Bandar tertua, suasana damai



REPLIKA yang menggambarkan penemuan bijih timah pada Si Larut, gajah milik Che Long Jaafar.

SEBAIK kereta keluar dari plaza tol Changkat Jering, suasana damai yang cukup sinonim dengan bandar warisan Taiping mula dirasai.

Statusnya sebagai bandar tertua negara terus terserlah sebaik melalui Penjara Taiping yang berusia 133 tahun.

Namun kedamaian sebenar lebih dirasai apabila kereta dipandu penulis melintasi jalan di sekitar Taman Tasik Taiping yang redup dipayungi pokok-pokok tua.

Mungkin juga kerana pengaruh cuaca yang sentiasa berubah-rubah maka persekitaran di ‘pekan koboi’ itu sangat ‘sejuk’ dipandang mata.

Bagaimanapun menurut penduduk tempatan, penjelajahan di bandar warisan itu seelok-eloknya dimulakan dari Kompleks Sejarah Matang (dahulunya dikenali sebagai Kompleks Sejarah Kota Ngah Ibrahim) yang terletak di Bukit Gantang.

Menurut Ketua Kampung Hujung Matang, Taiping, Mohd. Khiruddin Abd. Halim, 48, hal itu kerana kompleks berkenaan adalah ‘kunci’ kepada bandar warisan itu.

‘‘Kunci kerana rumah besar itu didirikan Che Ngah Ibrahim anak kepada Che Long Jaafar yang merupakan orang Melayu pertama membuka perusahaan lombong bijih timah di Larut, Matang dan Selama.

“Kerana bijih timah bandar ini berkembang dengan pesat menjadi bandar utama sekitar tahun 1870-an dahulu,’’ katanya.

Bercerita tentang penemuan bijih timah di Larut, Mohd. Khiruddin berkata, semuanya bermula apabila seekor gajah bernama Si Larut milik Che Long Jaafar yang hilang ditemui semula.

Katanya, bagaimanapun Che Long Jaafar berasa hairan melihat gajahnya diselaputi lumpur yang keras.
“Pelik dengan kejadian itu, Che Long Jaafar mengambil keputusan untuk menyiasat perkara tersebut.

“Setelah mengetahui ketulan yang menyelaputi Si Larut itu adalah bijih timah, Che Long Jaafar telah pergi ke Pulau Pinang dan berjaya membawa balik 20 orang Cina ke Larut untuk menjalankan kegiatan perlombongan.
“Bukan tidak mahu memberi peluang kepada penduduk tempatan, cuma pada masa itu orang Melayu sememangnya kurang pengetahuan tentang bijih timah," katanya.

Mohd. Khiruddin berkata, berdasarkan cerita orang-orang tua, dipercayai nama daerah itu dinamakan Larut sempena nama gajah Che Long Jaafar.

Selepas itu, katanya, lombong bijih timah yang dibuka oleh Che Long Jaafar di Klian Pauh telah mendapat keuntungan besar.

Keadaan itu menyebabkan semakin ramai orang Cina berhijrah ke Larut untuk menjadi pelombong bijih timah.

“Satu lagi sejarah yang sinonim dengan Taiping adalah Perang Larut membabitkan pergaduhan kumpulan Ghee Hin di Klian Baru dengan kumpulan Hai San di Klian Pauh yang mengheret campur tangan British.

“Perjanjian Pangkor telah membuka jalan untuk campur tangan British di Tanah Melayu dengan menggunakan sistem Residen dan seterusnya, menjadikan Taiping sebagai pusat pentadbiran British yang baru.

“Pelbagai kemudahan telah dibina British seperti hospital, sekolah, penjara, balai bomba, kawasan rehat pergunungan dan landasan kereta api telah menjadikan Taiping sebagai bandar terawal menerima kemajuan di Tanah Melayu," katanya.

Selepas melawati Kompleks Sejarah Matang, penulis bersama jurugambar meneruskan perjalanan ke kawasan bersejarah lain yang terdapat di Taiping seperti Menara Jam, Muzium Perak, Sekolah King Edward VII dan Bukit Larut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan