Kesatuan Melayu Muda 1938-1942

Kesatuan Melayu Muda atau lebih dikenali sebagai KMM telah ditubuhkan di Kuala Lumpur pada tahun 1938. Ia merupakan pertubuhan politik kebangsaan Melayu yang pertama diwujudkan semasa itu bagi menentang British. Penubuhan KMM ini diilhamkan oleh pemuda-pemuda Melayu yang merupakan lepasan pelajar Sultan Idris Training College(SITC), Tanjung Malim di Perak dan Sekolah Pertanian Serdang, Selangor. Mereka ini dipimpin oleh Ibrahim Yaakob dan Mustapha Hussain.

Sebenarnya KMM memiliki nama rahsia iaitu 'Kesatuan Melayu Merdeka'. Ekoran nama rahsia inilah, pertubuhan ini telah dilabel sebagai parti politik haluan kiri atau radikal oleh British. Pada Ogos 1939, KMM dan pertubuhan Melayu yang lain telah mengadakan Kongress Melayu Pertama di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Kongress ini diteruskan dan diadakan buat kali kedua di Singapura pada tahun Disember 1940.

Walau bagaimanapun kongress ketiga yang dirancang di Ipoh, Perak pada Disember 1941 tidak dapat dilaksanakan ekoran penangkapan seramai 100 orang pemimpin dan ahli KMM termasuk Ibrahim Yaakob serta pengharaman KMM oleh British. Penahanan ini dilakukan pada 5 Disember 1941 ekoran pihak British mendapat maklumat daripada radia Jepun yang menyatakan serangannya akan dibantu oleh KAME(nama Jepun bagi KMM). Pakatan KMM dan Jepun ini sebenarnya dilakukan oleh Ibrahim Yaakob tanpa pengetahuan ahli KMM. Pihak Jepun juga telah membantu KMM membeli akhbar Warta Malaya.

Semasa serangan tentera Jepun ke atas Malaya pada Disember 1941, tentera Jepun telah berjaya membawa beberapa pemimpin KMM yang terlepas daripada tangkapan British seperti Mustapha Hussain dan Onan Haji Siraj untuk membantu proponganda kempen mereka. Pada 11 Januari 1942, Kuala Lumpur berjaya ditawan oleh Jepun. Mustapha telah memohon tentera Jepun memberikan kemerdekaan Malaya namun ditolak.

Hal ini telah mengecewakan Mustapha sebagai Naib Presiden KMM dalam matlamat mereka untuk memerdekakan tanah air. Selepas kejatuhan Singapura pada 15 Februari 1942, Mustapha dan beberapa pemimpin KMM pulang ke kampung halaman. KMM sekali lagi telah diharamkan oleh Jepun. Ibrahim Yaakob yang baru dibebaskan telah bekerjasama dengan Jepun sehingga tamat era pendudukan Jepun pada Ogos 1945. Selepas pendudukan Jepun, ramai ahli KMM yang meneruskan perjuangan memerdekakan negera dengan menubuhkan Partai Kebangsaan Melayu Malaya(PKMM), Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu(UMNO) dan banyak lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan