ALIAH Ahmad atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Yeh melakonkan semula cara mendulang bijih timah yang dipelajari daripada bapanya kira-kira 50 tahun lalu semasa membijih di Bukit Pelita (Charok Murah), Bukit Larut, Taiping Perak. Gambar kecil menunjukkan mercu tanda Bukit Larut pada ketinggian 1,036 meter dari paras laut.
BUKIT Larut yang juga dikenali sebagai Bukit Maxwell diterokai pembantu Residen British di Perak, William George Maxwell untuk dijadikan lokasi percutian para pembesar Inggeris. Sesuai dengan status sebagai destinasi percutian tanah tinggi tertua, kawasan bukit tersebut menjadi tumpuan kerana iklimnya yang nyaman dan sejuk kerana menerima taburan hujan tertinggi sepanjang tahun di Malaysia.
Semenjak diterokai oleh George Maxwell kira-kira 128 tahun lalu, Bukit Larut terus menjadi tumpuan pelancong yang gemarkan suasana damai dikelilingi kehijauan alam semula jadi.
Siapa sangka di sebalik keunikan dan keindahan flora dan fauna di hutan dara tersebut, tersembunyi khazanah alam yang sinonim dengan daerah Larut sehingga mencetuskan pertelingkahan antara puak Ghee Hin dan Hai San pada tahun 1861.
Setelah 100 tahun berlalu, sekitar tahun 1960-an, penduduk Kampung Anak Kurau menghidupkan kembali aktiviti melombong bijih timah di Bukit Larut dengan menggunakan kaedah tradisional.
Biarpun terpaksa mendaki bukit setinggi 986 meter dari aras laut dan 'berkampung' di Charok Murah (Bukit Pelita) selama berminggu-minggu ia tidak menjadi halangan kepada penduduk kampung untuk mendapatkan 'emas hitam' tersebut.
Nyawa seolah-olah berada di hujung tanduk untuk mengeluarkan khazanah alam itu, namun demi meneruskan kelangsungan hidup mereka rela dalam terpaksa.
(Dipetik daripada Utusan Malaysia, 21 Julai 2012)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan