Sun Yat Sen di Perak

Jika Singapura dan Pulau Pinang pernah menjadi pusat gerakan Sun Yat Sen dalam Revolusi China 1911, negeri Perak turut memainkan peranan penting dalam gerakan yang mengubah sejarah China moden itu. Kebanyakan orang Cina di negeri ini yang telah membantu beliau dari segi kekuatan, kewangan dan moral.

Menurut Prof. Yen Ching-Hwang dalam tesisnya yang bertajuk 'Pergerakan Revolusi China di Tanah Melayu 1900-1911', Sun Yat Sen pernah datang ke Ipoh dan Perak pada tahun 1906 hingga 1907. Namun gerakan beliau di bandar ini menerima tentangan daripada golongan hartawan dan tauke lombong Cina seperti Foo Choo Choon yang pro kepada Dinasti Manchu. Perkara ini dapat dibuktikan dalam sekeping gambar lama yang menunjukkan kedai-kedai di jalan utama Ipoh yang mengibarkan bendera Dinasti Manchu dalam tahun 1911.


Menurut Hon Choo Choong iaitu Pengarah Memorial Sun Yat Sen di Singapura, pengalaman paling buruk yang diterima oleh Sun Yat Sen di Ipoh ialah Sun Yat Sen pernah dilemparkan dengan batu dan najis semasa keretanya melalui kawasan Menglembu. Ketika menetap di Ipoh juga, Sun Yat Sen telah mendiami rumah kedai penyokongnya, Lee Guan Swee di pekan lama Ipoh dan keluar dari sini pada waktu malam menerusi jalan belakang kerana risau dengan ancaman pembunuh upahan.

Sebenarnya sokongan terhadap Sun Yat Sen di Perak kebanyakan datang daripada golongan pertengahan dan bawahan Cina sahaja. Mereka ini menyokong gerakan revolusi ekoran penindasan yang dialami di China dahulu. Sokongan ini juga datang dari pekan-pekan perlombongan di Kinta seperti Papan, Tronoh, Gopeng, Kampar dan Lahat.

Di Ipoh, Sun Yat Sen dibantu oleh penyokong-penyokongnya seperti Teh Lay Seen, Lee Guan Swee, Shuijin Ke, Ou Shengang, Xiaozhang Li, Tang Boling, Yexing Liu, Huang Yiyi dan Liang Shenzhen. Kemudian Sun Yat Sen turut mendapat sokongan daripada Lu Wenhui dan Zhian Chen dari Taiping dan Yang Chaodong di Kampar.

Pada tahun 1906 itu juga, Sun Yat Sen bersama penyokongnya di Perak telah menubuhkan Tung Mei Hui di Ipoh dan kemudiannya cawangannya di Taiping, Kampar, Lahat, Pusing, Papan dan Gopeng. Kebanyakan gerakan mereka lakukan ialah menyebarkan ideologi revolusi di tempat-tempat awam, tepi jalan dan taman rekreasi.

Selepas Persidangan di Pulau Pinang pada 13 November 1910, Sun Yat Sen telah cuba mendapat dana kewangan di Perak. Hasil kempen yang dilakukan di Ipoh, Taiping dan Kampar, beliau berjaya mengumpul dana sebanyak $50 000. Sumbangan ini banyak diberikan oleh pekerja lombong, penjaja dan penarik lanca.

Menurut Kurator Muzium Gopeng iaitu Phang See Kong, seorang pekerja lombong Hakka yang bernama Wen Sheng-Cai dari Kopisan berhampiran Gopeng amat terpengaruh dengan ucapan yang disampaikan oleh Sun Yat Sen. Beliau telah kembali ke China dan cuba untuk membunuh Laksamana Manchu Li Zhun di Canton. Percubaan itu telah gagal dan beliau telah ditangkap lalu dibunuh.

Phang juga berkata seramai tiga penduduk Gopeng iaitu Eu Tong Hong, Wan Sang Choy dan Kok Raja Mak turut terlibat dalam Pemberontakan Guangzhou Kedua. Nama-nama mereka ini termasuk dalam senarai 72 orang yang terbunuh di Guangzhou.

Pada 10 Oktober 1911, Tentera Baru di Wuchang telah memberontak dan merampas kuasa lalu menandakan permulaan Revolusi Xinhai atau Revolusi China yang menyaksikan berakhirnya pemerintahan empayar di China selama 2000 tahun.

Satu mesyuarat awam besar-besaran telah diadakan di Ipoh yang dianjurkan oleh Tung Meng Hui. Hasilnya ucapan bersemangat oleh Teh Lay Seng, lebih daripada $8,000 telah dikumpulkan di tempat kejadian. Pada 3 November 1911, satu lagi mesyuarat besar-besaran diadakan untuk mengumpul dana bagi revolusi dan dilaporkan telah menarik simpati kira-kira 4000 hingga 5000 orang di Ipoh.

Seklain itu,kira-kira 2000 orang pekerja lombong bijih timah dari Perak telah dikatakan berlepas ke Guangzhou dalam tempoh dua minggu selepas Revolusi 10 Oktober untuk menyertai kebangkitan itu. Mereka yang tinggal pula berusaha untuk mengumpul dana kewangan.


Foo Choo Choon yang kemudian telah menyokong Sun Yat Sen telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Penjanaan Dana di Asia Tenggara dan $234.000 telah berjaya dikumpulkan dari Malaya dan Singapura untuk membantu para revolusi di Wilayah Fujian. Dalam beberapa tahun kemudian, beberapa jutawan Cina di Perak termasuk Datuk Seri Lau Pak Kuan, Leong Sin Nam dan Foong Seong yang merupakan pemimpin Tung Meng Hui terus menyokong Sun Yat Sen dan kerajaan baru
Kuomintang.

Seperkara yang menarik ialah negeri Perak merupakan kawasan yang mempunyai bilangan ahli Tung Meng Hui paling ramai di Tanah Melayu semasa itu. Sumbangan dan pengorbanan orang Cina di sekitar Asia Tenggara termasuk Perak telah menyebabkan Sun Yat Sen menggelarkan mereka ini sebagai 'Ibu kepada Revolusi'. Malahan beberapa kesan peninggalan Sun Yat Sen boleh dilihat sehingg hari ini di Ipoh, Taiping dan Gopeng.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan