Kemangkatan Raja Kechil Sulong Perak

Jenazah Raja Datuk Seri Ashman Shah, 54, anakanda Sultan Perak Sultan Azlan Shah, selamat disemadikan di Makam Diraja Kuala Kangsar di sini lewat petang Jumaat semalam.

Terdahulu seawal jam 11 pagi, pelbagai lapisan masyarakat yang melangkaui batasan agama dan kaum hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak antara orang kenamaan yang hadir menziarahi jenazah Almarhum Raja Kecil Sulung, Raja Datuk Seri Ashman Shah Sultan Azlan Shah yang mangkat awal pagi ini.

Perdana Menteri tiba di Istana Iskandariah, dekat Kuala Kangsar kira-kira jam 3.40 petang bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor bagi memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum yang mangkat akibat sakit asma.

Turut kelihatan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Barisan kepimpinan negeri yang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan exco turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum yang diletakkan di ruang khas tingkat dua Istana Iskandariah.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara bersama-sama kesemua anggota keluarga diraja itu berada di Istana Iskandariah. Kerabat Diraja, orang kenamaan dan rakyat jelata mula membanjiri perkarangan masjid seawal pukul 4 petang.

Jenazah Raja Ashman Shah tiba di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan di sini dengan pedati khas Seraja Diraja berwarna kuning pada pukul 6.40 petang untuk disembahyangkan.

Selepas disembahyangkan, jenazah dibawa ke Makam Diraja yang terletak bersebelahan masjid tersebut untuk istiadat pemakaman.

Talkin dan doa kemudian dibacakan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Sultan Azlan Shah mendahului keluarga diraja menjirus air mawar dan menabur bunga di makam anakandanya itu diikuti Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun.

Ini diikuti Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah; Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara; Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan kerabat-kerabat diraja lain.

Balu baginda Datin Seri Noraini Jane Kamarul Ariffin dan putera mereka Datuk Raja Ahmad Nazim Azlan Shah serta dua puteri, Raja Eminah Alliyah dan Raja Bainunisa Safia turut menjirus air mawar dan menabur bunga mawar di makam baginda.

Raja Ashman Shah mangkat di kediamannya di Kuala Lumpur pada pukul 1.30 pagi Jumaat akibat serangan asma.

YTM Raja Ashman Shah telah diputerakan pada 28 Disember 1958 dan telah diisytiharkan sebagai Raja Kechil Bongsu Perak Darul Ridzuan pada 11 Mei 1987. Baginda merupakan anakanda ketiga Sultan Perak daripada lima adik-beradik iaitu Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah, Datuk Seri Raja Azureen, Datuk Seri Raja Eleena dan Datuk Seri Raja Yong Sofia.

Baginda memegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada University of Nottingham, England, dan Ijazah Sarjana Undang-Undang Cambridge University, Barrister-at-Law daripada Lincoln's Inn, London, serta Diploma Undang-Undang Perniagaan, University of London, England.

Jawatan terakhir yang disandang baginda sebelum kemangkatan ialah Raja Kechil Sulong Perak dan menjadikan baginda Pewaris Keempat Takhta Kerajaan Perak. Al-Fatihah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan