Winston Churchill melihat kejatuhan Singapura sebagai “malapetaka yang paling buruk dan kekalahan paling besar dalam sejarah British’. Walaupun demikian, pada hakikatnya, pertahanan Britain, Rusia dan Timur Tengah sentiasa diberikan keutamaan oleh Winston Churchill dari sudut pemberian bahan keperluan perang ataupun agihan anggota tentera.
Umpamanya, Tentera Udara Diraja di Malaya tidak mendapat peruntukan 300 hingga 500 buah kapal terang yang diperlukan. Mereka menggunakan kapal terbang Brewster Buffalo yang tidak mampu bertanding dengan kapal terbang yang digunakan oleh Jepun. Apabila Jepun menyerang, mereka disokong oleh 200 buah kereta kebal, sedangkan Percival tidak diberikan peralatan kereta kebal, dan hanya mempunyai satu skuadron kereta kebal ringan untuk tujuan tinjauan.
Kekalahan British di Singapura secara mendadak membalikkan nama Percival daripada seorang pegawai yang berkaliber dan efisien kepada seorang pegawai turus yang tidak berkesan, kekurangan sifat ketangkasan dan kurang agresif, walaupun tiada yang meragui keberanian dan kesungguhan Percival menjalankan tugas. Susuk badan Percival yang tinggi lampai (lebih dari 6 kaki) bersama dengan 2 gigi kapaknya serta misai kontot menjadikan Percival sasaran mudah sebagai bahan karikatur, dan Percival juga tidak fotogenik.
Tetapi kekalahan British di Malaya dan Singapura tidak patut diletakkan di atas bahu Percival semata-mata. Ketua Marsyal Udara Sir Robert Brooke-Popham, Panglima Markas Timur Jauh British enggan memberikan kebenaran untuk Percival melancarkan Operasi Matador melibatkan pergerakan unit Tentera British ke wilayah Thailand untuk menghalang kemaraan tentera Jepun. Sir Robert Brooke-Popham enggan memberikan kebenaran itu kerana takutkan British dilihat sebagai pihak agresif oleh kerajaan Thailand. Brooke-Popham juga mempunyai reputasi sebagai seorang yang sudah tidak endah, dan selalu tertidur semasa mesyuarat. Beliau juga tidak berkeras memperjuangkan unit-unit udara sebagai bantuan untuk pertahanan Malaya.
Sebaliknya, Laksamana Tom Phillips, pemerintah pasukan petugas Force Z yang berkisar kepada kapal perang HMS Prince of Wales menunjukkan keberanian luar biasa sehingga terkorban apabila kapal perangnya ditenggelamkan kapal terbang Jepun pada 10 Disember 1941.
Percival tidak mempunyai pertalian baik dengan Sir Lewis "Piggy" Heath, pemerintah III Kor Tentera British India (pasukan teras Markas Gerakan Tanah Melayu). Percival juga tidak dapat mengawal dengan baik Mejar Jeneral Gordon Bennett, pemerintah Divisyen ke-8 Australia. Gordon Bennett mempunyai sikap berdikari dan pernah menjadi pegawai atasan Percival sebelum perlantikan Percival sebagai GOC Malaya. Ini membuatkan sukar bagi bennettt menerima arahan Percival.
Bennett terlalu yakin dengan kebolehan askar-askar Australia dan kebolehan dirinya sendiri, tetapi tidak mengambil kira kebolehan unit-unit tentera India. Bennett sendiri dapat melarikan diri ke Australia setelah kekalahan British di Singapura tetapi mendapat cemuhan kerana meninggalkan orang-orang di bawah perintahnya di Singapura.
Percival tidak teragak-agak untuk menggantikan pegawai-pegawai yang dilihat sebagai tdiak berkesan, dan menggantikan Mejar Jeneral David Murray-Lyon sebagai pemerintah Divisyen ke-11 India apabila pasukan tersebut tidak menunjukkan kesungguhan berjuang di Jitra dan di Perak.
Kesilapan paling besar Percival adalah keberatannya untuk membina perkubuan kekal di Johor ataupun di pantai utara Pulau Singapura, walaupun berkali-kali diminta oleh Ketua Askar Jurutera Brigadier Ivan Simson, dengan alasan “membina kubu tidak baik untuk moral askar-askar kita dan orang awam”. Dengan demikian, Percival mengabaikan apa-apa kelebihan yang boleh diperolehi daripada tenaga 6,000 orang askar jurutera, khususnya kebarangkalian menumpaskan pergerakan kereta kebal Jepun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan