“Melayu itu siapa? Membongkar asal usul Melayu dari pelbagai perspektif” Itulah tajuk Dialog Perabadan Melayu yang telah diadakan di Auditorium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 5 April 2011.
Dialog ini mengupaskan dan membincangkan asal usul dan sejarah bangsa Melayu. Persoalan-persoalan ini telah dikupaskan oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Nik Hassan Suhaimi (Pakar arkeologi), Prof Dato’ Dr. Wan Hashim (Pakar Antropologi) dan Prof Adnan Nawang (Pakar sejarah).
Apa yang menarik dalam sesi dialog ini adalah konsep Alam Melayu yang dibincang oleh Prof. Adnan. Beliau memulakan perbincangan dengan kata-kata yang berbunyi demikian ‘melihat sejarah tidak perlu lihat ke belakang keseluruhannya tetapi lihat dari sekarang hingga ke belakang’. Bagi beliau, kerajaan Melayu sebenarnya bermula lebih awal daripada kemunculan kerajaan Srivijaya. Hal ini dibuktikkan dengan kajian terbaru oleh Andaya yang menyatakan Sambas di Borneo telah wujud lebih awal dari Srivijaya.
Berbalik kepada konsep Alam Melayu, konsep ini telah lahir hasil daripada usaha pembentukan kolonial di Nusantara. Ia bermula dengan cita-cita Raffles yang ingin mewujudkan satu perkumpulan Raja-raja Melayu di Singapura sebagai pusatnya. Namun, cita-citanya gagal dan umur Raffles sendiri tidak begitu panjang.
Hasil idea pemikiran Raffles ini tidak terkubur bersamanya tetapi idea ini telah digunakan oleh pihak British dan Belanda dalam gerakan imperialisme mereka di Nusantara. Contohnya pihak British telah mewujudkan konsep Alam Melayu ini dan mengukuhkannya dalam memastikan kebergantungan pemerintah Melayu kepada penjajah. Ia jelas dengan pembentukan Negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu serta Persekutuan Tanah Melayu.
Dengan konsep ini telah membolehkan Melayu itu terdiri bukan sahaja daripada orang Melayu setempat tetapi melibatkan golongan imigran Melayu dari Nusantara seperti Minangkabau, India Muslim, Arab, Siak, Acheh, Bugis, dan Rawa. Golongan ini begitu penting dalam melakarkan kegemilangan bangsa Melayu.
Sejarah membuktikan kebanyakan tokoh-tokoh Melayu yang terkemuka datang daripada golongan ini. Contohnya, pelajar Melayu pertama memasuki Al-Azhar iaitu Syeikh Tahir seorang berketurunan Arab, Zaaba yang berketurunan Bugis, bapa kesusasteraan Melayu iaitu Abdullah Munsyi berketurunan Keling dan malah negarawan ulung Tun Dr. Mahathir juga berketurunan Melayu Keling. Paling menarik UMNO itu sendiri ditubuhkan atas idea seorang yang bukan Melayu asli tetapi orang Melayu Minang, Keling dan Bugis sendiri.
Mengapa mereka ini lebih berjaya daripada orang Melayu setempat? Persoalan ini mudah sahaja kerana golongan imigran Melayu ini tidak terikat dengan sistem sosio-politik Melayu yang lebih bersifat sistem serahan (sistem feudal) sepertimana orang Melayu setempat yang masih menggelarkan diri mereka Melayu Perak, Kelatan dan sebagainya. Hal ini menggambarkan konsep kerakyatan (Melayu setempat yang berjiwa hamba) dan kewarganegaraan (Imigran Melayu yang punyai hak dan roh).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan