Hari Ini Dalam WWII Asia

31 Januari 1942, pada hari ini tentera British yang gagal mempertahankan Semenanjung Tanah Melayu telah meninggalkan Johor ke Singapura. Dengan ini keselurahan Tanah Melayu telah jatuh ke tangan tentera Jepun dalam tempoh hanya 55 hari sahaja.

Pada Jam 5 pagi, Mej. Jen. Bennett melihat unit terakhir daripada pasukan Westforce menyeberangi Tambak Johor.

Pada jam 7 pagi, pasukan 22 Briged Australia bersama-sama 2 Bn Gordon yang mengawal pertahanan luar kubu tambak di Johor Bahru menyeberangi Tambak Johor masuk ke Singapura. Mereka diiringi oleh dua orang pemain bagpipe dari 2 Bn Argyll. Tidak lama kemudian, pasukan 2 Bn Argyll sendiri berundur ke Singapura dan meninggalkan kawasan pertahanan luar kubu tambak di Johor Bahru. Pegawai terakhir menyeberangi Tambak Johor adalah Lt. Kol Ian Stewart, pegawai pemerintah 2 Bn Argyll.



Pada jam 8.15 pagi, askar jurutera India meletupkan Tambak Johor dan menyebabkan lubang sepanjang 70 kaki di Tambak Johor. Tindakan ini memutuskan hubungan fizikal di antara Singapura dengan Semenanjung Tanah Melayu.

Kini tentera Jepun boleh melihat Singapura dari Johor Bahru di seberang Selat Johor. Yamashita meraikan panglima-panglimanya dengan sake. Yamashita memberitahu mereka beliau memerlukan 4 hari untuk membuat tinjauan kedudukan pertahanan British di Singapura.

Hari Ini Dalam WWII Asia

29 Januari 1942, pada hari ini pertempuran sengit di antara 27 Briged Australia dan 21 Briged Infantry Jepun (Briged Sugiura) berterusan sepanjang hari di sepanjang jalan utama ke Johor Bahru. Tetapi, di tiga laluan yang lain, tindakan melengahkan kemaraan askar Jepun oleh pasukan-pasukan belakang memberikan kesan baik dan membolehkan banyak pasukan menyelesaikan pengunduran. Di Johor Bahru, Bennett memindahkan lagi markasnya ke sebuah banglo di Bukit Straits View.

Hari Ini Dalam WWII Asia

23 Januari 1942, pada hari ini pertempuran askar Australia di Bakri dan Parit Sulong membolehkan Westforce dan pasukan barisan belakang (rearguard) 53 briged untuk menyeberangi jambatan Yong Peng pada tengah malam. Jambatan itu kemudiannya dimusnahkan.

Lt. Kol. Anderson membawa askar-askar batalion 2/19 Australia bersama-sama askar-askar yang masih terselamat dari 45 Briged keluar daripada kawasan terkepung di Parit Sulong. Anderson memecahkan askar-askar menjadi kumpulan-kumpulan kecil dan berjaya membawa keluar 500 orang askar Australia dan 400 orang askar India. Kerana keberanian dan kepimpinan yang ditunjukkan, Anderson diberikan kurnia pingat Victoria Cross.

Hari Ini Dalam WWII Asia


22 Januari 1942, pada hari ini dalam kekalutan peperangan di Malaya, bantuan tentera British telah tiba di Singapura. Bantuan ini terdiri daripada Briged Tentera India yang bakal ditugaskan untuk mempertahankan utara Singapura.

Hari Ini Dalam WWII Asia


21 Januari 1942, pada hari ini Lt. Kol. Charles Anderson dan askar-askarnya telah cuba mengusir pasukan Jepun yang menguasai Jambatan Parit Sulong tetapi diserang balas oleh rempuhan askar infantri dengan bantuan serangan oleh pesawat pengebom, kereta kebal dan bedilan meriam.
Bennett mengeluarkan arahan kepada Batalion ke-2 Rejimen Loyal (2 Loyals) dari Tentera British untuk membantu membawa keluar askar-askar Australia di Parit Sulong kembali ke barisan pertahanan yang dikuasai tentera Australia, tetapi usaha itu tidak berhasil. Kegagalan ini menimbulkan kontroversi yang tidak pernah dijelaskan secara memuaskan, bagaimana serangan oleh pasukan British (2 Loyals) ditangguhkan pada jam 5.30 petang, kemudiannya ditangguhkan pada waktu Subuh hari berikutnya untuk ditangguh sekali lagi hingga jam 9.30 pagi sebelum dibatalkan sepenuhnya selepas itu.

Kerana pasukan bantuan yang dijanjikan tidak tiba, Lt. Kol. Charles Anderson mengarahkan pasukannya berpecah menjadi pasukan-pasukan kecil dan menyusup keluar daripada kepungan askar Jepun untuk kembali ke kawasan yang dikuasai oleh askar-askar British dengan menggunakan jalan-jalan kampung dan jalan paya.

Lt. Kol. Charles Anderson terpaksa membuat keputusan untuk meninggalkan di belakang kira-kira 200 orang askar yang tercedera yang diletakkan di bawah jagaan sekumpulan sukarelawan untuk ditahan dan seterusnya diberikan rawatan oleh Tentera Jepun. (mereka ini dikira sebagai hors de combat dan diberikan perlindungan khas oleh Konvensyen Geneva). Kumpulan askar yang cedera ini berbaring di sekeliling pokok sambil menghisap rokok, dan tidak menunjukkan rasa gentar. Apabila pasukan Jepun tiba, mereka dibunuh beramai-ramai oleh Tentera Jepun. Hanya seorang askar terselamat.

Hari Ini Dalam WWII Asia

20 Januari 1942, pada awal pagi hari ini di ,Muar, Malaya Lt. Kol. Charles Anderson bergerak keluar dari Bakri dengan tujuan membuat pertahanan baru di Parit Sulong sebelum gelap malam. Tetapi percubaannya dibantutkan oleh pasukan-pasukan Jepun yang menghalang pengundurannya di sepanjang jalan. Pertempuran sengit berlaku, seringkali melibatkan pertempuran jarak dekat tanpa menggunakan senjata. Apabila sampai ke Parit Sulong Lt. Kol. Charles Anderson kecewa bila mendapati jambatan Parit Sulong kini dikuasai oleh kedudukan mesingan Jepun yang dibuatkan perkubuan yang kukuh.


Di Burma pula selepas 5 hari tentera Jepun memulakan kempen peperangan ke atas tentera British, Divisyen ke-55 Tentera Jepun telah melintasi sempadan Thailand-Burma dari Raheng. Mereka cepat mengancam Moulmein di Burma, menggunakan taktik yang sama seperti di Malaya daripada tentera British merusuk melalui hutan.

Hari Ini Dalam WWII Asia


19 Januari 1942, pada hari ini pasukan Tentera Jepun telah mara dari arah Batu Pahat dan mengusir pasukan tentera British 6 Norfolk dari perkubuan mereka di Bukit Pelanduk. Pengunduran oleh pasukan Rejimen Norfolk ini menyebabkan perhubungan darat dengan pasukan Australia dan India di Bakri kini terputus. Pasukan Tentera British diarahkan menawan semula kedudukan di Bukit Pelanduk tetapi pasukan tentera British yang ditugaskan tidak dapat mencapai objektif yang ditetapkan.

Hari Ini Dalam WWII Asia

17 Januari 1942, pada hari ini Lt. Jen. Percival mengarahkan Grup 53 Briged ke Johor sebagai pasukan bantuan untuk menguatkan Westforce. Batalion ke-6 Rejimen Norfolk (6 Norfolk) bergerak dan menubuhkan pertahanan di Bukit Pelanduk sementara sebuah platun daripada batalion itu ditempatkan untuk mengawal Jambatan Parit Sulong. Bukit pelanduk adalah satu kawasan tinggi menguasai simpang laluan jalan Batu Pahat dan Jalan Yong Peng – Muar. Markas 45 Briged kini berada di Bakri, 22 km dari Bukit Pelanduk.



Di Gemas, Batalion 2/30 Australia yang menghadapi serangan hebat dari 5 Divisyen Jepun melaporkan bahawa kedudukan mereka berkemungkinan besar akan jatuh ke tangan Jepun.

Tanpa disedari penganalisis perisikan tentera pasukan-pasukan British dan Australia, pasukan Tentera Jepun mulai bergerak utara dari Batu Pahat menuju Bukit Pelanduk dan arah timur dari Muar untuk merangkap pasukan British dan pasukan Australia di situ. Setelah terperangkap, pasukan itu dengan mudah dapat dimusnahkan oleh Tentera Jepun.

Hari Ini Dalam WWII Asia

14 Januari 1942, pada hari ini pasukan Pengawal Imperial Jepun mara dari Melaka ke Muar dengan mudah mengalahkan pasukan 45 Briged yang bertahan di Muar (45 Briged yang baru tiba di Tanah Melayu dan tidak terlatih dan belum menyesuaikan diri dengan iklim di Tanah Melayu). Tentera Jepun dengan pantas menguasai tebing sebelah utara Sungai Muar di pinggir bandar Muar.

Anggota pasukan meriam Australia yang memberikan sokongan kepada 45 Briged menangkis percubaan Tentera Jepun untuk menyeberangi Sungai Muar dengan menembak dari jarak dekat bot-bot yang dipenuhi askar Jepun.


Pada waktu malam, pasukan Jepun itu menyusup ke seberang Sungai Muar dan menyerang kedudukan yang dipertahankan oleh dua batalion Tentera India British dari 45 Briged dan berjaya menguasai bandar Muar. Laluan penting dari Muar ke Yong Peng kini terputus. Saki baki pasukan terdiri daripada 45 briged dan pasukan askar Australia berundur ke Bakri.

Pergerakan Jepun mengancam untuk memutuskan hubungan jalan raya utara-selatan dan mengasingkan Mej. Jen. Bennett dan markas Westforce di Segamat daripada pasukan-pasukan di barisan hadapan. Pergerakan ini juga membolehkan pasukan Jepun bergerak menuju Yong Peng dan boleh merusuki Westforce.

Hari Ini Dalam WWII Asia

13 Januari 1942, pada hari ini kapal dagang America Syarikat tiba di Singapura membawa pasukan bantuan terdiri daripada Grup Briged Ke-53 Infantri British, pasukan awalan Divisyen ke-18 Infantri British. Kapal-kapal itu juga membawa 2 rejimen pasukan meriam anti-kapal terbang bersama-sama dengan 50 buah pesawat pejuang jenis Hawker Hurricane (diangkut dalam kotak atau ‘’crated’’).Askar-askar Grup Briged Ke-53 Infantri British sudah belayar selama 11 minggu dan mendarat di Singapura tanpa kelengkapan pengangkutan dan kelengkapan artileri mereka tang masih belum sampai kerana dibawa dengan konvoi lain.



Pesawat Hawker Hurricane dipasangkan semula di beberapa tempat di Singapura untuk mengurangkan risiko dimusnahkan serentak sekiranya diserang oleh pesawat Jepun. Tetapi malangnya, bilangan juruterbang yang masih boleh bertugas hanya tinggal 24 orang sahaja.

Hari Ini Dalam WWII Asia

12 Januari 1942, pada hari ini pengunduran besar-besaran telah dilakukan oleh Tentera British menyebabkan kesesakan terus jalan raya utama arah selatan dan juga jalan kereta api. Kesesakan ini menghindar dan melewatkan pengunduran. Keadaan menjadi lebih kelam kabut, dan melewatkan pergerakan pasukan kelak akan menjejaskan kesediaan pasukan terlibat mengukuhkan kedudukan pertahanan yang baru. Masalah dirumitkan dengan keperluan untuk bergerak di waktu malam untuk mengurangkan kesan serangan udara oleh pasukan Jepun.

Hari Ini Dalam WWII Asia

11 Januari 1942, pada hari ini askar-askar India British selesai membuat pengunduran melalui Kuala Lumpur, Malaya pada awal pagi. Jambatan-jambatan diletupkan apabila pasukan terakhir melepasi jambatan tersebut. Jambatan terakhir diletupkan pada jam 4.30 pagi.



Pada jam 8.30 pagi, askar Jepun dari Divisyen ke-5 Jepun memasuki Kuala Lumpur dan menawan pangkalan udara di Sungei Besi, Kuala Lumpur dan di Batu. Pangkalan ini dengan cepat dipulihkan dan digunakan oleh kumpulan Udara Endo. Simpanan petrol telah dibakar oleh pihak Tentera British tetapi masih banyak bekalan lain yang dapat ditawan.

Hari Ini Dalam WWII Asia


10 Januari 1942, pada hari ini hanya beberapa jam sebelum pengunduran yang telah dijadualkan oleh Tentera British, kedudukan askar-askar Gurkha di Serendah diserang oleh pasukan askar Jepun. Setelah memberikan tentangan hebat termasuklah pertempuran jarak dekat tanpa menggunakan senjata, kedudukan itu ditawan oleh askar Jepun dan askar-askar Gurkha itu mengalami jumlah korban yang tinggi. Menjelang petang, pasukan Gurkha itu menyertai pengunduran beramai-ramai ke arah Kuala Lumpur sebelum ke Johor.

Hari Ini Dalam WWII Asia

9 Januari 1942,pada hari ini Jen. Percival mengubah semula segala menyeluruh arahan-arahan yang diberikan untuk pengunduran pasukan Tentera British ke Johor kerana mengikut desakan oleh Wavell. Rancangan baru melihat penubuhan pasukan ‘Westforce” di bawah pimpinan Jen. Bennett, Panglima tertinggi untuk askar-askar Australia di Tanah Melayu. Westforce terdiri daripada Divisyen Ke-8 Australia (tidak termasuk (22 Briged Australia) dan Divisyen ke-9 India. Jen. Bennett bercadang menyekat kemaraan Tentera Jepun dengan menggunakan serangan-serangan hendap.



Jen. Bennett dan pasukan Westforce pimpinannya dipertanggungjawabkan untuk pertahanan negeri Johor meliputi garisan khayalan yang merentasi Mersing, Kluang dan Batu Pahat. Di kawasan Barat Laut negeri Johor, yang dilihat sebagai kawasan pertahanan paling penting, garisan pertahanan Jen. Bennett diterangkan dengan satu garisan meliputi Segamat di bahagian tengah barisan pertahanan hingga ke Gunung Ledang di sebelah barat.

Strategi baru ini bermakna Tentera British akan meninggalkan sepenuhnya kedudukan-kedudukan pertahanan di Selangor termasuk pelabuhan penting Port Swettenham, Kuala Lumpur, Negri Sembilan dan Melaka. Ini bermakna bandar-bandar utama seperti Seremban, Tampin dan Melaka sendiri akan diserahkan kepada Tentera Jepun tanpa apa-apa tentangan. Pengunduran Tentera British dari kawasan- kawasan tersebut dijadualkan bermula pada 10 Januari 1942.

Hari Ini Dalam WWII Asia


8 Januari 1942, pada hari ini Jeneral Wavell bersama-sama Jen. Heath memandu dari markas Divisyen ke-11 India di Batu Caves, Kuala Lumpur dan selepas itu berjumpa dengan askar-askar yang terselamat dalam Pertempuran di Slim River dan merasa amat terkejut dengan keadaan mereka. Wavell mendapati 500 orang askar yang merupakan saki baki dari dua briged Tentera British India yang sudah tidak boleh berperang lagi.

Hari Ini Dalam WWII Asia

7 Januari 1942, pada hari ini dalam Pertempuran di Slim River, Tentera British juga kehilangan banyak persenjataan dan kenderaan pengangkutan termasuk lori untuk membawa askar. Ini memaksa British berputus asa untuk mempertahankan bahagian tengah Semenanjung Tanah Melayu. 3,200 orang askar Tentera India British menyerah diri.



Tentera British mengalami kerugian besar dalam bilangan kelengkapan tentera. 23 laras meriam berat musnah ataupun ditinggalkan untuk ditawan oleh askar Jepun. 6 laras meriam anti-pesawat juga dimusnahkan ataupun ditawan oleh tentera Jepun, bersama-sama 50 buah kereta perisai dan 550 buah lori pengangkutan tentera.

Turut ditawan juga adalah simpanan makanan yang banyak, bersama simpanan peluru dan perubatan. Tentera Jepun berseronok mendapat bekalan Tentera British, ramai di antara mereka merasa ‘corned beef’ buat pertama kali.

Belang sebenar Chin Peng


Pemimpin PKM itu tunjuk sikap angkuh mahu ideologi komunis diiktiraf SEMINGGU lalu, genap 54 tahun peristiwa bersejarah Rundingan Baling 1955 yang diadakan selama dua hari pada 28 dan 29 Disember 1955 bertempat di Baling English School atau nama barunya, Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Putra (SRKTP). Rundingan khas atau 'Baling Talk 55' antara Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng itu antara usaha menuntut keamanan, menghentikan pertumpahan darah, kekejaman dan kezaliman ke atas rakyat.

Proses rundingan di daerah pedalaman Kedah itu juga boleh dianggap antara usaha terakhir kerajaan meyakinkan British bahawa anak tempatan layak memerintah negara sendiri dan bersedia menuntut kemerdekaan. Buktinya, beberapa hari hari selepas pertemuan bersejarah itu berlangsung, Tunku terus berangkat ke London meneruskan pula rundingan kemerdekaan dengan British. Namun, Rundingan Baling dikatakan gagal - puncanya cukup mudah, iaitu kerana sikap ego, degil serta keengganan Chin Peng menerima keamanan, tidak sanggup menyerah diri dan memilih pertumpahan darah sebagai saluran perjuangannya.

Sepanjang rundingan, Chin Peng sudah memperlihatkan sikap tidak percayakan sesiapa, sedangkan kerajaan bersusah payah menjayakan proses itu serta gencatan senjata bagi memastikan pertemuan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Sedikit suntingan catatan Setiausaha Peribadi Tunku, Tan Sri Shafie Abdullah yang menyertai rundingan itu dan catatan wartawan, Harry Miller, memperlihatkan belang sebenar Chin Peng, tetapi maklumat berkenaan sebenarnya jarang dihebahkan.

Catatan berbunyi: "Pada petang 28 Disember 1955, masuklah Tunku bersama Encik David Marshall (Ketua Menteri Singapura), Encik Hamid Jumat, Datuk (Sir) Tan Cheng Lock, Encik Yaacob Latiff, Encik Too Joon Hing, Encik TH Tan dan Tuan Syed Jaafar Albar ke bilik rundingan. Chin Peng, Chen Tien dan Rashid Maidin dibawa masuk ke bilik rundingan melalui jalan belakang, iaitu dari rumah penginapan mereka oleh Encik John LH Davis (Pegawai Daerah Butterworth). Chin Peng duduk bertentangan dengan Tunku dan diapit Rashid dan Chin Tien.
Orang ramai berkumpul sepanjang laluan ke sekolah untuk melihat wakil rundingan.

Sebaik saja duduk, Chin Peng terus memperlihatkan sikap curiga, memerhati keadaan sekeliling seolah-olah tidak percaya jaminan keselamatan yang dijanjikan kerajaan. Chin Peng curiga melihat sesuatu yang dilekatkan pada siling bilik rundingan. Tunku menjelaskan, ia sebenarnya perakam suara untuk merekodkan butiran perbincangan dan meminta Chin Peng supaya yakin, bahkan membenarkan beliau sendiri memeriksa alat itu jika tidak berpuas hati. Chin Peng bangun, diikuti Chen Tien lalu memeriksa bilik sebelah dan sekeliling tempat rundingan.

Selepas berpuas hati, barulah mereka kembali semula ke kerusi rundingan." Sikap tidak percaya dan curiga itu berterusan hinggalah tamat rundingan hari pertama. Chin Peng dan rakannya disediakan sebuah bilik tidur di bangunan bersebelahan tempat rundingan.

Asal bangunan itu adalah rumah guru dan kini dijadikan galeri pameran. Individu yang bertanggungjawab menyediakan kemudahan buat pemimpin PKM itu ialah Jaafar Ismail, 83, tukang kebun sekolah yang bertanggungjawab menyiapkan keperluan rundingan, termasuk makanan dan minuman Chin Peng.

Membahasakan dirinya sebagai Pak Lang, Jaafar berkata, Chin Peng turut curiga dengan kemudahan yang disediakan di tempat penginapan dan langsung 'tidak menikmati' apa yang diterimanya. "Saya diarahkan British supaya menyediakan bilik tidur, menyiapkan makanan dan minuman mereka. Sebuah bilik kecil mempunyai dua katil, siap dengan meja kecil untuk meletak makanan. "Tetapi, sepanjang dua hari (rundingan), mereka langsung tak sentuh makanan. Langsung tak terusik, bila saya masuk selepas rundingan, keadaannya sama seperti asal. Ada yang kata, mereka takut makanan itu diracun," katanya.

Ketika diberi amanat penting itu, Pak Lang yang berasal dari Kampung Seberang Pekan, Baling, menyediakan roti, susu dan minuman yang semuanya diletakkan dalam bekas tin bertutup. Anak jati Baling ini juga hairan bagaimana pemimpin PKM itu boleh bertahan dua hari tanpa makan dan minum. Terdetik dalam hatinya, jika beginilah keadaannya, rundingan pasti gagal kerana Chin Peng langsung tidak percayakan sesiapa. Memang benar telahan itu kerana ketika rundingan tiba di penghujungnya pada hari kedua, Chin Peng sekali lagi memperlihatkan keangkuhannya untuk meneruskan ideologi komunis tetapi mahu memastikan kerajaan Tanah Melayu dan Singapura berkuasa penuh mengawal urusan pertahanan negara.

Chin Peng berjanji akan menghentikan peperangan serta merta jika syarat itu dipenuhi, lalu Tunku menjelaskan satu daripada sebab beliau ke England ialah untuk mendapatkan kuasa mengawal sendiri keselamatan dalam negeri. Namun, Chin Peng menegaskan, meletak senjata bukan maksudnya menyerah senjata kepada kerajaan, keputusan yang kononnya hanya akan diambil mereka sekiranya PKM diakui dan kebebasan mereka tidak lagi disekat.

Sikap angkuh itu ditamatkan dengan kata-kata Chin Peng: "Berdamai ertinya menyerah diri. Menyerah diri ertinya satu penghinaan. Kami tidak akan menyerah diri tetapi akan berjuang sampai ke titisan darah terakhir". Dengan tegas, Tunku membalas: "Kalau saudara tidak mahu menyerah kalah, kami juga tidak sanggup menerima saudara sekalian menjadi rakyat negeri ini. Kalau keamanan hendak dicapai dalam negeri ini, salah satu pihak daripada kita mesti menyerah. "Saya tidak sanggup membiarkan Malaya menjadi seperti Korea atau Vietnam. Saya sendiri tidak akan menyerah, sebab itu saudaralah yang mesti menyerah diri," katanya.

Rundingan berakhir begitu saja disebabkan sikap Chin Peng yang angkuh, sedangkan pada pandangan Tunku, tempoh sehari sudah memadai untuk menyelesaikan rundingan. Namun, Bapa Kemerdekaan ini sanggup memberi ruang dan peluang mendengar penjelasan Chin Peng hingga ke hari kedua, tetapi proses itu tetap juga menemui jalan buntu.

Info: Rundingan Baling

September 1955: Tawaran pengampunan beramai-ramai kepada komunis dan 40 juta risalah 'Tawaran Menyerah Diri' serta 12,000 pas pengampunan digugurkan di hutan belantara dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil.
Kandungannya 'kalau kamu menyerah diri, keluar dari hutan, kamu tidak akan dihukum kerana kesalahan yang kamu lakukan berhubung darurat'.

Akhir September 1955, Chin Peng memberi jawapan bertulis menyatakan perjuangan komunis berakhir dan meminta gencatan senjata serta rundingan menamatkan perang.
Surat itu dihantar dari Kampung Kelian Intan, Keroh, Perak kepada Tunku Abdul Rahman; Ketua Menteri Singapura, David Marshall; Sir Tan Cheng Lock dan pemimpin Parti Perikatan lain.

Pertemuan awal: kerajaan diwakili Timbalan Menteri Pelajaran, Too Joon Hing dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Tanah Melayu, Ian C Wylie, manakala PKM oleh Chen Tien.

Tiga rundingan awal berlangsung di Kampung Kelian Intan (sehingga November).
Wylie yang juga bekas Pegawai Pasukan 136 ketika Perang Dunia Kedua cukup kenal Chin Peng dan Chen Tien kerana berkhidmat dalam pasukan sama.

Tiga hari selepas Tunku pulang dari Indonesia, Chin Tien membawa surat Chin Peng mengandungi cadangan rundingan.

Tempoh 10 hari terakhir Disember, pasukan keselamatan diarah melaksanakan gencatan senjata mengejut meliputi kawasan 400 batu persegi termasuk Baling, Kroh (Pengkalan Hulu), Kelian Intan dan sempadan Thailand.

Tiada kata sepakat dicapai selepas PKM enggan menerima pelan damai kerajaan dan meneruskan gerakan bersenjata.

Hari Ini Dalam WWII Asia

6 Januari 1942, pada hari ini di Sungai Slim askar Jepun melompat turun daripada lori mereka di Batu 61 dan bertempur dengan Batalion 5/2 Rejimen Punjab. Pada mulanya, askar-askar Punjabi dapat menangkis serangan askar-askar Jepun itu, sehingga mereka menjumpai jalan-jalan pintas dan melangkau kedudukan Punjabi dan mara ke Batu 62.


*Askar Jurutera British memasangkan bahan letupan untuk memusnahkan jambatan untuk melengahkan kemaraan Askar Jepun.

“Hingarnya tidak boleh diceritakan …kereta kebal berderet, enjin berderum, dengan krew mereka melaung kuat … mesingan memuntahkan peluru… di tengah-tengah tembakan mortar dan meriam. Platun askar kami di tepi jalan membaling grenad dan rantai sebuah kereta kebal rosak terkena tembakan raifel anti-kereta kebal. Sebuah kereta kebal yang lain rosak terkena periuk api.

Kolonel Deakin.

Hari Ini Dalam WWII Asia

5 Januari 1942, pada hari ini tentera Jepun terus melangkau kedudukan Tentera British di utara Selangor menggunakan pergerakan dengan jalan laut. Tentera Jepun menyerang 4/19 Hyderabad dan menyebabkan 60 orang askar dari batalion itu terbunuh. Mereka menyerang lagi pada waktu malam, dan selepas waktu tengah malam, berjaya melepasi barisan pertahanan dengan bantuan bedilan meriam dari pasukan artileri Jepun.


* Tentera Jepun sedang mara ke arah Stesen Kereta Api Kuala Lumpur.

Hari Ini Dalam WWII Asia

4 Januari 1942, pada hari ini Chiang Kai-shek dilantik sebagai Supreme Allied Commander di China.



* Tentera China yang berjaya ditawan oleh Jepun.

Hari Ini Dalam WWII Asia

Mulai hari, krew kami akan menyingkap kembali peristiwa-peristiwa penting dalam Perang Dunia Kedua bukan sahaja di Malaya tetapi turut meliputi Asia kepada pembaca.


*Tentera Jepun merendah hutan di Malaya.

3 Januari 1942, pertahanan tentera British India telah berjaya ditembusi oleh Jepun di Kampar, Perak, Malaya dan berundur ke Sungai Slim, Perak, Malaya.

"Singapore... could only be taken after a siege by an army of at least 50,000 men... its not considered possible that the Japanese...would embark on such a mad enterprise."

Winston Churchill (1940)

Tak Kenal Maka Tak Cinta

Januari menjelma lagi. Bulan yang penuh dengan memori dan kenangan bagi diri ku dengan munculnya beberapa insan yang muncul menyinari hidupku dan pergi meninggalkan ku. Hanya doa dan keampunan ku panjat untuk mu wahai ayahanda..


* Sahabat Selamanya..

4 Jan 2002, seorang insan bergelar sahabat muncul dalam hidupku. Muhammad Azlan nama diberi. Masih terbayang pada hari pertama aku melangkah ke alam persekolahan menengah di SMK Seri Ampang. Arwah ayahku hanya menghantar ku di hadapan kelas. Wajah-wajah di dalam kelas semuanya begitu asing. Lalu aku pun duduk lah di tempat yang kosng di sebelah seorang budak yang gemuk..hehe..

* Kenangan masa sekolah.
Dia menegurku. Teguran pertama itu telah mencipta persahabatan antara aku dan lan yang takkan ku mungkiri buat selamanya. Masih teringat kami sama-sama main perang kertas,makan di kantin sama-sama dan macam-macam lagi. Yang paling seronok apabila sampai sekolah sebelum perhimpunan, kami sama-sama akan duduk bersembang di tepi padang. Mula-mula kami berdua sahaja, lama-kelamaan ramai kawan yang lain muncul mencipta persahatan di bawah pohon keramat itu.

* Bab makan kau memang nombor satu..hehe..

Lan, 8 tahun berlalu dah,pelbagai kita tempuhi bersama. Susah senang. Maafkan aku sebab tidak bersama-sama kau belajar di Politeknik dan impian kita sama-sama nak masuk UPSI. Walau apa pun,kau tetap sahabat ku dunia akhirat bersama-sama 3 orang sahabat baik kita yang lain itu. Doaku harap kau sihat-sihat selalu dan murah rezeki. Amin..