Paluan Akhir ingati pengorbanan pahlawan


Sultan Muhammad V berkenan memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan Utama pada istiadat Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2012 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ZAINI HUSIN

KUALA LUMPUR 31 Julai - Tiupan sayu trompet serta begol yang mengalunkan Paluan Akhir atau istilah Inggerisnya Last Post pada istiadat Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2012 di Dataran Merdeka di sini hari ini menimbulkan rasa sayu dalam kalangan hadirin.

Ketika ia dimainkan, Jalur Gemilang secara simboliknya diturunkan dan anggota tentera, polis serta pertahanan luar yang beruniform memberi tabik hormat sementara hadirin lain turut bangun bagi memperingati pahlawan negara yang terkorban demi mempertahankan tanah air.

Di medan perang pada zaman dahulu, Paluan Akhir dimainkan pada pukul 6.30 petang iaitu ketika anggota tentera mencari dan mengumpulkan mayat rakan terkorban serta di peringkat sejagat pula, ia dimainkan ketika pengkebumian anggota pasukan keselamatan yang terkorban ketika bertugas.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang juga Sultan Kelantan berkenan menghadiri istiadat tersebut serta melakukan pemeriksaan Barisan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Turut hadir pada istiadat itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta isteri, Datin Seri Marsilla Tengku Abdullah.

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar serta pasangan masing-masing, pembesar negara serta duta asing.

Pada sambutan itu juga, satu persembahan pantomin diadakan bagi memaparkan kisah para pejuang dahulu menentang Jepun serta pengganas komunis dan menampilkan slot khas bagi menceritakan pengalaman tempur wira negara, Datuk Kanang Anak Langkau.

Kanang ketika ditemui selepas upacara itu tidak dapat menahan kesedihan apabila mengingati para sahabat yang terkorban sewaktu menentang komunis pada 70-an dan awal 80-an.
Justeru, katanya, beliau tidak sesekali akan dapat menerima atau memaafkan golongan yang menganggap komunis sebagai pejuang negara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan