Ipoh, Warisan Senibina Unik

Setelah tiga minggu, akhirnya selesai juga penyelidikan saya yang menfokuskan sejarah dan senibina bangunan warisan di Ipoh, Perak. Kalau berbicara mengenai bangunan sejarah atau warisan di bandar ini, sering kali kita akan terbayang dengan keindahan Stesen Kereta Api Ipoh, Dewan Bandaran Ipoh dan Mahkamah Tinggi. Sebenarnya terdapat puluhan lagi bangunan warisan yang cukup menarik di ibu negeri Perak ini.

Ipoh asalnya bermula daripada sebuah perkampungan Melayu yang kecil iaitu Paloh pada tahun 1879 dan berkembang pesat semasa era pentadbiran Dato' Panglima Kinta Mohammed Yusof yang menggalakkan imigran Cina berhijrah ke Ipoh ini dalam tahun 1900 (Populasi penduduk Ipoh ketika itu ialah 13,000 orang). Galakan pembesar Melayu serta sokongan pihak British dan pelabur Cina telah mewarnai landskap warisan bandar ini yang masih kekal hingga ke hari ini.


Pada peringkat awal, kebanyakan bangunan warisan di Ipoh dibina berdasarkan senibina tradisional Melayu Perak. Hal ini boleh diperhatikan pada rumah-rumah kediaman di sekitar Kampung Kuchai seperti rumah Dato' Seri Adika Raja dan Penghulu Sg. Raia Abdul Wahab. Selain itu, senibina Melayu juga jelas terukir pada senibina Masjid Paloh(1912), Madrasah Sharifah dan Madrasah Kamaliah(1900an).


Senibina yang paling menarik adalah bangunan lama Sekolah Melayu di Kampung Kuchai yang didirikan pada tahun 1900. Bangunan sekolah ini sepenuhnya dibina menggunakan kayu, berdindingkan tepas(anyaman buluh) dan beratap nipah.


Perkembangan sektor ekonomi di Ipoh pada akhir abad ke-19 telah menyebabkan banyak rumah kedai dibina sama ada di Pekan Lama mahupun Pekan Baru oleh pembesar Melayu dan Cina. Terdapat tiga jenis senibina yang terdapat pada kebanyakan rumah kedai di Ipoh iaitu 'Senibina Tradisional', 'Neoclassical Style' dan 'Art Deco Style'.


Bagi tahun 1880 hingga 1890, senibina tradisional dan klasik British telah digunakan dalam setiap pembinaan rumah kedai di Ipoh terutama di Pekan Lama.


Apabila berkembang pengaruh luar di Lembah Kinta iaitu dari tahun 1900-1920an, rumah kedai atau bangunan warisan di Ipoh telah menggunakan pula senibina 'Itali Renaissance' dan 'Neoclassical'. Ini jelas dilihat pada bangunan rumah kedai di Pekan Lama dan terutama di Pekan Baru. Senibina ini juga turut terdapat pada bangunan Masjid Panglima Kinta (1898).


Pada tahun 1920an, beberapa bangunan di Ipoh mulai menggunakan senibina baru yang dikenali sebagai 'Art Deco'. Contohnya seperti bangunan Bank Mercantile(1928) di Pekan Lama, Foong Siong Villa(1931) dan Lam Looking Bazzar(1933) di Pekan Baru.


Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sejarah dan senibina bangunan warisan ini, berkunjunglah ke Ipoh. Pelihara warisan kita, lambang jati diri bangsa dan negara.

2 ulasan:

  1. Anuar Dan juga melukis ‘ukiran budi’ Melayu dengan bentuk dua dimensi, mengutip segala khazanah budaya, ukiran kerawang, bumbung rumah Kutai, tangga Melaka, buyung, serkap ayam sangkar burung…semua kembali untuk dicintai kerana dia percaya di situlah inti dan semangat budi Melayu yang bersalutkan akal menyatu di jiwa.
    Prof. Siti Zainon Ismail

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum.. saya sedang melakukan penyelidikan mengenai seni bina bangunan bersejarah di Ipoh, Peerak. Saya harap dapat kongsikan sedikit maklumat kepada saya di hanimmernusia@gmail.com

    BalasPadam