21 Januari 1942, pada hari ini Lt. Kol. Charles Anderson dan askar-askarnya telah cuba mengusir pasukan Jepun yang menguasai Jambatan Parit Sulong tetapi diserang balas oleh rempuhan askar infantri dengan bantuan serangan oleh pesawat pengebom, kereta kebal dan bedilan meriam.
Bennett mengeluarkan arahan kepada Batalion ke-2 Rejimen Loyal (2 Loyals) dari Tentera British untuk membantu membawa keluar askar-askar Australia di Parit Sulong kembali ke barisan pertahanan yang dikuasai tentera Australia, tetapi usaha itu tidak berhasil. Kegagalan ini menimbulkan kontroversi yang tidak pernah dijelaskan secara memuaskan, bagaimana serangan oleh pasukan British (2 Loyals) ditangguhkan pada jam 5.30 petang, kemudiannya ditangguhkan pada waktu Subuh hari berikutnya untuk ditangguh sekali lagi hingga jam 9.30 pagi sebelum dibatalkan sepenuhnya selepas itu.
Kerana pasukan bantuan yang dijanjikan tidak tiba, Lt. Kol. Charles Anderson mengarahkan pasukannya berpecah menjadi pasukan-pasukan kecil dan menyusup keluar daripada kepungan askar Jepun untuk kembali ke kawasan yang dikuasai oleh askar-askar British dengan menggunakan jalan-jalan kampung dan jalan paya.
Lt. Kol. Charles Anderson terpaksa membuat keputusan untuk meninggalkan di belakang kira-kira 200 orang askar yang tercedera yang diletakkan di bawah jagaan sekumpulan sukarelawan untuk ditahan dan seterusnya diberikan rawatan oleh Tentera Jepun. (mereka ini dikira sebagai hors de combat dan diberikan perlindungan khas oleh Konvensyen Geneva). Kumpulan askar yang cedera ini berbaring di sekeliling pokok sambil menghisap rokok, dan tidak menunjukkan rasa gentar. Apabila pasukan Jepun tiba, mereka dibunuh beramai-ramai oleh Tentera Jepun. Hanya seorang askar terselamat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan