Bukti Keganasan Komunis Di Malaya



Pada 15 Jun 1951, Sir Henry Lovell Goldsworthy Gurney telah menjadi mangsa serang hendap pengganas-pengganas komunis di kilometer 90.4 Jalan Kuala Kubu Bharu ke Bukit Fraser. Henry Gurney berusia 53 tahun, telah dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi Inggeris di Tanah Melayu pada 13 September, 1948 bagi menggantikan Sir Edward Gent yang terkorban dalam nahas kapal terbang. Gurney menyifatkan perlantikannya itu sebagai satu tugas dan cabaran hebat kerana seluruh Tanah Melayu telah diisytiharkan darurat pada 12 Julai 1948, akibat dari keganasan anggota-anggota Parti Komunis Malaya. Henry Gurney bersama isterinya dan setiausaha peribadinya, D.J. Staples bertolak dari Kuala Lumpur menuju ke Bukit Fraser kerana urusan rasmi dan untuk berehat. Apabila kereta yang dinaikinya melalui satu selekoh kira-kira 12.8 kilometer dari Bukit Fraser, tiba-tiba kereta itu menjadi sasaran tembakan pengganas-pengganas komunis. Gurney menyedari nyawa isterinya dan dua nyawa lain sedang terancam, sedangkan beliau adalah menjadi sasaran utama serangan tersebut. Gurney lalu memberanikan diri keluar dari kereta dengan tujuan untuk menyelamatkan nyawa isteri dan setiausaha peribadinya. Bagaimanapun malang baginya kerana beliau telah terkorban.Semenjak memegang jawatan Pesuruhjaya Tinggi Inggeris di Tanah Melayu,Gurney telah mendapat kepercayaan, keyakinan dan penghormatan dari semua lapisan masyarakat negara ini kerana usahanya membanteras dan menghancurkan kegiatan komunis. Menurut beliau, komunis di Tanah Melayu dapat dihancur dengan dua senjata. Pertama dengan senjata dalam bentuk perkhidmatan sosial, ekonomi dan politik. Kedua, dengan senjata sebenar dari pasukan polis dan tentera.Dengan memperkenalkan sistem kawalan makanan, penempatan semula setinggan-setinggan yang diancam oleh pengganas-pengganas komunis, perancangan pembangunan ekonomi dan perkhidmatan sosial serta gerakan-gerakan pasukan keselamatan yang tersusun telah membawa Gurney sebagai seorang pentadbir Inggeris yang berjaya dalam usahanya menentang komunis.Jasad Gurney disemadikan di perkuburan Kristian Jalan Cheras pada 8 Oktober 1951 dengan penuh penghormatan negara. Lebih daripada 20,000 rakyat turut memberi penghormatan terakhir atas pemergiannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan