Nama Kuala Sepit mungkin tidak begitu dikenali oleh generasi hari ini di Dinding. Pada kali ini pula, ruangan ini akan menerokai sejarah masyarakat orang Melayu di daerah ini yang berperanan penting dalam episod sejarah Dinding dahulu.
Jika ditinjau sejak awal pembukaan daerah Dinding, orang Melayu telah mula menetap di sini. Malahan ramai orang Melayu ini datang merantau dari Sumatera seperti Acheh, Rokan, Siak, Kampar, Jambi dan Inderagiri sejak dari abad ke-16. Hal ini dibuktikan dengan nama beberapa tempat yang dikaitkan dengan masyarakat ini seperti Teluk Batak (Teluk Batik kini) dan Teluk Rubiah.
Kehadiran Raja Engku Busu di Dinding dalam awal abad ke-19 telah membawa kepada pembukaan Lumut. Beliau merupakan seorang raja yang berasal dari Selangor. Kedatangan Raja Engku Busu di sini sebenarnya adalah untuk menghapuskan kegiatan perlanunan yang berleluasa di perairan Dinding tetapi beliau telah gagal dan terkorban di Lumut.
Pada tahun 1857, datang pula Nakhoda Muhammad Taib dari Batu Bahara, Sumatera ke Dinding untuk menangani isu perlanunan tersebut. Beliau juga telah membuka sebuah kerajaan kecil di Kuala Ketil setelah diberikan surat kuasa dan dianugerahkan gelaran 'Tok Noda' oleh Sultan Perak, Sultan Jaafar (1857-1863). Nakhoda Muhammad Taib kemudiannya berjaya menghapuskan lanun-lanun di Selat Dinding dan menjadi Kuala Sepit sebagai sebuah pelabuhan entreport bagi pedagang Nusantara. Pentadbiran di Kuala Sepit telah diketuai oleh beliau dan dibantu oleh Tok Pendekar Mohamad Yasin (keselamatan), Tok Baginda Raja (Pawang Besar) dan Tuan Haji Said (Kadi). Pada tahun 1873, Nakhoda Muhammad taib telah meninggal dunia di Kuala Sepit setelah 16 tahun memerintah kawasan ini.
Kegemilangan Kuala Sepit ini akhir beransur hilang apabila termeterainya Perjanjian Pangkor pada 1874. Pengganti Nakhoda Muhammad Taib iaitu Peghulu Besar Nakhoda Muhammad Nordin telah kehilangan kuasa. Beliau telah meneruskan usaha membuka semula Lumut di bawah pemerintahan British. Semasa usaha ini, beliau telah menemui kubur-kubur lama milik Raja Engku Busu dan pengikutnya serta mangsa kekejaman lanun. Sejak itu, Lumut atau dikenali sebagai Tanah Merah telah dijadikan pusat pentadbiran Dinding oleh British.
Pada 16 Februari 1935, istiadat penyerahan daerah Dinding telah diadakan di Rumah Rehat Lumut antara kerajaan Perak dan British. Nama daerah Dinding telah ditukarkan kepada Iskandar District dan Lumut kepada Port Iskandar. Sebuah masjid yang dinamakan Masjid Al-Adli telah dibina di Lumut sebagai tanda kesyukuran. Pada tahun 2011, Lumut telah disyitiharkan sebagai Bandar Tentera Laut dan Pelancongan Maritim Perak.