BAGAN SERAI 27 Mac - Tidak lengkap kedatangan ke Bukit Merah Laketown Resort sekiranya tidak singgah ke Taman Eko yang terdapat di sini.
Bagi mereka yang menyukai suasana di kelilingi alam semula jadi sambil ditemani bunyi unggas, di sini adalah tempat paling tepat untuk menikmatinya.
Ini kerana taman haiwan berkonsep mesra alam itu direka agar menyerupai habitat asal haiwan-haiwan tersebut.
Justeru tidak hairanlah apabila berjalan di atas pelantar yang ditinggikan, pengunjung dapat melihat haiwan-haiwan di atas kanopi dengan lebih jelas selain boleh memberikan makanan terus kepada mereka.
Taman ini didirikan pada 5 September 1999 dan mempunyai tiga taman besar yang menempatkan 30 spesies haiwan dari dalam dan luar negara.
Namun, dalam ketenangan di taman itu, jangan terkejut sekiranya kedamaian anda dikejutkan dengan jeritan memanggil nama 'pasangan' Ayu dan Boy.
Jangan salah sangka kerana pasangan tersebut bukanlah penyambut tetamu atau penjaga di sana tetapi hanya sepasang buaya yang berehat di kandang mereka.
Jika sebelum ini Ayu dan Boy ditempatkan bersama haiwan lain kini mereka mempunyai 'rumah' baru yang dilengkapi kemudahan kolam renang.
Turut mendapat rumah baru adalah beruang dan rusa yang siap sepenuhnya pada Disember lalu.
Kawasan pameran yang lebih luas ini dibina bagi menambahkan keselesaan terhadap haiwan-haiwan tersebut.
Apabila tiba di pintu masuk ke Taman Eko, pengunjung boleh membeli makanan untuk diberikan kepada haiwan-haiwan pada harga berpatutan dan mereka tidak dibenarkan untuk membawa makanan dari luar.
Taman pertama yang akan dilalui dinamakan Nature Trail yang juga merupakan taman yang terbesar di sini.
Di dalam taman itu pengunjung boleh memberi makan kepada pelbagai spesies ikan seperti ikan koi, kalui, patin, rohu dan keli Afrika.
Situasi itu pastinya memberikan keseronokan kepada pengunjung apabila dibenarkan memberi makanan kepada beratus-ratus ikan yang berebut-rebut untuk mendapatkan makanan yang dilemparkan.
Selain itu, terdapat juga ikan arapaima dan ikan muncung buaya yang menjadi tarikan di situ. Taman kedua besar ialah Laluan Tropika.
Di situ pengunjung dapat melihat gelagat ungka tangan putih bergayut dan jika bernasib baik ia akan mengeluarkan bunyi yang boleh didengar sehingga dua kilometer jauhnya.
Pengunjung juga boleh menyaksikan sesi memberi makanan untuk memerang kecil pada pukul 12 tengah hari dan 3.30 petang.
Jika pengunjung melawat pada waktu siang, haiwan-haiwan seperti sugar glider, kongkang dan monyet Capuchin akan tidur, tetapi jika ingin melihat mereka bergerak aktif, pengunjung boleh mengikuti program The Hoot yang akan membawa pengunjung mengembara waktu malam.
Program kembara malam di dalam Taman Eko itu diadakan setiap hari Jumaat, Sabtu, cuti umum dan cuti sekolah.
Program itu bermula dengan pelayaran malam selama setengah jam di tasik Bukit Merah pada pukul 9 malam sebelum memasuki Taman Eko.
Melalui program itu, pengunjung dibawa oleh seorang renjer untuk melihat haiwan-haiwan yang aktif pada waktu malam, uniknya pengunjung akan berjalan dalam gelap dengan bantuan lampu suluh dan cahaya bulan sahaja.
Di antara Nature Trail dan Laluan Tropika, terdapat kawasan pameran Binturong. Binturong adalah musang yang terbesar yang boleh dijumpai di Asia Tenggara.
Haiwan itu aktif pada waktu malam tetapi kadang-kadang ia juga akan mengambil makanan daripada pengunjung pada waktu siang.
Selain itu, pengunjung juga dipelawa untuk memasuki kawasan pameran monyet tupai.
Di situ, monyet-monyet tupai yang jinak akan mengambil makanan dari tangan pengunjung dan lebih menyeronokkan apabila monyet yang berasal dari Amerika Selatan itu akan melompat ke atas bahu pengunjung untuk mengambil makanan dari tangan.
Jika bernasib baik, para pengunjung juga berpeluang melihat burung merak jantan mengembangkan ekornya untuk menarik perhatian merak betina di dalam taman itu.
Di dalam Taman Reptilia, pengunjung akan disambut oleh iguana yang dibenarkan bergerak bebas di dalam taman ini.
Pengunjung juga akan dapat melihat beberapa jenis ular seperti ular sawa batik gergasi, ular tedung selar, ular tedung senduk dan ular kapak.
Khas untuk kanak-kanak, terdapat taman haiwan peliharaan di sini antaranya arnab, tikus, tikus belanda dan kambing biri-biri.
Melalui ruangan itu, kanak-kanak digalakkan untuk menyentuh dan memberi makanan kepada haiwan-haiwan di sana.
Tidak ketinggalan menghiburkan pengunjung di situ adalah aksi burung kakak tua menerusi pertunjukan yang diadakan dua sesi setiap hari pada pukul 11 pagi hingga 12.30 tengah hari dan 2.30 petang hingga 4.30 petang.
Menerusi pertunjukan itu, pengunjung akan dihiburkan dengan gelagat burung kakak tua dengan bermacam-macam aksi antaranya seperti menaiki basikal, mengira dan bermain bola. Pada penghujung pertunjukan juga pengunjung boleh bergambar dengan burung-burung dengan kadar bayaran hanya RM1 seorang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan