Pada 4 Julai 2010 yang lalu, PHC telah mengadakan satu ekspedisi yang diberi nama 'Ekspedisi Garis Waktu'. Ekspedisi ini berkonsepkan penerokaan warisan negeri Perak dari segi sejarah, budaya dan alam semula jadi.
Tempat pertama kami kunjungi ialah Kellie's Castle di Batu Gajah. Tinggalan sejarah ini begitu unik kerana ia menjadi lambang kekayaan negara pada era kolonial. Bangunan istana lama ini telah dibina oleh seorang peladang getah Scotland, William Kellie Smith pada tahun 1910. Keistimewaan istana ini bertambah menarik apabila senibina, bahan binaan dan buruhnya diimport sepenuhnya dari India. Meskipun istana ini gagal disiapkan akibat kematian Smith pada tahun 1926, ia tetap indah tersengam di atas sebuah bukit yang dikelilingi ladang getah. Jika diperhatikan, senibina istana ini menyerupai senibina Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur.
Seterusnya, kami meneruskan penerokaan ke Gua Tempurung, Gopeng. Ia merupakan sebuah gua batu kapur yang terbesar di Malaysia dan telah wujud sejak jutaan tahun dahulu. Lokasi ini juga pernah dijadikan lombong bijih timah dan markas persembunyian komunis semasa darurat. Keindahan batu bata di dalam gua ini begitu menakjubkan.
Akhir sekali, PHC meluangkan masa sebentar menghayati keindahan alam semulajadi yang menghijau di Lata Kinjang, Tapah. Lata Kinjang ialah air terjun yang tertinggi di Malaysia dengan ketinggian kira-kira 850m dan boleh dilihat dari jauh sekiranya kita memandu di Lebuh Raya Utara Selatan. Selain itu, kami dapat melihat budaya kehidupan orang asli yang terdapat di situ.