TAIPING 6 Julai - Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bercadang menjadikan bandar Taiping yang kaya dengan pelbagai produk pelancongan termasuk bangunan-bangunan warisan sebagai Bandar Bersejarah.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, untuk tujuan itu, pihaknya akan berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata, perbincangan perlu dilakukan segera memandangkan ada di antara bangunan lama tersebut tidak diurus dengan baik.
"Selain itu saya bimbang kalau kita tidak jadikan bangunan ini sebagai ikon, mungkin satu masa nanti bangunan itu akan diruntuhkan dan dibangunkan dengan pembangunan lain.
"Bila berlaku begitu, kita akan hilang segala khazanah yang ada. Oleh itu saya berhajat untuk berunding dengan Menteri Besar (Zambry) jadikan Taiping sebagai Bandar Bersejarah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Muzium Taiping sempena program bersama komuniti di sini hari ini.
Program dua hari berakhir esok itu turut menempatkan 47 gerai pameran melibatkan produk pelancongan, kesihatan dan kraftangan selain persembahan kebudayaan seperti wayang kulit, dikir barat dan pancaragam sekolah.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail.
Tambah Mohamed Nazri, selain menjadikan khazanah-khazanah tersebut sebagai warisan, produk tersebut juga akan dinaik taraf sebagai ikon pelancongan negeri termasuk Muzium Taiping.
"Taiping ada pelbagai produk seperti zoo, taman bunga dan landasan kereta api yang pertama di Kuala Sepetang serta muzium. Semua produk ini boleh dijadikan aset untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri Perak," katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai lawatannya, beliau berkata, pihaknya akan mengkaji bentuk penambahbaikan yang perlu dilakukan serta peruntukan yang diperlukan pihak terlibat.
"Saya amat kagum dengan artifak-artifak yang ada di sini. Sebelum datang saya bayangkan ada tempat yang kosong kerana tak ada artifak tapi ternyata sangkaan saya meleset.
"Daripada taklimat yang diberi, pihak muzium mempunyai lebih 400,000 artifak dan tidak boleh dipamerkan semua justeru, saya minta mereka buat permohonan dan kita usaha untuk dapatkan peruntukan bagi penambahbaikan," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130707/dn_20/Kerajaan-berhasrat-jadikan-Taiping-Bandar-Bersejarah#ixzz2YJq2cFtV
© Utusan Melayu (M) Bhd