Ekspedisi ke Kedah

10 April 2013, satu ekspedisi menjejaki warisan di Kedah, Negeri Jelapang Padi telah kami lakukan. Seawal pukul 8 pagi, kami telah bergerak menuju ke Alor Setar. Perjalanan memakan masa selama lebih kurang 3 jam lebih.

Setiba di Alor Setar, kami telah menuju ke Rumah Kelahiran Tun Dr. Mahathir. Di sinilah, Tun Dr. Mahathir dilahirkan pada 20 Disember 1925 dan menempuh usia remajanya. Apa yang menarik di sinilah, koleksi peralatan lama dan antik yang masih terpelihara rapi di dalam rumah ini seperti basikal dan lanca. Di persekitarannya pula, terdapat kilang ais lama dan dua dewab pameran yang memaparkan liku-liku hidup negarawan dari alam pengajian sehingga menjadi Perdana Menteri.

Kemudian, kami telah berkesempatan untuk bersolat zuhur di Masjid Zahir, Alor Setar. Masjid ini telah dibina pada tahun 1912 dan merupakan antara masjid terindah serta tertua di negara.

Selepas itu, kami mengunjungi Muzium Diraja Kedah yang terletak berhampiran dengan Masjid Zahir dan Balai Besar. Asalnya bangunan muzium ini ialah Istana Kota Setar atau nama lain Istana Pelamin yang didirikan pada tahun 1735 sempena pembukaan Alor Setar sebagai pusat pentadbiran Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mua' azam Shah II (1710-1778). Pelbagai maklumat dan artifak mengenai Kesultanan Kedah dapat dilihat di sini seperti songkok tengkolok Sultan Abdul Hamid Shah.

Antara monumen yang menarik yang terdapat di tengah-tengah bandar Alor Setar ialah Jam Besar, Menara Alor Setar, Galeri Sultan Abdul Halim dan Balai Nobat.

Kami meneruskan ekspedisi ke Menara Alor Setar. Uniknya menara ini merupakan menara komunikasi ke-19 tertinggi di dunia dan ke-2 di Malaysia. Menara ini telah dibuka oleh Tun Dr. Mahathir pada 14 Ogos 1997. Dari atas menara ini, kami boleh melihat panorama keseluruhan bandar Alor Setar.


Hujan lebat yang turun membasahi Alor Setar tidak menghalang kami melawat Muzium Padi yang terletak di Gunung Keriang, 8 km dari Alor Setar. Dengan kedudukannya di kawasan sawah padi, pelbagai info padi dan beras seluruh dunia boleh kami dapati di sini. 



Akhir sekali sebelum pulang ke Ipoh, kami sempat membeli-belah dan menjamu selera di lokasi yang paling terkenal di Kedah iaitu Pekan Rabu. Mengikut sejarah, Pekan Rabu ini bermula daripada pasar minggu pada tahun 1920-an dan berkembang sehingga terbina bangunan yang ada hari ini pada tahun 1975.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan