerajaan-kerajaan awal Melayu Perak di Dinding ini telah membuktikan bahawa daerah ini telah menajdi satu lokasi penting kepada kuasa luar dan mempunyai hubungan yang rapat dengan Sumatera. Maka tidak hairanlah terdapatnya sebuah pantai yang dikenali sebagai Teluk Batak (kini dikenali sebagi Teluk Batik).

Rumah Tradisional Perak

Di Perak, rumah tradisional Melayu memiliki persamaan senibina seperti rumah tradisional Melayu yang lain di Semenanjung Barat Malaysia tetapi ia berbeza sedikit pada senibina bumbungnya. Rumah tradisional Melayu Perak sering dihiasi dengan senibina bumbung yang panjang dan dikenali sebagai 'bumbung Perak'. Selain itu, binaan Melayu Perak yang menarik dapat dilihat ialah pada anjung yang diukir dengan pelbagai motif. Berikut adalah contoh rumah tradisional Melayu di Perak. Kebanyakan rumah ini didirikan dengan tiang yang tinggi bagi bertujuan mengelakkan ditenggelami banjir.

 Rumah Kutai 

   
* Rumah Kutai yang berusia lebih daripada 100 tahun di Kuala Kangsar (kiri) dan Pasir Salak (kanan). Rumah Kutai ini dahulunya banyak didirikan di kawasan Lembah Sungai Perak dari Teluk Intan hingga Kuala Kangsar.

 Rumah Tradisional yang dipengaruhi oleh legasi British & Nusantara.
   
 Rumah Baitulrahmat di Kuala Kangsar (kiri) dan rumah tradisi Melayu di Kuala Kangsar juga.

   
 Rumah Melayu bercirikan Inggeris di Bota (kiri) dan sebuah Istana Lama di Kuala Kangsar (kanan).

 
Rumah agam milik Toh Sedewa Diraja di Ipoh.

 
Rumah kerajaan yang terdapat di Tanjung Malim (kiri) & Batu Gajah (kanan).

Perak Di Persada Dunia : Hub Ekonomi Dunia

Pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, negeri Perak merupakan hub ekonomi terbesar di dunia dan telah melonjakkan ekonomi Tanah Melayu (Malaysia) semasa itu. Berikut adalah bukti kegemilangan ekonomi negeri Perak pada suatu ketika dahulu sebagai sebuah negeri terkaya di Tanah Melayu.

Pengeluar getah dunia terbesar (1908-1910). Perak juga merupakan negeri pertama di Malaysia yang menerima penanaman getah apabila Residen British di Perak, Sir Hugh Low menanam biji getah di Kuala Kangsar pada tahun 1877. Pada era kemuncak harga getah dunia, seluruh negeri Perak telah dipenuhi dengan ladang-ladang getah.

Pengeluar bijih timah terbesar dunia (1910-1920). Negeri Perak amat kaya dengan hasil galian ini sehingga asal usul nama negeri ini turut dikatakan berasal daripada bijih timah yang bersinar 'perak'. Kawasan perlombongan bijih timah utama di Perak ialah di Batang Padang (abad ke-18), Larut (abad ke-19) dan Kinta (abad ke-20). 

Pengeluar tebu dunia terbesar (1900). Semasa penjajahan British, daerah Kerian di Perak telah menjadi sebuah kawasan penanaman tebu utama di Tanah Melayu.