Muzium Perlombongan Bijih Timah Kinta

 
Bagi sesiapa yang berminat untuk mengetahui mengenai sejarah perlombongan bijih timah, Muzium Perlombongan Bijih Timah Kinta di Kampar, Perak inilah tempat yang paling sesuai untuk dikunjungi. Muzium yang baru dibuka pada 24 Oktober 2012 ini terletak di Bandar Baru Kampar, 45km dari selatan Ipoh. Idea penubuhan Muzium Perlombongan ini diilhamkan oleh Tan Sri Hew See Tong iaitu seorang bekas taukeh lombong bijih timah selama 40 tahun (1949-1989).

Sebaik sahaja melangkah masuk, pelawat akan dapat melihat replika aktiviti mendulang, pam kelikir, mencari bijih timah dan pelbagai jentera berat. Selain itu, terdapat banyak lagi replika pelombong dan aktiviti melombong di dalam bangunan muzium.

       
Kemasukan para pelawat ke dalam bangunan muzium ini akan tertarik dengan replika Si Larut, iaitu gajah kepunyaan Long Jaafar yang telah berjaya menemui bijih timah di Larut pada tahun 1840an. Penemuan tersebut telah merancakkan aktiviti perlombongan bijih timah di Perak sehingga menjadi pengeluar utama bijih timah dunia pada suatu ketika dahulu.

Selain daripada mempamerkan kaedah perlombongan bijih timah dari awal hingga moden menerusi model dan gambar, muzium ini turut memaparkan aktiviti perleburan, jual beli, dokumen-dokumen, kemasukan buruh-buruh Cina dan tebus guna tanah perlombongan bijih timah hari ini.

Muzium ini dibuka secara percuma kepada pelawat pada hari Isnin - Jumaat, 9.00am - 1.00pm dan Sabtu & Ahad serta cuti umum, 9.00am - 4.00pm.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan