Jelajah Kereta Api Ke Penang

Hari Pertama, 30 Januari 2012
12.00pm -Kereta api mula bergerak dari Stesen Kereta Api Ipoh ke Butterworth, Pulau Pinang. Perjalanan ini mengambil masa hampir 4 jam dan kami tiba di destinasi dalam pukul 4.15 petang. Agak lamalah sebab kereta api ini banyak berhenti di Chemor, Kuala Kangsar, Taiping, Bagan Serai, Parit Buntar dan Bukit Mertajam.

Sepanjang perjalanan, kereta api melalui beberapa tempat yang menarik seperti Sungai Perak, Terowong Bukit Berapit, lereng Bukit Gantang dan Tasik Bukit Merah.

Kelihatan sawah padi di sekitar daerah Kerian yang mengguning (kiri) dan kereta api berhenti sebentar di stesen Bagan Serai, Perak.

Selepas melepasi Sungai Kerian, keretapi telah memasuki negeri Pulau Pinang. Salah satu stesen keretapi yang menarik ialah di Bukit Mertajam. Stesen ini sama seperti stesen ala zaman kolonial British.

Untuk ke Georgetown dan bahagian pulau, pelancong perlulah menaiki feri di Butterworth yang telah wujud sejak tahun 1920an. Selain daripada menaiki feri, alternatif lain yang boleh digunakan ialah Jambatan Pulau Pinang yang dibuka pada tahun 1985. Teruja kami naik feri tapi bila dah naik alamak gayat bila tengok laut kat bawah feri.

Sampai je Georgetown, kami terus check-in di hotel budget di Lebuh Chaulia. Lepas itu, apa lagi masa makan dan sudah tentulah Nasi Kandar menjadi pilihan. Kami makanlah nasi kandar dekat tepi Masjid Kapitan Keling. Dari situ, kami berjalan kaki ke Esplanade, Padang Kota untuk melihat matahari terbenam. Waktu malam di Georgetown tak menarik pun sebab pukul 9, semua kedai dah tutup. Kecewa kami.


Hari Kedua, 31 Januari 2012
Hari kedua kami di Pulau Pinang dimulakan dengan berkunjung ke Bukit Bendera. Seawal pukul 8 pagi, kami menaiki bas Rapid Penang yang bernombor 204 dengan tambang sebanyak RM2. Letih naik bas ini sebab penuh sesak dengan orang. Kesian Fazrin sebab kena berdiri masa pergi dan balik dari sini.

Tarikan utama di sini ialah keretapi Bukit Bendera dan pemandangan sebahagian besar Pulau Pinang dari ketinggian 830m. Seronok juga naik kereta api ini terutama masa naik dan turun curam tinggi. Suasana di puncak sejuk dan tenang tapi tak ada tempat sangat nak tengok la.

Pada 7 Julai 2008, Pulau Pinang telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai bandar warisan dunia ini memiliki sebanyak 1700 buah bangunan lama yang bersejarah dan warisan kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia. Lepas balik dari Bukit Bendera, kami pun makan tengah hari di Padang Kota.

Kemudian barulah pusing-pusing kat kawasan sekitar. Antaranya ialah Menara Jam Memorial Victoria, Kota Corwalis, Muzium Negeri, Dewan Bandaran, Masjid Kapitan Keling, Little India dan Chinatown. Petang itu, kami pun menuju ke Sungai Petani dan pulang ke Ipoh pada malamnya.

1 ulasan:

  1. Macam karangan spm . nah hantar kat cikgu bahasa melayu ke ni . hahaha

    BalasPadam