Perak Beri Perhatian Pemilikan Tanah Kawasan Kubu Perang Green Ridge

KAMPAR, 25 Okt (Bernama) -- Kerajaan negeri Perak amat memberi perhatian termasuk perkara teknikal berhubung pemilikan tanah di kawasan perkuburan dan kubu tentera British dan Komanwel ketika mempertahankan Tanah Melayu daripada serangan Jepun semasa Perang Dunia Kedua yang masih kekal di Kampar di sini.

Oleh yang demikian Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengarahkan pejabat tanah, pegawai daerah serta anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri kawasan berkenaan mengadakan perbincangan dengan syarikat dan pemilik tanah seluas 4.8 hektar tersebut.

"Tanah ini mempunyai enam syarikat sebagai pemilik besar dan secara keseluruhanya ada 199 hak milik. Ia akan mengambil masa dan tugas yang mencabar bagi kerajaan negeri. Kita juga akan berjumpa dengan kesemua pemilik ini untuk mengadakan perbincangan dan berdailog dengan mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat Green Ridge di kawasan itu di sini pada hari Ahad.

Dalam lawatan itu, beliau turut menerima surat rayuan Persatuan Bekas Tentera Malaysia cawangan Kuala Dipang supaya kerajaan negeri mengekalkan tapak sejarah berkenaan yang menjadi daya tarikan pelancong dan peminat sejarah tempatan dan luar negara.Dalam surat tersebut persatuan berkenaan turut menggesa pihak berkenaan membina sebuah galeri dan tugu peringatan perang untuk generasi akan datang.

Green Ridge dibina tentera British untuk mempertahan diri daripada serangan Jepun apabila berlaku pertempuran di tapak itu selama empat hari bermula 30 Dis 1941 hingga 2 Jan 1942.

Zambry berkata beliau akan menulis surat secara peribadi berhubung lawatannya ke Green Ridge hari ini kepada Kementerian Pertahanan dan kerajaan persekutuan supaya usaha untuk mewartakan kawasan tapak kubu perang Green Ridge itu sebagai tapak sejarah perang dapat direalisasikan.

Katanya yang menjadi kesukaran ketika ini adalah untuk menyakinkan pemilik tanah berkenaan bahawa kawasan itu adalah penting kepada sejarah negara.

"Sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk mengambil-alih tanah itu dan menggantikan dengan tanah yang lain, ia memerlukan persetujuan kerana tanah itu milik mereka," katanya.

Beliau juga berkata kawasan itu merupakan tempat strategik mempelajari selok-belok peperangan dan sememangnya ia kawasan kajian serta rujukan penuntut universiti serta pengkaji terutama dari Britain, India dan Pakistan kerana ia masih dianggap relevan hingga ke hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan