Bersempena Hari Pahlawan hari ini, kami akan membawa pembaca untuk mengingati semula perjuangan pahlawan Melayu Perak menentang British di Perak pada tahun 1875. Perjuangan mereka ini telah diabadikan pada sebuah monumen yang dikenali sebagai Tugu Pahlawan Perak. Tugu ini terletak di Kompleks Sejarah Pasir Salak, Perak Tengah.
Tugu Pahlawan Perak ini sebenarnya telah dibina pada tahun 1990 sempena pembinaan fasa pertama Kompleks Sejarah Pasir Salak. Ia telah dirasmikan oleh D.Y.T.M. Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 26 Mei 1990.
Di atas tugu ini diletakkan sebilah replika sundang berlatar belakangkan bunga kelompang, bunga rasmi negeri Perak dahulu. Ia melambangkan kepahlawanan pejuang Melayu seperti Dato' Maharaja Lela, Dato' Sagor, Pandak Indut dan ramai lagi yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan J.w.w. Birch, Residen British di Perak yang pertama. Pembunuhan ini telah mencetuskan peperangan antara pahlawan Perak dan British selama setahun. Sundang juga merupakan senjata yang digunakan oleh para pejuang Perak dalam menamatkan riwayat Birch di Pasir Salak semasa itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan