Sejarah Sosial Masyarakat Melayu Dari Kacamata Utusan Melayu 1917

Sekiranya apabila keluar yang menuntut di dalamnya (universiti) itu bolehlah ia menjadi GURU menasihatkan anak bangsanya dengan ikhlas atau boleh menjadi LAWYER menghujah orang yang hendak melakukan yang tidak patut atas negerinya atau HAKIM yang menjatuhkan hukuman yang berbetulan dengan adat negerinya atau DOKTOR mengubatkan penyakit yang bersetuju dengan tabiat bangsanya atau ENGINEER mengatur peraturan yang menyenangkan anak-anak buminya - Utusan Melayu, 10 November 1917.

Sultan Azlan, Perpaduan & Kemerdekaaan

TEKS titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah di Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-83 baginda di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, semalam.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, hamba-Mu ini melafazkan kalimah kesyukuran kerana dengan limpah ihsan dari-Mu juga, hamba-Mu terus dikurniakan usia untuk dapat menyambut ulang tahun hari keputeraan kali ke-83.

Semoga dengan panduan dari-Mu juga, hamba-Mu berjaya menyempurnakan amanah memimpin negeri dan menaungi warga, secara adil – secara saksama.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad SAW, para keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya ke atas para Tabiin dan para ulama.

Ketika negara ini mencapai kemerdekaan, Beta berada dalam usia muda yang penuh dengan idealisme. Beta turut menghayati iltizam dan impian Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum) untuk membangunkan sebuah negara merdeka yang aman lagi bersatu, makmur lagi berdaulat.

Barisan pemimpin yang merintis gerakan kemerdekaan, mengenal pasti pentingnya dipupuk perpaduan dan hubungan harmoni di kalangan warga pelbagai kaum dan pelbagai agama di bumi ini.

Beta bersama warga muda sezaman, turut berazam untuk menjadikan impian indah itu satu realiti, lalu sama-sama mendukung impian untuk membina sebuah negara bangsa merdeka yang teguh bersatu dan kukuh berpadu.

Sesungguhnya, hubungan harmoni antara kaum telah sedia ada secara semula jadi terutama melalui semangat yang diperlihatkan di kalangan masyarakat biasa, dari kalangan petani dan nelayan, pekerja ladang dan pelombong bijih, pemandu teksi dan pekedai runcit, demikian juga di kalangan pendidik, pentadbir dan peniaga.

Masing-masing menerima hakikat bahawa Tuhan telah mencipta manusia dengan pelbagai perbezaan tetapi dari perbezaan itu terkandung banyak persamaan.

Hubungan tulus ikhlas kemanusiaan, sebenarnya, lebih terpancar di kalangan kanak-kanak, yang bermain air di kolam yang sama dan berlari-lari di padang yang sama, tanpa mengenal perbezaan sama ada antara kaum, antara agama atau antara taraf sosial.

Ketika Beta berada di alam sekolah, hubungan harmoni di antara kaum sebenarnya telah berjaya dipupuk dengan penuh kebijaksanaan melalui program pendidikan nasional yang berkesan. Perpaduan dan hubungan harmoni tumbuh segar di dalam jiwa raga setiap warga – hidup subur di taman sebuah negara bangsa.

Pohon perpaduan yang subur itu kemudiannya diracun. Kegiatan politik bersentimen kaum secara keterlaluan mengakibatkan tercetusnya tragis perselisihan kaum yang ekstrem dalam tahun 1969.

Langkah-langkah perundangan dan pentadbiran lalu diperkenalkan untuk menangani krisis yang berlaku. Ia berjaya memberi kestabilan yang telah membolehkan negara memberi fokus kepada usaha pembangunan hingga negara berjaya mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi yang membanggakan.

Kebelakangan ini, isu perkauman dan isu keagamaan kembali menjelma. Pandangan sempit bertunjangkan kaum dan pendirian emosional berakarkan agama cuba dihidupkan semula.

Api kemarahan di kalangan kaum dan di antara penganut agama mahu dinyalakan, sementara pendekatan rasional kerajaan cuma dilemahkan. Perkembangan ini amatlah berbahaya. Perkembangan berbahaya ini, jika tidak dibendung secara bijak, berpotensi memusnahkan masa hadapan negara.

Isu-isu menyentuh sensitiviti kaum dan sensitiviti agama adalah kompleks lagi rumit. Isu kaum dan isu agama tidak dapat diselesaikan melalui saluran perundangan atau melalui penghakiman mahkamah semata-mata.

Keputusan mahkamah tidak memberi erti jika keputusan tersebut tidak diterima secara objektif, lebih mudarat lagi jika ditafsirkan dengan emosi. Kebebasan dan integriti mahkamah akan menjadi subjek pertikaian apabila emosi mempengaruhi asas penilaian.

Isu-isu menyentuh sensitiviti kaum dan sensiviti agama memerlukan pendekatan penyelesaian secara bijaksana serta berhikmah – melalui perbincangan – melalui perundingan, supaya persefahaman dan apresiasi di kalangan warga dapat dipertingkatkan.

Pemimpin kaum dan pemimpin agama yang berpengaruh mempunyai peranan sangat utama. Semua agama menyeru kepada perdamaian, Semua agama mengajar penganutnya menghormati agama lain serta memahami akan sensitiviti agama lain. Semua agama mengajar pengikutnya supaya tidak mempersendakan jauh sekali dari menghina agama lain.

Semua pihak wajib menerima realiti asas, bahawa negara ini telah mempunyai sejarah yang lama didiami oleh penduduk pelbagai kaum dan pelbagai agama.

Pada hari pertama negara ini mencapai kemerdekaan, warga kepada Persekutuan Tanah Melayu terdiri daripada pelbagai kaum dan pelbagai agama. Kata sepakat tentang keistimewaan, kedudukan, perlindungan dan hak setiap kumpulan telah dijamin secara Perlembagaan.

Dengan latar belakang sedemikian, setiap pihak harus menerima hakikat bahawa di antara warga memang ada kelainan, tetapi dalam kelainan tersebut terkandung kesamaan.

Elemen-elemen kesamaan itu adalah aset negara yang harus dipupuk untuk membina kemakmuran, sedangkan elemen-elemen kelainan yang bersifat liabiliti, tidak harus digembar-gemburkan.

Tidak akan berlaku kestabilan politik tanpa perpaduan warga. Tidak akan dapat disuburkan ekonomi negara tanpa kestabilan politik.

Banyak negara berakhir dengan anarki, pertumpahan darah, pembunuhan dan kemusnahan apabila isu kaum dan isu agama dipilih untuk disensasikan.

Oleh itu, pemimpin agama hendaklah melaksanakan tugas keagamaan dengan penuh keikhlasan, atas nama Tuhan, atas nama agama, tanpa menyelitkan agenda politik.

Akan rosaklah agama jika agama mula dicampuradukkan dengan agenda politik. Akibatnya pengikut kabur, negara hancur, yang menang menjadi arang, yang kalah menjadi abu.

Raja pemerintah, termaktub di dalam Perlembagaan mempunyai tanggungjawab sebagai Ketua Agama Islam Negeri. Namun Perlembagaan juga menggariskan tanggungjawab raja pemerintah untuk melindungi kepentingan sah kaum-kaum lain.

Raja-raja Melayu amat memahami tanggungjawab untuk bersifat adil dan saksama kepada semua warga dan bersedia membantu merangka formula terbaik demi memastikan hubungan harmoni di antara kaum dan di antara agama kekal terjamin.

Beta menyeru seluruh warga di negeri ini untuk mengamalkan budaya politik berteraskan kesederhanaan, mengutamakan perpaduan warga, dan memilih pendekatan politik yang konstruktif demi menjamin sistem berkerajaan berteraskan amalan demokrasi kekal dipertahankan.

Isu sensitif menyentuh kaum dan menyentuh agama hendaklah dielak daripada dijadikan modal politik untuk mendapatkan pengaruh.

Carilah formula menang-menang untuk menyelamatkan warga daripada menjadi mangsa pertelingkahan hingga terpaksa berakhir dengan kesengsaraan.

Beta hargai sokongan dan persepakatan yang Beta peroleh daripada Paduka Anakanda Raja Muda, Paduka Adinda Raja Di Hilir, kesemua Raja Bergelar Waris Negeri, Kerabat Diraja, Orang Besar dan Ahli Dewan Negara membantu Beta memenuhi peranan seorang Sultan.

Beta menzahirkan penghargaan kepada Mamanda Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-ahli Dewan Negeri, anggota kehakiman dan perundangan, anggota perkhidmatan awam, para ulama dan imam-imam.

Angkatan Tentera, Polis Diraja Malaysia, badan-badan beruniform, para penghulu dan Jawatankuasa Kemajuan Kampung yang telah melaksanakan tanggungjawab serta saling bekerjasama untuk memastikan negeri sentiasa berada dalam keadaan aman lagi stabil serta warga berada dalam suasana selamat lagi sejahtera.

Beta amat mengalu-alukan peranan pihak swasta, badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, badan-badan sukan serta warga keseluruhannya yang telah membantu memperlengkapkan usaha-usaha pembangunan yang dirintis oleh kerajaan beta.

Semoga warga dan Negeri Perak Darul Ridzuan terus dilimpahkan nikmat dan rahmat, perlindungan dan keselamatan dari Allah Subhanahu Wataala.

Kepada Mu Ya Allah, hamba-Mu memohon untuk terus diberikan petunjuk dan hidayah. Amin, Ya Rabul Alamin.

Melayu Itu Siapa? & Konsep Alam Melayu

“Melayu itu siapa? Membongkar asal usul Melayu dari pelbagai perspektif” Itulah tajuk Dialog Perabadan Melayu yang telah diadakan di Auditorium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 5 April 2011.

Dialog ini mengupaskan dan membincangkan asal usul dan sejarah bangsa Melayu. Persoalan-persoalan ini telah dikupaskan oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Nik Hassan Suhaimi (Pakar arkeologi), Prof Dato’ Dr. Wan Hashim (Pakar Antropologi) dan Prof Adnan Nawang (Pakar sejarah).

Apa yang menarik dalam sesi dialog ini adalah konsep Alam Melayu yang dibincang oleh Prof. Adnan. Beliau memulakan perbincangan dengan kata-kata yang berbunyi demikian ‘melihat sejarah tidak perlu lihat ke belakang keseluruhannya tetapi lihat dari sekarang hingga ke belakang’. Bagi beliau, kerajaan Melayu sebenarnya bermula lebih awal daripada kemunculan kerajaan Srivijaya. Hal ini dibuktikkan dengan kajian terbaru oleh Andaya yang menyatakan Sambas di Borneo telah wujud lebih awal dari Srivijaya.

Berbalik kepada konsep Alam Melayu, konsep ini telah lahir hasil daripada usaha pembentukan kolonial di Nusantara. Ia bermula dengan cita-cita Raffles yang ingin mewujudkan satu perkumpulan Raja-raja Melayu di Singapura sebagai pusatnya. Namun, cita-citanya gagal dan umur Raffles sendiri tidak begitu panjang.

Hasil idea pemikiran Raffles ini tidak terkubur bersamanya tetapi idea ini telah digunakan oleh pihak British dan Belanda dalam gerakan imperialisme mereka di Nusantara. Contohnya pihak British telah mewujudkan konsep Alam Melayu ini dan mengukuhkannya dalam memastikan kebergantungan pemerintah Melayu kepada penjajah. Ia jelas dengan pembentukan Negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu serta Persekutuan Tanah Melayu.

Dengan konsep ini telah membolehkan Melayu itu terdiri bukan sahaja daripada orang Melayu setempat tetapi melibatkan golongan imigran Melayu dari Nusantara seperti Minangkabau, India Muslim, Arab, Siak, Acheh, Bugis, dan Rawa. Golongan ini begitu penting dalam melakarkan kegemilangan bangsa Melayu.

Sejarah membuktikan kebanyakan tokoh-tokoh Melayu yang terkemuka datang daripada golongan ini. Contohnya, pelajar Melayu pertama memasuki Al-Azhar iaitu Syeikh Tahir seorang berketurunan Arab, Zaaba yang berketurunan Bugis, bapa kesusasteraan Melayu iaitu Abdullah Munsyi berketurunan Keling dan malah negarawan ulung Tun Dr. Mahathir juga berketurunan Melayu Keling. Paling menarik UMNO itu sendiri ditubuhkan atas idea seorang yang bukan Melayu asli tetapi orang Melayu Minang, Keling dan Bugis sendiri.

Mengapa mereka ini lebih berjaya daripada orang Melayu setempat? Persoalan ini mudah sahaja kerana golongan imigran Melayu ini tidak terikat dengan sistem sosio-politik Melayu yang lebih bersifat sistem serahan (sistem feudal) sepertimana orang Melayu setempat yang masih menggelarkan diri mereka Melayu Perak, Kelatan dan sebagainya. Hal ini menggambarkan konsep kerakyatan (Melayu setempat yang berjiwa hamba) dan kewarganegaraan (Imigran Melayu yang punyai hak dan roh).

Dialek Negeri Perak

Negeri Perak merupakan sebuah negeri yang begitu unik dari segi bahasa dialeknya. Hal ini kerana negeri bertuah ini mempunyai lima jenis dialek yang utama iaitu dialek Utara, dialek Patani, dialek Lembah Sungai Perak, dialek Kepulauan Indonesia dan dialek Selatan Semenanjung.

Sebagai sebuah negeri yang bersempadan dengan negeri lain, Perak juga tidak 'lari' daripada menerima pengaruh dialek lain. Misalnya penduduk Perak di bahagian utara (Kerian dan Larut Matang) seperti Bagan Serai, Taiping dan Parit Buntar sehingga Pantai Remis lebih terpengaruh dengan dialek Kedah. Lagipun menurut sejarah, sebahagian besar penduduk di kawasan berasal dari Kedah yang berhijrah akibat ancaman Siam pada tahun 1821.

Di bahagian Hulu Perak iaitu Kroh, Grik dan Lenggong, masyarakat di kawasan ini banyak menggunakan dialek Patani. Ia menyebabkan dialeknya seakan-akan serupa dengan dialek Kelantan. Sepertimana di utara, penduduk Hulu Perak juga kebanyakannya terdiri daripada penduduk dari Patani dan Reman.

Seterusnya di daerah Kinta, dialeknya turut berbeza mengikut masyarakatnya juga. Majoriti penduduk di sini datang dari kepulauan Indonesia seperti Rawa, Mandheling, Banjar dan banyak lagi.

Manakala di selatan iaitu daerah Batang Padang sehingga Bagan Datoh, dialeknya pula lebih dipengaruhi dengan dialek selatan Semenanjung seperti Selangor dan Johor. Hal ini kerana masyarakatnya juga terdiri daripada golongan pendatang dari Selangor (Jawa dan Bugis) semasa Perang Saudara di Selangor sekitar 1860an-70an.

Kemudian di bahagian Perak Tengah seperti di Kuala Kangsar, Sayong, Karai, Bota, Parit, Lambor Kg. Gajah dan Tg.Blanja, dialeknya agak berbeza iaitu Dialek Lembah Sungai Perak dengan hujung perkataan diubah kepada bunyi 'e pepet'; contohnya perkataan "tiga" disebut "tige".

Dialek ini yang dikatakan asli ialah dialek Negeri Perak. Bagaimanapun, dialek lain juga masih digunakan di kawasan ini. Perak sahaja yang sinonim dengan ayat prosa lama, iaitu "ate" (hatta);

Contoh ayat: Ate, ngape kamu idak ke sane? (Hatta, mengapa kamu tidak ke sana?)

Kata ganti nama pertama adalah seperti berikut: Saya/Aku disebut teman/keme Awak/Kamu disebut mike/ kome

Contoh ayat:

1. Teman maghah beno dengan mike ni! (Saya marah sangat terhadap awak ini!)

2. Kome udah makan? (Awak/ Kamu sudah makan?)

Ada beberapa frasa yang kerap digunakan dalam dialek Perak. Antaranya:

a. Apa dihajapnya Maksud: Apa dibuatnya (frasa sinonim-buat peghojang ape). Contoh ayat: Apa dihajapnya MB Peghak pegi ke London tu? (Apa dibuatnya MB Perak ke London itu?)

b. Tengin bebeno Maksud: terlalu bodoh. Contoh ayat: Tengin bebeno deme yang nak meraghampeh kuase di Somalia tu. (Terlalu bodoh mereka yang cuba merampas kuasa di Somalia itu)

c. Joghennye Maksud: gedik/ miang (perangai gatal). Contoh ayat: Bebudak pompuan la ni, nampak beno joghennye. (Remaja perempuan hari ini, ramai yang berperangai gatal)

d. Bior dilantaknye Maksud: biarkan apa yang berlaku. Contoh ayat: Bior dilantaknye budak tu, degey bebeno. (Biarkan apa yang berlaku terhadap budak itu, dia degil sangat)