Jins Shamsuddin Siapkan Filem Pasir Salak

Usia yang kini mencecah ke angka 73 tahun bukanlah kekangan buat seniman berjiwa besar itu dalam meneruskan karya seninya. Tan Sri Senator Jins Shamsuddin atau nama sebenarnya Zain Shamsuddin yang dilahirkan di Taiping,Perak pada 5 November 1935 mula menempa nama menerusi filem arahan P.Ramlee, Panca Delima yang dilakonkan bersama Hashimah Yon pada tahun 1957.

Filem lain lakonannya termasuklah Sarjan Hassan (1958), Dandan Setia (1959), Lela Manja (1960), Si Tanggang (1961), Menanti Hari Esok (1977), Esok Masih Ada (1979), Esok untuk Siapa? (1982), Bukit Kepong (1982) dan Akhirat (2008). Melakonkan lebih 30 buah filem memberi kelebihan kepada penerima anugerah Pengarah Filem Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) pada tahun 1980 (Tiada Esok Bagimu) dan 1982 (Bukit Kepong) itu dalam memberi inspirasi kepada bakat-bakat baru yang terlibat dalam dunia perfileman.

Sepuluh tahun lalu, pernah beliau meluahkan hasrat menghasilkan filem yang berkisarkan perjuangan penduduk Tanah Melayu menentang penjajahan British, Pasir Salak dan kini, hasratnya hampir terlaksana.

"Memang sudah lama saya berhasrat, sebelum menutup mata saya ingin hasilkan filem Pasir Salak. Ia merupakan filem sejarah penting yang memaparkan bagaimana perjuangan nenek-moyang kita terdahulu dalam menentang penjajahan British di Tanah Melayu.

"Insya-Allah, saya akan berusaha menyiapkan filem ini selewat-lewatnya hujung tahun ini dan mungkin ini merupakan karya terakhir daripada saya.

"Bagaimanapun, jika masih dipanjangkan umur saya ada satu lagi hasrat iaitu untuk filemkan sejarah hidup guru saya, P. Ramlee apabila selesai kerja-kerja pengambaran filem Pasir Salak nanti," kata pengarah filem Bukit Kepong itu lagi.

Menyediakan peruntukan lebih RM5 juta menurut Jins, beliau telah memulakan pengambaran untuk Di Sebalik Tabir filem Pasir Salak itu nanti.

"Saya sudah membuat pelbagai penyelidikan selama dua tahun termasuk membelanjakan lebih RM200,000 dalam membuat pelbagai penyelidikan di London.

"Kini saya sudah mula menerbitkan produksi di sebalik pembikinan filem tersebut. Saya juga telah menempah sebanyak 120 pucuk senjata dan pakaian yang bakal digunakan dalam filem ini di Bandung, Indonesia," kata graduan ijazah kedoktoran (PHD) bidang perfileman, Universiti Utara Malaysia itu lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan