Sejarah Dinding I : Dari Konkonagara ke Beruas

Manjung atau dahulunya dikenali sebagai Dinding, merupakan sebuah daerah yang sejarahnya masih lagi tersembunyi dan tidak diketahui oleh umum. Nama Dinding mula ditemui dalam manuskrip Sejarah Melayu yang menceritakan serangan Raja Suran ke atas Gangga Negara yang dikatakan terletak di Dinding, Perak pada tahun 1025. 

Apabila berbicara mengenai sejarah Gangga Negara ini, terdapat sumber sejarah yang menyatakan bahawa kerajaan terawal di Perak telah wujud seawal abad ke-2 Masihi dan dikenali sebagai Konkonagara. Bukti ini adalah berdasarkan kepada catatan Ptolemy dalam Geographike Huphegasis (150 Masihi). Menurut catatan Ptolemy lagi, kerajaan ini dikuasai oleh Kerajaan Funan. 

Selain itu, muncul juga sebuah lagi kerajaan awal di Dinding ini iaitu Qastan Zarian pada abad ke-7 Masihi. Kerajaan ini dikatakan diasaskan oleh Raja Ganji Sarjuna dari Kedah atau Raja Khmers dari Kemboja.  Sejarah kedua-dua kerajaan ini masih samar namun ia telah menjadi asas kepada kemunculan kerajaan Melayu berikutnya iaitu Beruas dan Manjung.

Menurut Sejarah Melayu, sejarah Manjung telah bermula apabila Raja Pasir dari Sumatera iaitu Sultan Malikut Tahir menghukum buang negeri kepada adik Raja Semudra, Sultan Malikut Mansur ke Manjung. Manjung ini kemudiannya telah ditakluki oleh Beruas dan menjadi jajahan Kesultanan Melayu Melaka. Mengikut sumber Portugis, Tome Pires telah mencatatkan bahawa Manjung telah menjadi pusat perdagangan yang pesat terutama dalam perniagaan bijih timah.

Dalam masa yang sama, sebuah kerajaan muncul di Dinding dan sering menjadi seteru kepada Manjung iaitu Beruas. Beruas dikatakan dibuka oleh Shamsul Bahrain dari Acheh. Perkara ini dibuktikan menurut manuskrip Hikayat Shamsul Bahrain dan nama 'Bahrain' itu dikatakan juga sebagai Beruas.Kerajaan ini merupakan sebuah kerajaan yang bernaung kepada Melaka dan menguasai Manjung pada sekitar 1490an.

Kewujudan kerajaan-kerajaan awal Melayu Perak di Dinding ini telah membuktikan bahawa daerah ini telah menajdi satu lokasi penting kepada kuasa luar dan mempunyai hubungan yang rapat dengan Sumatera. Maka tidak hairanlah terdapatnya sebuah pantai yang dikenali sebagai Teluk Batak (kini dikenali sebagi Teluk Batik).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan