Pada 4 Jun 2011 lalu, PHC telah menjejakkan kaki ke Muzium Tentera Darat di Port Dickson, Negeri Sembilan. Ia merupakan sebuah perjalanan kami yang panjang ke negeri beradat ini. Untuk ke sini, kami perlu ke Kuala Lumpur terlebih dahulu dan menaiki bas ke Seremban lalu ke Port Dickson.
Pada asalnya bangunan muzium ini merupakan sebahagian bangunan lama Pusat Latihan Tentera Darat yang dibina pada era 1930an. Muzium ini telah dibuka secara rasmi pada 28 Jun 2005 oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-XII. Kini Muzium Tentera Darat tersengam kukuh bersendikan semangat perjuangan pahlawan-pahlawan terdahulu dan semasa untuk dihayati oleh semua.
Bergambar di depan Bren-gun carries yang satu-satunya masih terdapat di Asia Tenggara. Kenderaan ini telah digunakan oleh tentera British semasa Perang Dunia Kedua 1941-1942. Di perkarangan muzium ini, dipamerkan pelbagai peralatan tentera seperti meriam, kereta api, pesawat A4 Skyhawk, Ceribou dan kereta perisai.
Diorama suasana hutan belantara dan markas perkhemahan pengganas komunis semasa era darurat 1948-1989 yang dipaparkan di Galeri Era Kemerdekaan. Muzium ini mempunyai 16 segmen seperti Tentera Darat Sepintas Lalu, Era Kesultanan Melayu Melaka, Era Portugis & Belanda, Era Kolonial British, Penubuhan Askar Melayu, Era Pra-kemerdekaan, Era Kemerdekaan, Tentera Darat Hari Ini, Sumbangan Tentera Darat, Panglima ATM dan Terowong Bawah Tanah PKM.
Kunjungan ke muzium sungguh menarik kerana terdapat banyak artifak sejarah ketenteraan negara sejak zaman penubuhan tentera darat pada tahun 1933 hingga kini dipamerkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan