Menghayati Semangat Nasionalisme Melayu-SITC

The Sultan Idris Training Collge for Malay Teachers yang dikenali dengan nama ringkasnya sebagai SITC begitu penting dalam perkembangan semangat nasionalisme Melayu pada suatu ketika dahulu. Para intelekual SITC telah berjaya menggerakkan perjuangan awal bangsa Melayu sehingga tanah air mencapai kemerdekaan. Atas dasar kepentingan bangsa, lepasan SITC yang menyedari kelemahan bangsa telah pulang ke kampung-kampung masing-masing dengan membawa bukan sahaja azam dan pelajaran tetapi juga pandangan-pandangan baru tentangan politik,ekonomi dan sosial orang Melayu. Perjuangan kecil mereka ini akhirnya telah memberi kesedaran terhadap anak bangsa.

Sejarah penubuhan Maktab Perguruan Sultan Idris bermula dengan cadangan R.O. Winstedt untuk memusatkan maktab-maktab perguruan Melayu. Setelah mendapat persetujuan Sultan Abdul Jalil Perak, Pesuruhjaya Tinggi British telah mengumumkan untuk menubuhkan sebuah Maktab Pusat yang besar bagi guru-guru Melayu sebagai kenang-kenangan kepada Almarhum Sultan Idris Ibni Almarhum Raja Iskandar, Perak yang amat menitikberatkan pendidikan bangsa Melayu.

Maktab ini telah dirasmikan oleh Sir George Maxwell, Ketua Setiausaha Negara pada 29 November 1922. Maktab ini menerima kemasukan 120 pelajar sebagai permulaan untuk mengikuti kursus selama 3 tahun dan mula beroperasi pada 231 November 1922. Tenaga pengajarnya pula terdiri dari tiga orang Eropah, tujuh orang guru Melayu dan seorang guru anyaman dari Filipina. O.T. Dussek pula telah dipilih menjadi Pengetua pertama (1922 - 1936). Beliau banyak membentuk dan memungkinkan perkembangan golongan intelek asli atau anak negeri. Bahkan beliau pernah membayangkan SITC yang bakal ditubuhkan itu sebagai "sebuah Universiti Anak Negeri Dalam Kandungan".

Tujuan asal maktab ini ditubuhkan adalah untuk melatih guru-guru untuk sekolah-sekolah Melayu, disamping itu pihak British juga berharap lepasan SITC akan dapat digunakan sebagai tenaga pekerja mereka.

SITC kemudiannya seolah-olah menjadi Pusat Kehidupan Intelektual Melayu dengan penuntut-penuntut yang datang dari segenap pelosok Semenanjung. Pertemuan penuntut-penuntut Melayu ini secara langsung atau tidak langsung telah menyedarkan mereka tentang tanggungjawab meninggikan tahap pelajaran anak-anak Melayu dan membawa kepada perkembangan golongan terpelajar Melayu yang bersemangat kebangsaan. Pendedahan pada apa yang berlaku di luar negeri melalui pembacaan telah membuahkan bibit-bibit semangat kebangsaan di kalangan pelajar-pelajar. Penubuhan Pejabat Karang- Mengarang 1925 mendedahkan lagi para pelajar pada sumber-sumber bacaan dari luar.

Keunggulan SITC membentuk pelajar dan pelajaran Melayu terbukti sehingga selesai Perang Dunia Kedua, bahkan hingga beberapa tahun selepasnya, sebelum wujud beberapa institusi pengajian tinggi lainnya.

Semasa Perang Dunia Kedua, SITC telah dijadikan Hospital Tentera British dan kemudiannya setelah tentera British berundur, ianya telah dijadikan Markas Tentera Jepun. Para pelajarnya berpindah ke Kuala Kangsar. Apabial perang mula merebak, pelajar-pelajar diarahkan pulang ke kampung masing-masing.

Selepas perang, SITC dibuka semula, kali ini dengan para pelajar yang lebih bersemangat. Semangat kebagsaan mula bercambah subur di SITC dan para pelajar semakin berani menuntut hak-hak mereka sehingga berlaku tunjuk perasaan pada 10 Disember 1949 dan SITC ditutup selama 3 bulan ekoran dari peristiwa itu.

Menjelang Kemerdekaan 1957, SITC telah dapat menyediakan segolongan intelek Melayu yang berjiwa kebangsaan dan ini penting untuk mengsisi ruang kemerdekaan.Pada tahun 1958, SITC turut mencatatkan sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya anak tempatan dilantik sebagai Pengetua, iaitu Zainal Abidin Ali. Pada 13 Januari 1975, sekali lagi SITC merakamkan sejarah dengan pengambilan masuk 140 pelajar puteri, iaitu setelah 5 tahun dihuni oleh pemuda-pemuda Melayu.

Pada 21 Februari 1987, SITC telah dinaikkan taraf sebagai Institusi Pendidikan Sultan Idris (IPSI). Kedudukan tarafnya lebih tinggi daripada makatb-maktab perguruan yang lain dan diberi kuasa mengendalikan Kursus Sijil Lanjutan Pergurusan dan Diploma Lepas Sijil.Sesuai dengan peranan dan kepentingannya telah mendorong Kerajaan untuk menaikkan tarafnya kepada peringkat yang lebih tinggi sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 1 Mei 1997.

Sesungguhnya SITC telah memainkan peranan penting dalam perjuangan mempertahankan ketuanan dan kedaulatan orang Melayu sejak ia ditubuhkan pada tahun 1922. Generasi UPSI kini harus berasa bangga kerana terpilih untuk menjadi pewaris semangat perjuangan SITC untuk kelangsungan agama,bangsa dan negara. Malahan, apa yang terdapat di UPSI kini adalah keringat perjuangan generasi SITC tersebut. Kesimpulannya, cucu-cicit SITC kini iaitu UPSI perlulah menghayati semangat nasionalisme Melayu-SITC demi meneruskan perjuangan bangsa yang masih belum selesai.

Sehari Jalan-jalan Di Kuala Lumpur

Sempena hari ulang tahun TUDM ke-52, krew kami iaitu Hisham, Fazrin dan Azlan telah berkunjung ke Muzium TUDM di Pengkalan TUDM Sg. Besi, Kuala Lumpur pada 1 Jun 2010.

Penubuhan muzium TUDM ini adalah sebagai langkah memastikan segala sejarah mengenai cabang perkhidmatan dalam ATM itu tidak dilupakan sejak penubuhannya. Muzium ini terbahagi kepada tiga galeri iaitu Galeri 1 dan 2 serta garaj pesawat TUDM.


Kemudian, kami meluangkan sedikit masa bersiar-siar di Kuala Lumpur. Kami telah melawat Muzium Polis di Jalan Perdana dan Planetarium. Kenangan paling seronok ialah merasai pengalaman berada di bilik bebas graviti di Planetarium dan menyaksikan sendiri kehidupan angkasawan.


Seterusnya, kami meneruskan perjalanan ke KL Sentral. Dalam perjalanan itu, kami singgah sebentar di Muzium Negara yang menyimpan pelbagai koleksi warisan negara. Yang menarik di sini, kami merasai pengalaman seolah-olah kembali ke masa silam dengan pameran di muzium ini.


Destinasi kami yang terakhir ialah di Mid Valley. Kami terpaksa berhempit merempuh kesesakan ibu negara. Di Mid Valley, Azlan tidak sabar-sabar meronda mencari kedai yang menjual model mainan ketenteraan.

Akhirnya pada lewat petang, kami pulang ke Ipoh dari Terminal Bas Bukit Jalil dalam kesesakan lalu lintas dan keadaan cuaca hujan lebat. Kesian kepada Fazrin dan Azlan yang pening, sakit kepala dan nak demam selepas penat ke hulu ke hilir. Seronok kami dapat jalan bersama-sama.

Sehari Bersama Bomba

Pada 25 April 2010 yang lepas, kami telah berkesempatan berkunjung ke Majlis Perasmian Balai Bomba di Simpang Pulai. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sempena hari keputeraan baginda. Balai bomba yang ke-28 di Perak ini menelan kos sebanyak RM 7.4 juta dan terletak di jalan utama ke Cameron Highland dan berhampiran tol PLUS.

Kami juga sempat melawat pameran, melihat pertunjukan memadam kebakaran, bergambar dengan maskot bomba, Azlan telah memenangi kuiz dan anak-anak buah dia pula menyertai pertandingan mewarna. Sebelum balik, kami makan kek coklat di rumah Azlan yang bersebelahan balai bomba.