Sehari Jalan-jalan Di Kuala Lumpur

Sempena hari ulang tahun TUDM ke-52, krew kami iaitu Hisham, Fazrin dan Azlan telah berkunjung ke Muzium TUDM di Pengkalan TUDM Sg. Besi, Kuala Lumpur pada 1 Jun 2010.

Penubuhan muzium TUDM ini adalah sebagai langkah memastikan segala sejarah mengenai cabang perkhidmatan dalam ATM itu tidak dilupakan sejak penubuhannya. Muzium ini terbahagi kepada tiga galeri iaitu Galeri 1 dan 2 serta garaj pesawat TUDM.


Kemudian, kami meluangkan sedikit masa bersiar-siar di Kuala Lumpur. Kami telah melawat Muzium Polis di Jalan Perdana dan Planetarium. Kenangan paling seronok ialah merasai pengalaman berada di bilik bebas graviti di Planetarium dan menyaksikan sendiri kehidupan angkasawan.


Seterusnya, kami meneruskan perjalanan ke KL Sentral. Dalam perjalanan itu, kami singgah sebentar di Muzium Negara yang menyimpan pelbagai koleksi warisan negara. Yang menarik di sini, kami merasai pengalaman seolah-olah kembali ke masa silam dengan pameran di muzium ini.


Destinasi kami yang terakhir ialah di Mid Valley. Kami terpaksa berhempit merempuh kesesakan ibu negara. Di Mid Valley, Azlan tidak sabar-sabar meronda mencari kedai yang menjual model mainan ketenteraan.

Akhirnya pada lewat petang, kami pulang ke Ipoh dari Terminal Bas Bukit Jalil dalam kesesakan lalu lintas dan keadaan cuaca hujan lebat. Kesian kepada Fazrin dan Azlan yang pening, sakit kepala dan nak demam selepas penat ke hulu ke hilir. Seronok kami dapat jalan bersama-sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan