Jejak Masjid Bersejarah di Perak : Masjid Panglima Kinta

Pada catatan kami kali ini, Krew Sejarah Perak akan menjelajah dan memaparkan masjid-masjid bersejarah di seluruh negeri Perak. Masjid merupakan suatu ciri penting dalam kawasan penempatan masyarakat Melayu serta menjadi pusat kegiatan politik, ekonomi dan sosial masyarakat.

Dalam siri pertama ini, kami akan membawa pembaca ke Ipoh. Ipoh sebagai ibu negeri Perak turut mempunyai beberapa buah masjid yang lama dan indah. Antaranya ialah Masjid Panglima Kinta. Masjid ini juga dikenali dengan nama 'Masjid Tengah'. Ia terletak di Jalan Masjid, Ipoh iaitu di tepi tebing Sungai Kinta dan berdekatan dengan Jambatan Sultan Iskandar.

Masjid ini telah dibina pada tahun 1898 oleh Dato' Panglima Kinta Mohammad Yussof bagi memperingati kematian isteri beliau pada tahun yang sama. Menurut Perak Gazet, kos pembinaan masjid ini ialah sekitar $15,000. Oleh itu, masjid ini merupakan masjid batu yang tertua di Ipoh.

Melihat bangunan masjid ini, ia telah direkabentuk dengan menggabungkan senibina Mogul dan Neoclassical. Ia memiliki dua menara, anjung dan kubah batu di sebelah timur. Pada hari ini, masjid ini masih terus digunakan lagi oleh masyarakat Melayu di Ipoh walaupun terdapat banyak masjid baru di sekitar bandar ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan