Hari Ini Dalam WWII Asia



14 Februari 1942, pada hari ini telah terlakar sejarah pertempuran terhebat dalam saat-saat akhir mempertahankan Singapura. Kompeni C Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu yang bertahan di Bukit Chandu telah diserang dengan hebat oleh Tentera Jepun pada waktu tengah hari. Askar Melayu menentang menggunakan grenad dan senjata automatik. Rejimen Askar Melayu mengukir nama dalam sejarah apabila platun seramai 40 orang Askar Melayu di bawah pimpinan Lt. Muda Adnan bin Saidi menentang bermati-matian dan menyeru anggota-anggotanya supaya "biar putih tulang jangan putih mata". Dalam pertempuran yang kini dipanggil Pertempuran Bukit Chandu, hampir kesemua anggota Askar Melayu terbunuh termasuk Lt. Muda Adnan bin Saidi. Di kawasan Kilang batu bata Alexandra, Kompeni “D” Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu berjaya menyebabkan kematian 100 orang askar Jepun yang mara menyusuri Jalan Pasir Panjang.



Tentera Jepun dari Divisyen Pengawal Imperial Jepun sampai ke Hospital Alexandra Barracks pada jam 2.00 petang. Hospital itu penuh dengan askar yang cedera. Kerana marahkan penentangan yang diberikan oleh pasukan Askar Melayu di Bukit Chandu, askar-askar Jepun meluru masuk ke dalam hospital dan menikam pesakit serta doktor dan kakitangan hospital dengan bayonet (sebagai dendam kerana kedegilan Askar Melayu). Hanya tiga orang sahaja yang terselamat. Seramai 200 orang lain yang cedera parah dikurung dalam kuarters pekerja dengan setiap bilik diisikan dengan 70 orang pesakit. Pada waktu malam, mereka dibawa keluar dalam kumpulan-kumpulan kecil dan ditikam mati dengan bayonet .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan