Bukit Kepong Dalam Kenangan..

Pada hari ini 23 Februari, genaplah 60 tahun berlakunya tragedi Bukit Kepong berlaku. Tragedi yang penuh tragis dan penuh keberanian itu adalah salah satu daripada bukti cinta terhadap tanah air oleh para pejuang bangsa dan peristiwa kekejaman pengganas komunis.


Balai polis yang diperbuat daripada kayu ini terletak ditebing sungai Muar, sekitar 59 km dari bandar Muar, Johor, Malaysia iaitu sebuah perkampungan kecil yang terpencil dengan sekitar dua puluh buah rumah dan kedai. Menjelang awal 1950, ia merupakan tumpuan pergerakan pihak komunis di situ. Ketika itu balai polis itu diketuai oleh Ketua Polis Balai (KPB) Sarjan Ray Dancey, yang pernah berkhidmat di Palestin. Ketika serangan ke atas balai tersebut, beliau telah lama ditukarkan dan jawatannya diambil alih oleh Sarjan Jamil Mohd Shah, kemungkinannya perkara yang diketahui oleh penyerang komunis.Selain itu terdapat platun campuran 15 anggota polis Tugas Am dan Konstabel Polis Marin pimpinan Sarjan Jamil sendiri. Ketika itu pasukan ini turut diperkukuhkan oleh tiga konstabal polis khas dan empat Polis Tambahan bagi tugas mengawal dan lain-lain, yang menjadikan 22 orang anggota kesemuanya.Tiga belas isteri dan anak-anak anggota tinggal di berek kelamin di sebelah belakang Balai. Sistem perhubungan yang sukar adalah sebab utama penempatan pasukan polis marin di situ malah, pengangkutan utama ke Bukit Kepong adalah dengan menaiki bot menyusuri Sungai Muar.


Pada 23 Februari 1950, bermula sekitar jam 5.00 pagi balai polis Bukit Kepong diserang oleh segerombolan 180 orang pengganas komunis yang diketuai oleh Mat Indera. Dalam kejadian tersebut, para anggota polis berjuang habis-habisan sehingga seorang demi seorang gugur. Dua orang isteri anggota polis marin turut mengangkat senjata apabila mendapati suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota-anggota lain sehingga kehabisan peluru. Seramai 17 orang anggota polis telah terkorban dalam kejadian tersebut.


Cerita perjuangan dan semangat waja pasukan polis dan masyarakat tempatan di Bukit Kepong, Johor melawan komunis pada tahun 1950 ini telah difilemkan pada tahun 1981 oleh Jins Shamsuddin. Filem ini telah memenangi Filem Terbaik dalam Pesta Filem Malaysia ke-3, 1982.

Perlancaran Buku 'Nordin Ali Meniti Zaman'


Pada 16 Februari 2010, buku biografi ayahanda Nordin Ali B. Mohd Yatim telah selamat disiapkan dan dipersembahkan kepada beliau. Beliau berasa gembira kerana segala pahit getir pengalamannya telah dibukukan dan berharap biografi ini dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda dalam keluarganya sendiri.

Buku setebal 31 muka surat ini memaparkan liku-liku hidup Nordin Ali dari sejak zaman kanak-kanak, zaman persekolahan semasa era kolonial British, karier beliau sebagai anggota polis Malaya semasa era British dan Jepun, seterusnya karier beliau sebagai tentera udara British sehingga berkhidmat ke Hong Kong dan banyak lagi. Buku ini juga disertai dengan gambar-gambar yang menyimpan seribu kenangan bagi Nordin Ali.

Hari Ini Dalam WWII Asia

15 Februari 1942, pada hari tentera British di Singapura terpaksa menyerah kalah kepada tentera Jepun selepas seminggu bertempur di pulau tersebut.

Percival menghantar dua orang utusan ke garisan hadapan Jepun di Bukit Timah dengan bendera Union Jack dan bendera putih meminta gencatan senjata pada jam 4.00 petang. Ketika itu Jepun membuat pengeboman dan bedilan meriam dengan hebat. Walaupun tidak di ketahui Percival, pengeboman ini hanya helah, kerana sebenarnya Yamashita sudah hampir kehabisan peluru dan bom. Dia sebenarnya mengharapkan bedilan itu dapat memutuskan pihak British untuk menyerah kalah.



Jawapan Yamashita amat ringkas – tiada syarat, tiada perbincangan mengenai syarat, tiada gencatan senjata sehinggalah Percival meletakkan tanda tangan di garis titik. Walaupun keletihan, Percival dan kumpulannya berjalan melalui Jalan Bukit Timah ke Kilang ford Motor bertemu Yamashita.

Pada jam 1715, Percival dan pegawainya tiba di kilang Ford Motor Company untuk menyerah diri tanpa syarat kepada Tentera Jepun. Dokumen serah diri ditandatangani.
Semasa berdepan, Yamashita menuntut Percival menyerah kalah. Percival meminta tempoh. Yamashita naik berang dan bertanya “Ya atau Tidak?” Percival tiada pilihan. Pada jam 6.10 petang dia menandatangani surat cara penyerahan kalah. Pada jam 8.30 malam bedilan dihentikan.



Percival mengarahkan pegawai-pegawainya untuk bersama-sama dengan anggota-anggota tentera mereka menjadi tawanan perang. Mej. Jen. Gordon Bennett memberikan arahan sama kepada pegawai-pegawai Australia, tetapi dia sendiri lari ke pelabuhan menaiki kapal ke Sumatra.

Kejatuhan Singapura dianggap malu paling besar dalam sejarah perang British. “Gibraltar Timur” tewas dalam masa kurang 100 hari kepada pasukan tentera Asia yang jauh lebih kecil. Bencana ini mengakibatkan Hindia Belanda dan Australia terdedah kepada serangan terbuka dan menjatuhkan moral rakyat British. Ia juga menjatuhkan kredibiliti British sebagai kuasa penjajah dan kegagahan orang putih.
Pihak British mengalami 8,708 korban perang yang mati ataupun cedera; sementara pihak Jepun mengalami 9,824 orang korban perang. Lebih daripada 130,000 askar British (32,000 India, 16,000 British and 14,000 Australia) menjadi tawanan perang. 20,000 orang askar India yang menyerah diri kemudian memilih untuk menyertai Tentera Nasional India pimpinan Mohan Singh.

Kira-kira 600 orang anggota Rejimen Askar Melayu dikumpulkan semula di padang Gold Keppel Link. Di sana, anggota-anggota lain-lain pangkat dipisahkan daripada pegawai-pegawai mereka dan dihantar ke pusat tahanan di Farrer Park yang menempatkan askar-askar India. Pegawai-pegawai Rejimen Askar Melayu dihantar ke pusat tahanan tawanan perang yang disediakan untuk orang-orang British dan Australia.

Hari Ini Dalam WWII Asia



14 Februari 1942, pada hari ini telah terlakar sejarah pertempuran terhebat dalam saat-saat akhir mempertahankan Singapura. Kompeni C Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu yang bertahan di Bukit Chandu telah diserang dengan hebat oleh Tentera Jepun pada waktu tengah hari. Askar Melayu menentang menggunakan grenad dan senjata automatik. Rejimen Askar Melayu mengukir nama dalam sejarah apabila platun seramai 40 orang Askar Melayu di bawah pimpinan Lt. Muda Adnan bin Saidi menentang bermati-matian dan menyeru anggota-anggotanya supaya "biar putih tulang jangan putih mata". Dalam pertempuran yang kini dipanggil Pertempuran Bukit Chandu, hampir kesemua anggota Askar Melayu terbunuh termasuk Lt. Muda Adnan bin Saidi. Di kawasan Kilang batu bata Alexandra, Kompeni “D” Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu berjaya menyebabkan kematian 100 orang askar Jepun yang mara menyusuri Jalan Pasir Panjang.



Tentera Jepun dari Divisyen Pengawal Imperial Jepun sampai ke Hospital Alexandra Barracks pada jam 2.00 petang. Hospital itu penuh dengan askar yang cedera. Kerana marahkan penentangan yang diberikan oleh pasukan Askar Melayu di Bukit Chandu, askar-askar Jepun meluru masuk ke dalam hospital dan menikam pesakit serta doktor dan kakitangan hospital dengan bayonet (sebagai dendam kerana kedegilan Askar Melayu). Hanya tiga orang sahaja yang terselamat. Seramai 200 orang lain yang cedera parah dikurung dalam kuarters pekerja dengan setiap bilik diisikan dengan 70 orang pesakit. Pada waktu malam, mereka dibawa keluar dalam kumpulan-kumpulan kecil dan ditikam mati dengan bayonet .

Hari Ini Dalam WWII Asia

12 Februari 1942, pada hari keadaan pertempuran di Singapura kian meruncing selepas 4 hari tentera Jepun mendarat di pulau itu. Percival mengundurkan perimeter pertahanannya untuk mengelilingi pangkalan udara Kallang, Kampung Thomas, Empangan MacRitchie dan Jalan-jalan Adam, Farrer, Holland dan Buena Vista.

Tentera Jepun berjaya menawan Kampung Racecourse dan Empangan MacRitchie, sementara askar-askar Gurkha terpaksa berundur dari Kampung Nee Soon. Percubaan merempuh Jalan Bukit Timah menggunakan kereta kebal dapat dipatahkan oleh meriam anti-Kereta kebal British. Di kawasan Ulu Pandan, Briged Australia ke-22 berulang kali mematahkan serangan oleh askar Jepun. Kampung Bukit Panjang jatuh ke tangan Jepun.

Pada awal pagi, Tentera Jepun mula menghampiri pinggir bandar raya Singapura dan kereta kebal Jepun berjaya disekat oleh meriam anti-kereta kebal British berhampiran padang lumba kuda di Bukit Timah. Briged Australia ke-22 diserang dengan pesawat udara dan bedilan artileri tanpa henti. Di Nee Soon, British dan India berhadapan dengan Pengawal Pengawal Imperial.

Di Pasir Panjang, anggota Batalion Pertama Askar Melayu dan Briged India ke-44 diserang oleh askar-askar 18 Div Jepun. Pertama Askar Melayu bersungguh-sungguh mahu mempertahankan kedudukan mereka kerana mempertahankan kompleks tentera di Alexandra (termasuk hospital). Askar Melayu berjaya mengakibatkan bilangan korban yang tinggi ke atas Tentera Jepun.

Projek Kajian Tokoh - Nordin Ali



Pada 21 Januari 2010, satu projek kajian tokoh telah dimulakan oleh En. Nor Hisham. Objektif kajian ini adalah untuk sebagai penghargaan kepada perwira-perwira negara. Kajian ini diharapkan dapat menimbulkan rasa patriotisme kepada negara dalam kalangan setiap generasi muda. Oleh demikian, kajian ini telah memilih seorang wira yang tidak didendang iaitu Nordin Ali B. Mohd Yatim. Beliau juga merupakan bapa saudara kepada penulis. Nordin Ali mempunyai sejarah hidup yang berliku-liku dan penuh dengan cabaran dalam menempuhi zaman penjajahan British, Jepun, merdeka dan pasca kemerdekaan. Penulis juga berharap kajian ini dapat membongkar sejarah dan salasilah keluarganya.

Hari Ini Dalam WWII Asia

4 Februari 1942,pada hari ini tentera British di Singapura enggan menyerah kalah walaupun tentera Jepun menghentam hebat terhadap mereka. Pasukan artileri Jepun mensasarkan pangkalan udara di bahagian utara Singapura di Pangkalan udara Tengah Tengah, Seletar dan Sembawang. Pasukan artileri juga mensasarkan tangki simpanan minyak Tentera Laut Diraja menyebabkan kebakaran besar yang tidak dapat dipadamkan.

Pos pemerhati Jepun ditempatkan di bangunan-bangunan tinggi di Johor Bahru membolehkan mereka melihat persiapan yang diambil oleh tentera British. Salah satu tempat memerhati ditempatkan di menara di Istana Bukit Serene. Belon udara panas juga digunakan untuk tugas-tugas tinjauan. Maklumat ini membolehkan pasukan udara Jepun membuat serangan-serangan yang tepat ke atas kedudukan British. Askar-askar Australia khasnya hanya dapat bergerak di waktu malam untuk membuat persiapan perkubuan mereka.

Hari Ini Dalam WWII Asia

2 Februari 1942, pada hari ini Jeneral Percival berharap kepada kebolehan pasukan bertahan melumpuhkan pendaratan askar Jepun di pantai dan menyekat kebolehan askar Jepun menubuhkan kubu jambat di Singapura. Percival tahu dia tidak mempunyai kekuatan tentera dan ketiadaan pertahanan mendalam untuk melancarkan serangan balas sekiranya tentera Jepun dapat bertapak di Singapura.

Panglima Tentera Australia Bennett membuat pemeriksaan kedudukan pertahanan askar Australia di bahagian Barat Laut. Walaupun sudah dua hari mengarahkan pembinaan pertahanan dan perkubuan, Bennett mendapati pembinaan perkubuan pertahanan tidak seperti yang diharapkan. Bennett mendapati barisan pertahanan terlalu panjang sedangkan bilangan askar tidak mencukupi. Hutan bakau dan paya yang banyak di bahagian Barat Laut Singapura tidak membolehkan pembinaan kubu pertahanan dan mengurangkan medan tembakan (fields of fire). Kedudukan askar terletak terlampau jauh di antara satu sama lain dan memudahkan penyusupan askar musuh. Batalion 2/20 berjumlah 750 orang anggota bertanggungjawab mempertahankan barisan sepanjang 7.2 km dari Sungai Kranji ke Sungai Sarimbun.


Pesawat pengebom Jepun membuat lapan serangan pengeboman ke atas tangki simpanan minyak Tentera Laut Diraja yang menyebabkan kebakaran besar. Lain-lain pesawat pengebom Jepun menyerang Stesen kereta api Tanjong Pagar yang juga memusnahkan kawasan dermaga dan kepentingan awam di sekitarnya.

Hari Ini Dalam WWII Asia

1 Februari 1942, pada hari ini Lt. Jen. Percival pergi ke studio Radio Singapura di Bukit Caldecott dan memberitahu pendengar bahawa penguasaan Jepun setakat itu didominasi dengan penguasaan udara yang muktamad dan juga kebebasan pergerakan di laut. Lt. Jen. Percival menyatakan Singapura perlu bertahan di kubu kota sehingga bantuan yang pasti sampai.

Percival memindahkan markasnya daripada Fort Canning ke kem tentera di Jalan Sime kerana tempat itu lebih hampir dengan medan pertempuran. Di situ, Lt. Jen. Percival mendakan perjumpaan dengan Bennett yang dilantik menjadi Panglima Sektor Barat Singapura dan Mej. Jen. Simmons yang menjadi Panglima Sektor Selatan Singapura. Turut hadir adalah Mej. Jen. Billy Key selaku panglima 11 Divisyen dan Mej. Jen. Smith selaku Panglima Divisyen ke-18 Infantri British.

Mesyuarat membincangkan kelemahan pertahanan Singapura khususnya di bahagian utara Singapura dan juga perancangan Percival untuk pertahanan Singapura. Bennett dan Simmons hanya diberitahu perancangan pertahanan itu oleh Percival hanya 4 hari sebelumnya, walaupun mereka berdua adalah Panglima Sektor di Singapura.

Bennett terkejut diberitahu bahawa Pangkalan Tentera Laut Singapura kini hampir ditinggalkan keseluruhannya. Kerja-kerja memusnahkan sedang dijalankan. Bennett menerima berita ini sebagai tanda pihak British sudah menerima kekalahan.

Askar Australia, India dan British bergerak ke tempat pertahanan yang ditetapkan dan terkejut melihatkan ketiadaan perkubuan pertahanan disediakan. Walaupun kesuntukan masa dan bahan binaan, mereka cuba membina pertahanan setakat yang terdaya.