Pameran Koleksi Terpilih Muzium Perak


Sebagai sebuah muzium tertua di Malaysia, Muzium Perak di Taiping ini sudah tentu memiliki artifak-artifak sejarah yang berusia ratusan tahun dan bernilai tinggi. Oleh itu, pameran ini akan mempamerkan koleksi tersebut untuk tatapan umum yang bermula pada 1 Februari hingga 30 Jun 2011. Kunjungilah Muzium..

Sejarah yang dilupakan-Pokok Tempat Menggantung Pejuang Melayu Perak

Sepanjang perjalanan dari Taiping ke Kuala Sepetang (Port Weld), yang jaraknya kira-kira 12 kilometer dari Bandar Taiping, Perak kelihatan banyak pokok besar di sepanjang jalan terutama di kawasan Matang yang mungkin usianya mencecah ratusan tahun.

Pokok besar itu dikatakan ditanam oleh penjajah Inggeris dengan tujuan tertentu, ada yang mendakwa sebagai penanda kawasan laluan, penanda pendudukan kolonial dan ada juga yang mengatakan ia satu daripada kempen alam sekitar.

Laluan darat itu sebenarnya bersebelahan landasan kereta api bersejarah antara Taiping ke Port Weld sejauh 12 kilometer (km).

Di antara puluhan pokok besar itu, ada dua batang pokok besar, setinggi kira-kira 20 meter dan mungkin usianya mencecah hampir ratusan tahun yang terletak di arah bertentangan dengan pokok yang dikatakan ditanam oleh penjajah Inggeris.

Saiz ketinggiannya jika ditebang untuk dijadikan balak, ia boleh dipotong dua balak atau tual iaitu satu tual panjangnya bersamaan dengan saiz lori balak. Ukir lilit dianggarkan lebih satu pemeluk orang dewasa.

Dua pokok mempelam pauh itu terletak di satu selekoh. Kedudukannya agak terpinggir, kawasannya tidak dijaga, dipenuhi lalang manakala sebuah rumah lama di tepinya kelihatan usang dan terbiar. Jika diteliti, kedudukannya di sebelah kanan dari arah Taiping betul-betul berdepan dengan Kompleks Sejarah Matang.

Mungkin ramai yang tidak peduli atau tidak tahu, di situlah sebenarnya British menggantung sehingga mati tiga pejuang dan pemimpin Melayu yang disabitkan kesalahan bersubahat dan membunuh Residen Perak yang pertama, James Wheeler Woodford Birch atau JWW Birch di Pasir Salak.

Dato Seri Maharaja Lela, Dato Sagor dan Pandak Indut menghembuskan nafas terakhir di tali gantung yang diikat pada pokok induk mempelam pauh berkenaan.

Ketika berlakunya pembunuhan Birch, Pandak Indut adalah orang pertama yang merejam lembing kepada residen British itu disusuli libasan lembing oleh Si Puntung. Pandak Indut atau nama sebenarnya Ngah Kamdin dan menantunya, Dato Maharaja Lela disabitkan kesalahan bersubahat dalam serangan itu.

Pembunuhan pada 2 November 1875 itu banyak dicatatkan buku sejarah, jurnal, perbincangan tetapi yang pasti ia adalah kemuncak sejarah perjuangan Melayu menentang penjajah di Pasir Salak. Ia adalah sejarah agung yang dikenang sebagai bukti perjuangan demi cintakan bangsa, agama dan tanah air.

Kini selepas 133 tahun serangan itu berlaku, yang tinggal cuma dua batang pokok generasi baru hasil benih pokok induk, tetapi berdasarkan keadaannya sekarang, boleh dibayangkan betapa besarnya pokok berkenaan pada ketika itu.

Selain itu, kedudukannya menghadap tanah lapang juga menimbulkan tanda tanya apa motifnya hukuman gantung diadakan di situ.

Ada yang mengatakan, hanya satu tujuan iaitu supaya hukuman itu dapat disaksikan oleh penduduk kampung supaya jangan sesekali mencabar pemerintahan British serta menakutkan orang ramai untuk membuktikan kekuasaan Inggeris ke atas Tanah Melayu.

Rumah Kapten TCS Speedy yang mengetuai pasukan polis Ngah Ibrahim juga bersebelahan tempat itu, jadi memang sesuai ia dijadikan tempat menjalankan hukuman.

Pembantu Muzium, Kompleks Sejarah Matang, Ahmad Sazali Sabu, berkata berdasarkan cerita lisan yang diwarisi turun temurun, memang di situlah ketiga-tiga pejuang bangsa itu digantung, cuma pokok mempelam pauh yang asal sudah tumbang dan kini hanya tinggal dua batang pokok generasi baru.

“Kawasan itu asalnya adalah bandar lama Matang. Sebab itulah adanya balai polis dan beberapa rumah lama berdekatan pokok mempelam. Rumah lama itu adalah bekas kuarters Jabatan Kerjaya Raya (JKR) yang pernah diduduki pegawai kerajaan British dan ditutup pada awal 1960-an.

“Bersebelahan itu juga adalah bekas tapak bangunan majistret, tempat pembicaraan pesalah tetapi sudah hangus dijilat api. Rumah majistret itu pernah dijadikan lokap mengurung pesalah kes jenayah kecil seperti mencuri. Mereka ditempatkan di bawah rumah,” katanya.

Namun, agak menyedihkan kerana kawasan itu langsung tidak mempunyai papan tanda penerangan mengenai peristiwa bersejarah pernah berlaku di situ. Apa yang boleh dilihat dan dilawati cuma Kompleks Sejarah Matang, bekas Kota Ngah Ibrahim serta rumah Kapten Speedy.

Kota Ngah Ibrahim, Manifestasi Sejarah Perak

Terbina lebih dari 100 tahun, tidak ramai mengenali Kota Ngah Ibrahim yang terletak di Matang, Taiping. Kota ini pernah menjadi saksi bisu yang merakam sejarah negeri Perak terutama abad ke-19 apabila perlombongan bijih timah di Larut berkembang pesat. Mengikut sejarah, kota ini telah dibina oleh Ngah Ibrahim, Orang Kaya Menteri Paduka Tuan yang ketika itu merupakan pembesar Melayu di Larut pada tahun 1854.

Tujuan utama pembinaan Kota Ngah Ibrahim adalah untuk kegunaan Ngah Ibrahim dalam menguruskan pentadbiran dan ekonomi daerah Larut serta sebagai kediamannya. Beliau telah mengimport bahan-bahan binaan seperti batu-bata dari India. Keluasan kota ini ialah 131 meter panjang dan 110 meter lebar. Jika diperhatikan pada tembok kota, terdapat banyak lubang untuk menembak yang boleh dijumpai. Di kawasan tengah kota telah didirikan sebuah bangunan dua tingkat. Selain itu, beberapa binaan lain boleh ditemui di sekitarnya seperti menara kawalan, perigi dan bekas pelabuhan.

Kota Ngah Ibrahim mempunyai sejarah yang panjang dan memberi impak besar terhadap perkembangan negeri Perak sendiri. Sejak terbinanya kota ini, ia telah menjadi pusat pemerintahan Ngah Ibrahim di Larut sehinggalah kota ini ditawan dalam Perang Larut pada tahun 1873. Apabila campur tangan British bermula di Perak pada tahun 1874, kota ini telah diambil alih oleh British lalu dijadikan sebagai kediaman dan pejabat Penolong Residen, Kapten Speedy.

Pada tahun 1876 pula, ia telah dijadikan penjara dan mahkamah bagi membicarakan Datuk Maharaja Lela dan pengikutnya ekoran terlibat dalam pembunuhan J.W.W. Birch. Hasil perbicaraan tersebut, Datuk Maharaja Lela dan Datuk Sagor telah dihukum gantung di hadapan kota ini. Pokok tempat penggantungan dan makam Datuk Sagor masih terdapat sehingga kini di sekitar kota. Ngah Ibrahim turut didapati terlibat dalam insiden berdarah tersebut dan dihukum buang negeri ke Seychelles.

Kota Ngah Ibrahim turut pernah menjadi Maktab Perguruan yang pertama apabila Sultan Idris(1887-1916) sendiri telah menitahkan penubuhan maktab tersebut di sini pada tahun 1913 untuk memperkembangkan pendidikan di negeri Perak. Kota ini juga pernah berfungsi sebagai Sekolah Melayu (1922-1941) dan pejabat tentera Jepun (1941-45).

Pada tahun 2006, sejarah terus terakam di sini apabila jenazah Ngah Ibrahim yang dihukum bunag negeri dapat disemadikan di kawasan kota ini. Kini, Kota Ngah Ibrahim telah dijadikan Kompleks Sejarah Matang yang menyimpan nostalgia silam untuk tatapan umum memahami sejarah negeri Perak.

Pelihara Warisan Sejarah Melayu di Ipoh

Catatan sejarah membuktikan bahawa Bandar Raya Ipoh telah dibuka oleh masyarakat Melayu yang diketuai oleh Datuk Panglima Kinta pada abad ke-19. Ia bermula dengan sebuah perkampungan Melayu bernama Paloh yang kemudian berubah kepada Epu (Ipoh) sempena nama pokok Ipoh. Atas daya usaha Datuk Panglima Kinta Mohammad Yussof telah berjaya membangunkan Ipoh bersama-sama orang Cina yang bermigrasi ke sini sehingga berkembang pesat seperti sekarang ini.

Namun begitu hari ini tidak banyak warisan sejarah masyarakat Melayu yang masih terdapat di sini. Hanya beberapa bangunan warisan orang Melayu yang utuh berdiri di sekitar Kampung Paloh dan Kampung Kuchai seperti Masjid Paloh, Masjid Panglima Kinta, Madrasah Sharifah, Madrasah Kamaliah dan Sekolah Melayu Kg. Kuchai. Sedangkan pada masa dahulu, kawasan sekitar ini merupakan pusat kegiatan utama masyarakat Melayu di Ipoh terutama politik yang mana menyaksikan penubuhan UMNO Perak.

Apa yang menyedihkan lagi adalah keadaan bangunan-bangunan tersebut yang begitu uzur serta terbiar. Malahan ada juga bangunan warisan Melayu ini telah dibeli oleh orang Cina dan dijadikan bengkel kereta seperti Rumah Datuk Seri Adika Diraja dan beberapa rumah besar di Kampung Kuchai. Tidak kurang juga beberapa bangunan warisan tersebut telah rebah menyembah bumi seperti rumah Penghulu Sg. Raia dan bangunan kedai yang dahulunya menempatkan pejabat Persatuan Melayu Perak.

Jika warisan yang ada ini tidak dipuliharakan maka dikhuatiri akan lenyaplah bukti-bukti sejarah masyarakat Melayu di Ipoh seperti apa yang terjadi di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Singapura. Ia tidak mustahil kerana hari ini pun, tidak ramai yang mengetahui sejarah dan peranan yang pernah dimainkan oleh Datuk Panglima Kinta suatu ketika dahulu.

Oleh itu diharapkan pihak-pihak berkenaan seperti Kerajaan Negeri dan Jabatan Warisan mengambil perhatian terhadap masalah ini. Keprihatinan terhadap warisan ini dapat dilakukan dengan kerja-kerja pemuliharaan atau mewujudkan sebuah galeri sejarah orang Melayu di Ipoh. Contohnya seperti baru-baru ini Rumah Teh di Pulau Pinang yang berjaya diselamatkan oleh kerajaan dan kini berfungsi sebagai Galeri Warisan Melayu. Tanpa sejarah, hilanglah jati diri dan asal usul sesuatu bangsa itu.