KEUNIKAN DAN SUMBANGAN BESAR UPSI WAJAR DIPERINGATI, DIHARGAI – DR. ZAMBRY

Sejarah perkembangan pendidikan nasional banyak bermula di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dahulunya dikenali sebagai Sultan Idris Training College (SITC).


Berdasarkan sumbangan besar itu, Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, peranan institusi pendidikan itu wajar diperingati dan dihargai.


“Institusi pendidikan ini telah banyak memberi sumbangan besar terhadap perkembangan dalam sektor pendidikan sekali gus menyumbang kepada pembangunan pesat hingga ke hari ini.


“Malah ramai tokoh pendidikan negara dan juga pemimpin tersohor adalah graduan daripada SITC yang kini dikenali sebagai UPSI,’’ katanya ketika berucap di majlis Perasmian Muzium Pendidikan Nasional (MPN) UPSI di sini baru-baru ini.


Beliau berkata, antara tokoh-tokoh terkemuka tersebut ialah Tun Ghaffar Baba, Dato’ Senu Abd. Rahman dan Dato’ Abd. Rahman Talib.


Malah katanya lagi, kebangkitan semangat nasionalisme di negara ini juga adalah bertitik tolak daripada semangat para pelajar di institusi itu.


“Melihat kepada sumbangan tersebut, usaha menubuhkan MPN yang di tempatkan di UPSI amat bertepatan sekali,’’ katanya.


Dalam perkembangan lain, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, kerajaan negeri sedang menggiatkan usaha ke arah merealisasikan hasrat menjadikan negeri ini sebagai pembekal peluang pekerjaan yang luas kepada anak-anak Perak.


“Selama ini, sektor pendidikan di negeri ini lebih merupakan pengeluar dan pembekal modal insan daripada pengguna kepada modal insan yang dihasilkan di negeri ini.


“Pendek kata, sebilangan besar daripada mereka yang dididik dan dilatih dalam negeri Perak telah berhijrah ke negeri-negeri lain untuk mendapatkan pekerjaan. Malah, ramai yang berketerampilan telah menyumbang bakti di luar Perak, “ katanya.


Tambahnya lagi, di samping program-program pembangunan yang disuntik oleh Kerajaan Pusat, kerajaan negeri juga akan melaksanakan pelbagai pendekatan melalui gagasan Perak Amanjaya.


Beliau yakin dengan komitmen dari semua pihak, Perak akan mencapai matlamat status negeri maju menjelang tahun 2015.


(Dipetik dari Perak News,19 Julai 2011)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan