Jejak Masjid Bersejarah di Perak : Masjid Ahmadiah

Jika melalui jalan utama Ipoh-Gopeng berhampiran Kampung Kepayang, Simpang Pulai, kita pasti akan terpandang akan sebuah masjid lama yang berwarna hijau. Masjid ini diberi nama Masjid Ahmadiah sempena nama Toh Sedewa Diraja Ahmad. Beliau merupakan pembesar Melayu di kawasan ini dan juga Orang Besar Enam Belas.

Kegemilangan perlombongan bijih timah di Kampung Kepayang dan Simpang Pulai pada akhir abad ke-19 telah mencetuskan pembinaan masjid ini oleh Toh Sedewa Ahmad. Menurut catatan yang terdapat pada bangunan masjid ini tertera tahun pembinaannya ialah pada tahun 1905.

Bangunan masjid ini berbentuk segi empat panjang, mempunyai sebuah mihrab, dikelilingi dengan verendah dan memiliki sebuah dewan solat utama. Keunikan masjid yang diperbuat daripada papan dan kayu ini mirip akan Masjid Kampung Laut di Kota Bharu, Kelantan.

Jejak Masjid Bersejarah di Perak : Masjid India Muslim Ipoh

Pada kali ini, kami akan membawa pembaca ke salah sebuah lagi masjid lama di Bandar Raya Ipoh iaitu Masjid India Muslim. Masjid yang berwarna hijau dan putih ini turut dikenali sebagai Masjid Padang Kota kerana ia terletak berhampiran dengan Padang Ipoh dan Sekolah St. Machael's.

Sejarah masjid ini bermula dengan pembinaannya pada tahun 1908. Pembinaannya telah dicetuskan oleh Shaik Adam iaitu seorang ahli perniagaan India Muslim terkemuka. Beliau telah membawa pekerja India sepenuhnya dalam membina masjid ini. Kos pembinaan masjid yang berbentuk empat segi adalah sebanyak $500,000.

Senibina Masjid India Muslim ini amat menarik kerana ia menggabungkan senibina Mogul, India Selatan dan tempatan. Sehingga kini, masjid ini masih digunakan oleh masyarakat Islam di Ipoh terutama India Muslim.

Jejak Masjid Bersejarah di Perak : Masjid Panglima Kinta

Pada catatan kami kali ini, Krew Sejarah Perak akan menjelajah dan memaparkan masjid-masjid bersejarah di seluruh negeri Perak. Masjid merupakan suatu ciri penting dalam kawasan penempatan masyarakat Melayu serta menjadi pusat kegiatan politik, ekonomi dan sosial masyarakat.

Dalam siri pertama ini, kami akan membawa pembaca ke Ipoh. Ipoh sebagai ibu negeri Perak turut mempunyai beberapa buah masjid yang lama dan indah. Antaranya ialah Masjid Panglima Kinta. Masjid ini juga dikenali dengan nama 'Masjid Tengah'. Ia terletak di Jalan Masjid, Ipoh iaitu di tepi tebing Sungai Kinta dan berdekatan dengan Jambatan Sultan Iskandar.

Masjid ini telah dibina pada tahun 1898 oleh Dato' Panglima Kinta Mohammad Yussof bagi memperingati kematian isteri beliau pada tahun yang sama. Menurut Perak Gazet, kos pembinaan masjid ini ialah sekitar $15,000. Oleh itu, masjid ini merupakan masjid batu yang tertua di Ipoh.

Melihat bangunan masjid ini, ia telah direkabentuk dengan menggabungkan senibina Mogul dan Neoclassical. Ia memiliki dua menara, anjung dan kubah batu di sebelah timur. Pada hari ini, masjid ini masih terus digunakan lagi oleh masyarakat Melayu di Ipoh walaupun terdapat banyak masjid baru di sekitar bandar ini.