Jejak Tengku Menteri Ngah Ibrahim

Dari Kerian hingga ke sempadan daerah Kuala Kangsar, begitulah luasnya Larut iaitu kawasan pemerintahan Orang Kaya Menteri Paduka Tuan atau lebih dikenali sebagai Tengku Menteri Ngah Ibrahim pada 1856 hingga 1877. Bersempena dengan pameran 'Sirih Pulang Ke Gagang' di Muzium Matang, Taiping, kami telah menjalankan satu laluan untuk menyingkap kembali sejarah perjuangan Ngah Ibrahim terhadap aspek politik, ekonomi dan sosial negeri Perak dahulu.


Pada pukul 9 pagi 2 Julai 2011, kami telah memulakan perjalanan dari Ipoh yang bukan sahaja akan merungkai sejarah tetapi juga keindahan alam negeri Perak. Kami telah singgah sebentar di Kuala Kangsar untuk bersarapan pagi dan bersiar-siar di pasar minggu. Setelah itu, kami sempat juga berkunjung ke Masjid Kampung Kuala Dal yang dibina dengan kos kira-kira RM8000 pada 1936 oleh Sultan Iskandar Shah. Senibina masjid ini begitu unik seperti seekor burung dan menyerupai senibina Istana Kuning (Muzium Diraja Perak).


Dalam tengah hari, kami tiba di Muzium Matang bagi melawat pameran 'Sirih Pulang Ke Gagang'. Pameran ini didedikasikan kepada Ngah Ibrahim, seorang pahlawan dan jutawan Melayu abad ke-19. Selain daripada memaparkan latar belakang beliau, pameran ini turut mendedahkan usaha membawa balik jenazah Ngah Ibrahim yang dikebumikan di Singapura kembali ke Perak. Kami berpeluang menonton tayangan dokumentari mengenai pameran ini selama sejam.


Lawatan kami di sini bertambah menarik apabila Pembantu Muzium Matang menceritakan kisah-kisah yang tersembunyi mengenai kegemilangan Ngah Ibrahim dan Larut. Kami juga ditunjukkan dengan lokasi sebenar Dato' Sagor dan Maharaja Lela yang membunuh J.W.W. Birch dihukum gantung hingga mati pada 1877.


Jika ke Matang, jangan lupa untuk merasai Mi Udang Kuala Sepetang. Memandangkan sudah tengah hari, kami telah mengambil keputusan bagi makan tengahari di Gerai Mak Teh. Tapi kami memilih untuk makan sesuatu yang lain iaitu Nasi Goreng Udang. Udangnya memang besar dan banyak. Memang puas makan di sini.


Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke Taiping, Bandar Warisan. Lokasi yang ingin kami kunjungi ialah Galeria Pertama. Bangunan lama kerajaan yang dibina pada tahun 1891 ini sebenarnya telah bertukar wajah sebagai sebuah galeri yang menempatkan warisan sejarah awal bandar Taiping. Kepada sesiapa ingin melihat gambar-gambar lama Taiping, bolehlah datang ke sini.


Selepas itu, kami telah pergi ke Bismillah Cendol yang terletak berdekatan Hospital Taiping bagi merasai cendol terkenal di Taiping ini. Selesai menghilangkan dahaga, lokasi seterusnya ialah menuju ke daerah Kerian dengan melalui pekan-pekan kecil seperti Simpang Empat, Bagan Serai, Kuala Kurau dan Tanjung Piandang.


Akhirnya perjalanan kami tiba di destinasi terakhir iaitu di Pantai Ban Pecah, Tanjung Piandang. Ia merupakan sebuah tempat yang sungguh damai dengan suasana pantai dan sawah padi serta ditambah dengan keriuhan nelayan di jeti. Seolah-olah kita berada di antara dua alam yang berbeza. Keindahan Ban Pecah bertambah mempesonakan apabila tibanya waktu matahari terbenam. Menjelang malam, kami pun pulang menuju ke Ipoh.


Jejak Ngah Ibrahim sebuah catatan perjalanan kami dalam merungkai sejarah perjuangan Ngah Ibrahim yang bermula dari Kuala Kangsar iaitu di mana keturunan beliau berasal. Jejak ini diteruskan ke Muzium Matang yang mana terdapatnya Kota Ngah Ibrahim dan Rumah Kapten Speedy, lambang kegemilangan dan perjuangan pahlawan Melayu Perak ini. Perjuangan Menteri Larut tersebut bukan sahaja berkisar perlombongan bijih timah yang bertempat di Taiping namun meluas sehingga ke Kerian dengan bidang pertanian.

Muzium Pendidikan Nasional



Pada 19 Julai 2011 yang lalu ini, Tuanku Bainun telah berkenan untuk merasmikan Muzium Pendidikan Nasional, Tanjung Malim, Perak. Muzium ini terletak di dalam Bangunan Suluh Budiman. Bangunan Suluh Budiman merupakan sebuah bangunan yang mempunyai nilai sejarah yang amat penting kepada pembangunan negara khususnya dalam bidang pendidikan dan perguruan. Bangunan yang dibina pada tahun 1922 asalnya merupakan sebuah maktab untuk latihan perguruan yang dikenali sebagai Sultan Idris Training Collage (SITC). Pada 1 Mei 1997, maktab perguruan ini telah diisytiharkan sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Setelah 89 tahun menempuhi pelbagai pengalaman dan pembangunan pendidikan, Bangunan Suluh Budiman telah menjadi ikon utama kepada UPSI dan warisan negara.


Pameran Payung Negara yang diadakan selama 3 bulan di Dewan Besar SITC yang menempatkan ruang pameran sementara muzium.


Muzium Pendidikan Nasional ini mempamerkan 19 tema yang berkaitan dengan perkembangan pendidikan nasional menerusi 20 buah galeri.


Diorama pejabat Pendeta Zaaba semasa berkhidmat di SITC pada suatu ketika dahulu.


Konsep pameran muzium ini begitu moden dan menarik. Ia begitu sesuai sebagai gedung warisan dan ilmu pendidikan negara untuk masyarakat mengunjunginya. Muzium ini dibuka pada hari Isnin hingga Sabtu dari pukul 9 pagi -4 petang.

KEUNIKAN DAN SUMBANGAN BESAR UPSI WAJAR DIPERINGATI, DIHARGAI – DR. ZAMBRY

Sejarah perkembangan pendidikan nasional banyak bermula di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dahulunya dikenali sebagai Sultan Idris Training College (SITC).


Berdasarkan sumbangan besar itu, Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, peranan institusi pendidikan itu wajar diperingati dan dihargai.


“Institusi pendidikan ini telah banyak memberi sumbangan besar terhadap perkembangan dalam sektor pendidikan sekali gus menyumbang kepada pembangunan pesat hingga ke hari ini.


“Malah ramai tokoh pendidikan negara dan juga pemimpin tersohor adalah graduan daripada SITC yang kini dikenali sebagai UPSI,’’ katanya ketika berucap di majlis Perasmian Muzium Pendidikan Nasional (MPN) UPSI di sini baru-baru ini.


Beliau berkata, antara tokoh-tokoh terkemuka tersebut ialah Tun Ghaffar Baba, Dato’ Senu Abd. Rahman dan Dato’ Abd. Rahman Talib.


Malah katanya lagi, kebangkitan semangat nasionalisme di negara ini juga adalah bertitik tolak daripada semangat para pelajar di institusi itu.


“Melihat kepada sumbangan tersebut, usaha menubuhkan MPN yang di tempatkan di UPSI amat bertepatan sekali,’’ katanya.


Dalam perkembangan lain, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, kerajaan negeri sedang menggiatkan usaha ke arah merealisasikan hasrat menjadikan negeri ini sebagai pembekal peluang pekerjaan yang luas kepada anak-anak Perak.


“Selama ini, sektor pendidikan di negeri ini lebih merupakan pengeluar dan pembekal modal insan daripada pengguna kepada modal insan yang dihasilkan di negeri ini.


“Pendek kata, sebilangan besar daripada mereka yang dididik dan dilatih dalam negeri Perak telah berhijrah ke negeri-negeri lain untuk mendapatkan pekerjaan. Malah, ramai yang berketerampilan telah menyumbang bakti di luar Perak, “ katanya.


Tambahnya lagi, di samping program-program pembangunan yang disuntik oleh Kerajaan Pusat, kerajaan negeri juga akan melaksanakan pelbagai pendekatan melalui gagasan Perak Amanjaya.


Beliau yakin dengan komitmen dari semua pihak, Perak akan mencapai matlamat status negeri maju menjelang tahun 2015.


(Dipetik dari Perak News,19 Julai 2011)

Riadah Di Gunung Lang

Baru-baru ini, PHC telah beriadah sempena hujung minggu kami. Selepas kami berkunjung ke Hari Terbuka TUDM, kami telah pergi ke Gunung Lang untuk mencari damai di dalam alam semulajadi yang menakjubkan..


Taman Rekreasi Gunung Lang terletak di pinggir bandar raya Ipoh dan berdekatan Lebuhraya Utara-Selatan. Tidak sukar untuk ke sini kerana terdapat banyak papan tanda menunjukkan arah tempat ini. Selain memiliki keindahan gunung batu kapur dan kehijauan taman serta kedamaian tasiknya, Gunung Lang mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Hal ini kerana ia pernah menjadi tempat persembunyian Pengganas Komunis Malaya pada suatu ketika dahulu.


Air terjun buatan yang mengindahkan lagi gunung batu kapur yang terdapat di sekitar taman rekreasi ini..


Gunung Lang merupakan tempat yang begitu sesuai buat warga kota Ipoh melepaskan kerinduan pada keindahan alam semula jadi..


Laman Negeri Perak, di sini terdirinya replika Rumah Tradisional Negeri Perak..

Pameran Wira Tak Dicanang


Tempat : Muzium Matang, Taiping, Perak.
Tarikh : 1 Ogos - 1 Oktober 2011
Masa Lawatan : 9.00am - 5.00pm

Hari Terbuka TUDM Ipoh

Sempena Hari Ulang Tahun TUDM ke-53, PHC telah berkesempatan mengunjungi Hari Terbuka TUDM di Institut Latihan TUDM Ipoh, Perak. Ia telah berlangsung pada 11 Jun 2011. Program ini bermula dengan sesi perbarisan tamat latihan oleh anggota rekrut TUDM pada sebelah paginya. Dalam sebelah petang mulai 2.30 petang, pelbagai aktiviti sempena Hari Terbuka TUDM telah diadakan seperti gerai jualan, pameran TUDM serta agensi kerajaan, persembahan , aksi payung terjun dan banyak lagi.

Bergambar dengan anggota pasukan elit TUDM yang dikenali sebagai PASKAU.


Helikopter Alloutte merupakan antara aset terawal yang digunakan dalam TUDM terutama dalam membantu operasi ketenteraan semasa menentang ancaman pengganas komunis 1948-1989.


Salah satu contoh peralatan yang dihasilkan oleh anggota tentera semasa menjalani latihan iktiar hidup di dalam hutan.

Jajarkan ke Tengah

Lan sibuk menanyakan mengenai persenjataan TUDM yang dipamerkan kepada orang ramai di gerai-gerai pameran.